Wednesday, December 31, 2003

Ekspedisi seterusnya...

Agak lewat check out dari tourist house, sekitar 9:45 am. Mulanya selesai Subuh aku dah bersemangat nak ke destinasi seterusnya, tapi melihatkan rakan yang berdua tu seperti masih lagi mabuk dengan penat semalam, lalu membiarkan mereka berehat lebih hingga ke jam 9 am. Destinasi seterusnya, Mt Bandai (Inawashiro Resort Skiing Ground). Tak jauh dari tempat penginapan sekitar 10 minit perjalanan. Tiket lift dibeli terus di tourist house tadi, sebab ada diskaun!

Bayaran masuk ke Inawashiro Resort nampaknya lebih murah dari di Minowa semalam. Mesti ada sebab nih. Hah, sah! Mulanya ditahan oleh seorang pekerja di situ dimintanya bayaran untuk parking dan diserahkan resit. 1000 yen! Hampesh... Semalam percuma sahaja di Minowa. Mencari-cari ruang kosong yang paling dekat dengan rumah rehat. Senang untuk kerja-kerja mengangkut board dan kelengkapan lain. Sekali lagi hampesh! Parking lot yang disediakan bukannya bertar seperti di Minowa semalam, sebaliknya hanyalah semata-mata tanah yang becak dibasahi salji yang telah cair. Memang kotor. Sabo jelah...

Dari segi ketinggian dari paras laut, nampaknya Mt Bandai lebih rendah berbanding Mt Minowa semalam. Mutu salji pun agak berbeza. Jika semalam saljinya seperti serbuk tepung, hari ni saljinya sedikit berair dan agak licin. Ditambah dengan suhu yang naik mendadak sejak awal pagi tadi. Agak berbahaya meluncur di atas salji begini! Pertamanya susah mengawal kelajuan luncuran (sebab licin). Dan perlu berhati-hati jikalau hendak somersault 4, 5 pusingan (baca: tergolek dok), lebih sakit.


Mt. Bandai. Sedia untuk ditawan...

Cantik betul view dari Mt. Bandai nih. Inawashiro Lake terbentang luas di hadapan dan disebelah kanannya kelihatan gunung-ganang banjaran Alps. Petak-petak sawah di bawah semuanya putih belaka disaduri snow. Tak sempat nak snap sekeping dua akibat camera yang kehabisan bateri.

Batalkan niat untuk mencuba skill baru hari ni atas sebab-sebab keselamatan. Hanya sekali mencuba dan hasilnya dagu naik kebas akibat terpatuk timbunan snow. Haha... Adus! Nampaknya anak murid dah berjaya imbangkan badan (nampak senang tapi susah oo nak berdiri atas board) dan seperti sudah boleh mem'brek', jadi tok guru bolehlah lepas tangan. Hehe... Ratanya agak berpuas hati dengan luncuran hari ni. Penat?? Ermm, ada la sikit-sikit tapi jika dibundarkan, tak terasa kot. Minat punya pasal.

Kembali ke seat driver dalam perjalanan pulang. Kesian melihat adik-adik keletihan. Sebuah kereta yang bertayar 3 tayar studless dan sebiji tayar spare yang hampir gondol bergerak pulang. Dalam hati, berdoa mudah-mudahan selamat sampai. Mana taknya risau jugak dengan tayar spare kecil tu. Sesekali disapa angin lintang bergoyang-goyang hilang imbangan. Sejurus sebelum tiba di bandar Hitachi semula, mengSMS dua teman penjaga kampung, Musa dan Khusyairi, mengajak ke Saizeriya for dinner (tak der mood dah nak masak malam ni). Memang bagus la korang berdua ni, setia dengan kampung. Syabas dan 'manten'kan mutu kerja! Huhuhhh...

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang mengambil hak orang Islam dengan sumpahnya, Allah mewajibkan neraka baginya dan diharamkan syurga untuknya (sekiranya mati sebelum bertaubat dan mengembalikan hak orang lain tersebut). Sahabat bertanya: Walaupun benda yang diambil itu sesuatu yang amat sedikit wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Walaupun sekecil batang kayu sugi.

(Hadis riwayat Imam Muslim).

Tuesday, December 30, 2003

Mari meluncur!

Yess! InsyaAllah pagi ni nak pergi berjalan mengubat rindu. Rindu? Ya, rindu. Rindu pada snowboarding! Seawal jam 4:15 am bersama-sama 2 orang junior, Ammar dan Pa'Om (dari Yokohama) menuju ke kawasan pergunungan Fukushima, prefecture bersebelahan. Plannyer nak menawan Mt. Minowa (Minowa Skiing Ground) hari ni. Kereta aku tak ader studless tyres, jadi bertolak dengan kereta Ammar ke sana. Rasanya pertama kali aku jadi penumpang ke skiing ground. Selalunya di seat driver...

Pukul 6 am gitu singgah di R&R Abukuma Kougen, bersolat Subuh dalam suhu serendah -1 C. Dulu, masa mula-mula sampai sini terasa kekok juga solat merata-rata. Tepi jalan, celah lorong, bawah tangga, tepi padang, dalam library, dalam karaoke box pun pernah (masa tu kat luar hujan lebat, ntah tetiba dapat idea)! Yerlah, kat Malaya pegi mana-mana pun kalau tak masjid pun paling kurang mesti ada surau untuk bersolat. Sini? Masjid boleh bilang dengan jari...

Tapi sekarang, alhamdulillah. Dah tak rasa apa dah. Apa nak dimalukan? Kenalah bangga dengan agama kita. Mana tahu, kalau-kalau ada yang tertarik dengan Islam hanya dengan melihat kita bersolat dengan rukun yang tertib! InsyaAllah... Zaman sekarang bukannya seperti zaman awal perkembangan Islam dulu, nak beribadat pun terpaksa bersembunyi, dek buruan para kafirun.

Selesai melaksanakan fardhu, meneruskan perjalanan ke Minowa. Alhamdulillah, cuaca agak baik dan jalan tidak licin. Tapi, sampai pertengahan perjalanan sahaja. Sebaik melepasi Ura-bandai IC, jalan sudah bertukar warna. Salji tebal hampir menutupi keseluruhan jalan. Halaju perlu dikurangkan, pemanduan perlu lebih berhati-hati walau tayar studless yang digunakan. Kesilapan kecil, besar padahnya. Tawakkal tu 'alallah...


Mt. Minowa. Tak sabar nak sampai atas nih...

Tiba awal di Minowa, 7:15 am. Aku dan Ammar sudah ada alat kelengkapan sendiri. Tinggal Pa' Om sahaja yang belum ada. Jadi, perlu ke tempat rental wear & board yang letaknya sekitar 15 km dari situ. Cerita pun bermula 4 km sebaik sebelum tiba di kedai rental tersebut. Kereta hilang kawalan sebaik melepasi satu jalan yang dipenuhi ais dan terbabas ke bahu jalan di satu selekoh tajam. Mungkin sudah suratan takdir!

Keluar melihat keadaan kereta. Tayar kanan (depan) terperosok ke dalam longgokan salji di bahu jalan hingga mencecah tanah di dalam. Getah tayar terkeluar dari hoil! Tayar kiri (depan) pula terperosok dalam parit kecil. Terus buntu. Sungguh! Tambahnya di tengah-tengah jalan hutan begini. Satu sahaja jalan penyelesaian. Mengharapkan ihsan, simpati orang yang lalu-lalang. 4, 5 buah kereta yang datang hanya memperlahankan kereta dan berlalu pergi. Hampa!

Datang pula sebuah Pajero, alhamdulillah, sedia memberi bantuan katanya. Dengan bantuan hamba Allah ni, dapat juga menarik kereta yang tersembam ke tebing keluar sedikit, walaupun masih tak berjaya mengeluarkan tayar kiri (depan) dari parit. Nampak seperti pak cik ni macam perlu bersegera. Hanya ucapan "arigatou gozaimashita" yang bisa diluah. Membiarkan pak cik tadi berlalu pergi sambil berfikir step yang seterusnya. Keluarkan tayar spare untuk digantikan pada tayar kanan (depan). Tanpa segan silu aku terus menahan sebuah kereta 4WD yang menghampiri. Minta untuk ditumpangkan ke stesen minyak berdekatan. Syukur! Masih ada insan yang bersimpati... Sesampai di stesen minyak, menurunkan tayar kanan tadi untuk dibaiki. Ojisan (uncle), arigatou! Terhutang budi...

Sekali lagi bersyukur. Tiada sebarang kebocoran pada tayar. Hanya perlu dimasukkan semula getah luarnya ke dalam hoil dan diisi angin. Charge yang dikenakan, mak aiiii... Tak kesah lah, dah terpaksa, nak buat mcm mana??... Minta bantuan pekerja di gas stand untuk menghantar kembali kami ke kereta. Sekali lagi dengan bantuan sebuah kereta yang dinaiki 3 anak muda Jepang, berjaya mengangkat tayar kereta keluar ke atas jalan. Terlalu banyak berhutang budi dengan orang ramai hari ni. Ntah ler macam mana nak balas. Memang tak terbalas...

Baiki itu dan ini dan akhirnya, pukul 10:30 am, barulah semuanya OK. Alhamdulillah, tuhan masih sayangkan kami. Mengambil iktibar dari kejadian tadi merangkak perlahan ke kedai rental tu & kembali ke Minowa dan tiba di sana sekitar jam 11 am. Cuba melupakan kejadian tadi, kerana memikirnya menambahkan penat!

Sebaik menaiki lif, hati berdebar-debar, tak sabar nak sampai ke puncak. Walaupun hampir 10 bulan tidak meluncur, anggota-anggota badan secara semulajadi masih dapat memberikan reflex action. Langsung tidak kekok. Bila dah sampai ke puncak, terasa tak sabar pulak nak turun meluncur ke bawah. Hehe... Fitrah manusia. Tapi sejam yang pertama terpaksa pendamkan hasrat. Ada anak murid baru yang perlukan tunjuk ajar.


Hilang demam rindu...

Ntah macammana lah yer nak gambarkan perasaan hari ni?? Syok! Syok sangat-sangat... Saikou!

Jam 5 pm lebih gitu berkemas mencari tempat menginap. Ya! Tak puas lagi nih. Sambung esok pulak. Ke Inawashiro, 20 km ke barat. Cari punya cari dapatlah hotel 5 stars rumah tumpangan murah. Cukuplah sekadar berteduh memulihkan semula tenaga sebelum kembali meluncur esok hari. Otsukare-san... Oyasumi...

Saturday, December 27, 2003

Kemalangan vs Komplot ???

Nyaman benar pagi ni. Selesai bersubuh keluar ke beranda rumah. Aman, tenang, di saat-saat begini. Hanya sesekali dicemari bunyi 'kotak-kotak mesin' yang menderu di jalan raya. Semalam, gumpalan awan snow bertandang ke mari lagi, mencurahkan segala isi-isinya. Putih, cantik, berseri, subhanallah maha hebat tuhan pencipta!

Lama benar aku tanam cita-cita nak lihat snow dengan mata sendiri. 15 tahun yang lalu, ketika itu aku dalam darjah 2, acapkali pak cik (ketika tu sedang menuntut di US) kirimkan gambar-gambarnya dengan snow. Cemburu! Ya, itulah perkataan yang paling sesuai untuk menerangkan rasa hati. Dan setiap kali menatap foto-foto tersebut, fikiran akan terbang berlegar-legar ke negara sejuk, memasang angan-angan! Dan alhamdulillah, hari-hari semalam, hari ini, angan-angan sudah menjadi kenyataan. Syukur!


Mencuci mata di pagi yang dingin

***

Tadi, begitu asyik menonton satu rancangan siri penyiasatan. Ingat lagi tak tarikh 31 Ogos 1997?? Hari kebangsaan kan... Kenapa? Ya, memang hari kebangsaan. Tapi ada lagi satu sejarah kan hari tu? Sejarah yang telah terpahat di Alma Tunnel, Paris. Bertembungnya sebuah Mercedes Benz yang membawa 4 insan dengan tiang divider tunnel. Aaa... Princess Diana? Yap! Dengan kekasih 'baru', si Dodi.

Tragedi yang meragut 3 nyawa (dari empat orang yang berada dalam Merc tersebut) itu dilaporkan oleh polis France sebagai satu kemalangan. Ada juga yang mengatakan faktor flash dari kamera si paparazzi yang menjadi penyebab kemalangan. Tapi nampaknya tak semua pihak yang menerima pakai kenyataan tersebut. Sebaliknya cuba untuk menguji kesahihannya. Yang terbaru, salah sebuah syarikat penyiaran di Jepun telah mengkaji laporan tebal yang telah disediakan polis France tersebut dan mendapati terdapat banyak point yang amat-amat meragukan. Pakar-pakar dalam pelbagai bidang ditemui di seluruh pelosok dunia semata-mata untuk merungkaikan segala misteri yang masih tiada jawapan/disembunyikan kebenarannya!

"Laporan 'tebal' oleh polis France itu bersifat amatur semata...", komen salah seorang anggota elit unit risikan Poland yang agak masyhur seantero dunia. Terdapat banyak point yang telah dikemukakan yang kesahihannya dipertikaikan. Panjang kalau nak ditulis, jadi Mat ambil beberapa point sajalah. Pertamanya mengenai route yang telah diambil untuk pulang ke apartment Dodi, agak jauh dari kebiasaannya. Padahal hotel tempat terakhir Dodi & Diana bertemu dan apartment Dodi (hanya sekitar 30-40 meter dari Seine Cruise) dihubungkan dengan satu jalan lurus yang tak sampai 5 minit kalau berkereta. Benarkah untuk mengelakkan dari 'serangan' paparazzi atau memang telah di'aturkan'??

Keduanya pihak perubatan melaporkan yang tahap alkohol dalam badan pemandu Merc tersebut berada pada paras 1.75 ml/g (betul ker unit piawai nih..). Paras yang dibenarkan untuk memandu ialah 0.5 ml. Eksperimen pemanduan simulasi telah dijalankan ke atas dua pemandu yang diberi minum alcoholic drink (20% alcohol = 1.75 ml/g kuantiti sama seperti yang dilaporkan), dan ternyata kedua-duanya gagal mengawal stereng kereta dengan baik seawal pemanduan lagi. Sedangkan berlakunya kejadian tersebut pada jarak yang agak jauh dari hotel tempat berlepas. Kamera keselamatan dalam hotel tersebut juga (yg pertama kali ditontonkan di khalayak ramai-selama ini disembunyikan) mengesahkan yg si driver adalah normal (tidak mabuk) sehinggalah di saat kejadian. Dan dinyatakan juga (dalam laporan tersebut) yang pemandu berkenaan sebenarnya menghidap penyakit kesan alkohol yang berpanjangan (berterusan beberapa hari selepas meminum), tetapi mengikut sijil medical check-up yang telah dijalankan 3 hari sebelum kejadian ada tertera yang keadaan si pemandu adalah amat baik sekali! Percanggahan lagi di situ!

Dalam kejadian tersebut, Dodi dan driver mati di tempat kejadian manakala Diana mati di hospital. Ambulans datang 10 minit selepas kejadian dan tiba di hospital berdekatan 2 JAM berikutnya! Pelik!! Ini bukannya pekan kecil yang tiada pusat rawatan hatta klinik kecil. Ini metropolitan Paris! Seterusnya kereta Merc tersebut bukannya Merc yang biasa dinaiki oleh Dodi, sebaliknya Merc yang telah dihantar ke bengkel 2 hari sebelum kejadian. Mengikut penerangan oleh salah seorang ahli MI-5 (Military Intelligence-Britain-pasukan perisik), amat mudah untuk mengawal pergerakan sesebuah kereta dari jarak jauh. Kenyataan ini dibuktikan dengan satu eksperimen mematikan enjin Merc serta merta dari jarak jauh dengan kawalan sebuah komputer! Enjin kereta terberhenti serta merta dan stereng terus tak berfungsi. Kemungkinan di sini bahawa kereta tersebut telah diubahsuai...

Seorang saksi yang berdiri berhampiran Alma Tunnel berkata memang ada terlihat cahaya yang begitu terang, tetapi tak kelihatan seperti flash camera sebaliknya berkemungkinan besar cahaya dari flash-gun yang dipasang pada bahagian belakang kereta (ingat tak pada Fiat yang memotong laju Merc yg dinaiki Diana). Itulah antara faktor-faktor yang telah dikemukakan sepanjang penyiasatan. Dan mereka mendakwa bahawa kejadian ini adalah 'rancangan tertinggi' yang cukup teliti oleh sebuah badan/kerajaan. "Tidak syak lagi kejadian tersebut adalah rancangan/pakatan bersama oleh kerajaan England dan France", dakwa Mohamed Al-Fayed, bapa kepada Dodi. Puncanya, setelah mendapat tahu yang Diana telah mengandungkan anak Dodi. Dan mereka sudah pun bercadang mempercepatkan perkahwinan.

Tahukan apa akan jadi jika lahirnya anak itu nanti. Sudah tentu kerajaan Britain enggan menerima yang bakal pewaris takhta Britain, Putera William mempunyai saudara yang berdarah Inggeris-Arab! Apapun, yang pastinya sudah tentu hanya Dia sahajalah yang lebih arif dengan apa yang telah terjadi. Dan ajal maut manusia sudah pastinya telah ditentukan Allah sejak azali lagi, tidak dipercepatkan & tidak dilambatkan walau sesaat!

Tidak! Aku bukannya peminat Diana. Saja nak memenuhkan entri. Haha... Yang hairannya, apa kepentingan yang ada pada stesen TV ini ke atas Diana hingga sanggup menghabiskan sejumlah wang yang besar dalam merungkai kisah misteri ini? Mungkinkah bangsa ini sukakan yang haq dan yang batil berada di tempatnya. Atau bagaimana???...

Hmmm... Apalah harga seorang Diana (memang dia seorang yang baik-princess idola, aku akui) bagi aku kalau nak dibandingkan dengan berpuluh ribu saudara-saudara kita yang telah pergi menghadap Ilahi dalam gempa bumi yang telah melanda selatan Iran semalam, yang disembelih, ditembak, dibom, dibunuh sewenang-wenangnya saban hari di pelosok dunia, di Palestin, Iraq, Checnya, Afghanistan, Albania, Kashmir, Somalia, Sri Lanka dll. Tempatkanlah mereka di syurga ya Allah... Pohonan doa mudah-mudahan kita semua medapat perlindungan dari-Nya dan dijauhkan dari bala bencana...

Thursday, December 25, 2003

Meriahnya...

Hmmm, terasa jealous tengok budak-budak lain dah pun mula bercuti. Bermula 23 Dec lepas hinggalah 4 Jan tahun depan, student 1st-3rd year akan bercuti (winter break). Aku? Ahad ni baru lah boleh bercuti. Itu pun ntah boleh pergi berjalan ke tidak. Kerja yang perlu disubmit pada 5 Jan nanti menggunung banyaknya... Haaa...

Petang semalam pergi ambil 'si dia'. Rindu benar seminggu tak berjumpa. Patah kaki pokcik! Alhamdulillah, semuanya dah baik. Tadi, sebaik pulang dari lab, solat & makan malam, terus memacu 'si dia' pusing-pusing keliling bandar Hitachi. Melepas rindu! Haha... Ketika melalui civic centre, ternampak banyak lampu berwarna-warni. Oh ya! Krismas hari ni. Hampir terlupa.


Sebahagian dari Illumination berhampiran Civic centre

Berhentikan kereta di bahu jalan, berhampiran Ito Yokado shopping centre. Alang-alang dah bawa camera, snap ajerlah sekeping dua. Hehe... Terasa janggal benar lalu di kawasan ni. Seperti ada mata-mata lain yang sedang memerhati saja. Ya, memanglah janggal aku ke sini keseorangan. Sedangkan pengunjung-pengunjung lain semuanya couple! Mungkin background begini agak sesuai untuk masing-masing mematri janji. Huhuh... Jangan tak tahu yang Japanese ni agak pening! Ya, pening dalam fahaman hidup. Tengoklah betapa meriahnya mereka meraikan Krismas padahal bukannya penganut Kristian. Begitu kuat pengaruh US dalam diri mereka. Nampaknya berjaya ya US dalam mencorakkan minda muda-mudi Japanese ni mengikut acuan mereka, hinggakan hampir hilang identiti sendiri!


Illumination 2

Rasanya Japanese adalah bangsa yang paling banyak anut agama. Lahirnya mengikut resam Shinto, ke jinja, kahwinnya mesti ada paderi, ke church, dan matinya diuruskan cara Buddha, ke otera. Pening! 3 dalam 1. Macam syampu. Cukup satu pusingan meronda-ronda melihat illumination di civic centre, terus menghala langkah ke arah 'si dia'. Bayu Laut Pasifik terlalu dingin untuk kulit menadah... Sejuk, aku mahu pulang. Tidur dalam futon (selimut tebal) lagi best!

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah melihat cincin emas pada tangan seorang lelaki kemudian baginda mencabut dan membuangnya sambil bersabda: Salah seorang di antara kamu sengaja mengambil bara api dan meletakkan bara api tersebut di tangannya.

(Hadis riwayat Imam Muslim).

Monday, December 22, 2003

Nabe, nabe dan nabe...

Semalam, bernabe di rumah Izuddin. Kali ke-dua dalam winter tahun ni. Isi nabe, hampir serupa dengan yang sebelumnya. Hari biasa masing-masing sibuk dengan urusan persendirian. Jadi hari minggu begini ada baiknya berkumpul bersama. Bercerita, berkongsi pendapat, berjenaka... Ya! Kita bersaudara... Datang dari pelbagai wilayah pelosok Malaya, terbang merentas samudera, berpisah dengan famili dan berkumpulnya kita di sini seolah-olah seperti sebuah keluarga. Keluarga kecil di tengah persekitaran yang begitu asing, masyarakat kafirun. Sama hajat, sama matlamat!

Pejam celik dah pun di semester terakhir final year. Terasa seperti baru jer semalam mendaftarkan diri di pejabat Universiti, menghadiri entrance ceremony, memulakan hidup di tengah lautan masyarakat bangsa penjajah mata sepek. Begitu cepat yer masa berlalu, walhal jarum jam setiap hari berputar pada paksi yang sama. Seperti semalam dan juga hari esok. Membilang hari, hanya tinggal sebulan lebih saja lagi dapat bersama adik-adik dan sahabat di sini, sebelum bermulanya spring break tak lama lagi. Alamak, terbuka cerita sedih la pulak... Tukar cerita lah.

***

Hari ni seperti plan asalnya akan diadakan nabe di lab. Nabe lagi. Haha... Jangan badan aku naik macam nabe udah ler. Hehe... Mulanya cuba nak 'melarikan diri'. Yerlah bila tengok menunya, segala jenis daging. Tapi aku dipujuk dengan disuap dengan janji, yang nak menyediakan periuk khas untuk aku, periuk yang hanya dimasukkan ikan dan sayur. Terpaksa mengalah...

Sebelah petangnya masing-masing mula sibuk dengan persediaan majlis nabe. Membantu apa yang patut. Masa tengah potong-potong ikan & sayur, ok lagi. Tapi bila diorang start potong segala jenis daging tu, aku dah tak boleh tahan. Terus keluar & balik ke rumah. Tiba-tiba terasa nak 'menjala' pulak. Menjala atas darat. Buka cabinet kumpulkan bahan-bahan, alhamdulillah semua ada. Sejam lebih 'menjala' & masak kuah kacang. Akhirnya jadilah roti jala berkuah kacang. Kekok juga mulanya sebab dah lama sangat dah tak buat kerja-kerja nih. Harap-harap kena dengan tekak diorang...


Hasil jalaan

Majlis bermula jam 7:45 pm. Aku sememangnya tak bergerak dari periuk khas aku. Periuk makanan laut. Haha... 3 kali ceduk, aku pun mengalah. Kurang berselera. Hingga selesai majlis, hanya memerhatikan rakan-rakan Japanese lain membaham daging-daging babs, dan mabuk dengan penangan air kencing setan. Dalam hati, sebak... Ikutkan hati mahu saja terus pulang, tapi nanti apa pulak kata diorang...


Japanese dan nabe, memang tak dapat dipisahkan...

Pulang ke rumah dan bermuhasabah diri. Adakah aku 'menjalankan tanggungjawab' sebagai da'ie atas muka bumi Allah ini... Ya Allah, aku takut...

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah r.a katanya: Sewaktu kecil aku dijaga oleh Rasulullah s.a.w. Ketika makan aku menghulurkan tanganku untuk mengambil makanan yang terdapat di dalam talam (dulang). Lalu baginda bersabda kepada aku: Wahai anak, bacalah: Bismillah! Kemudian makanlah dengan menggunakan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Saturday, December 20, 2003

Beware!

Ramalan cuaca hari ni cerah. Hinggalah ke malam hari. Tapi di sebelah petangnya cuaca diramal tidak menentu. Suhu, sememangnya rendah! Memontengkan diri ke lab hari ni. Simpan tenaga untuk part time di sebelah petangnya. Hehee... Eh, tenaga kena simpan ker? Ya! Semestinya. Nama jer part time. Buat kerja 7.5 jam! Agak memenatkan...

Mamat Kim tak jadi pulak ke kilang. Menghadiri party katanya. Erkkk, macam mana nih. 'Si dia' masih lagi di wad org gila bengkel. Nak menapak, memang tak sampai la. Cara terakhir, pinjam kereta junior, Amar. Kereta 'kecik' dia tu macam dah tak pakai, sebab baru beli kereta 'besar'. Dalam perjalanan nak ambil kereta, langit yang cerah tadi tiba-tiba bertukar mendung. Sebaik saja melepasi padang sekolah, snow pun mula berguguran. Hatsuyuki! (snow pertama tahun ni). Yabai (Mampush!)... Minta-minta lah snow ni turun 'geli-geli' (pinjam word member di UM dulu) ajer. Tak! Aku suka snow. Mana ada orang yang gila snow boarding yang tak suka snow. Cuma bimbang keadaan jalan ke kilang.

Alhamdulillah, sebaik saja aku melangkah masuk ke kilang, barulah snow mula turun dengan lebat. Aku orang pertama sampai untuk syif petang ni (4:30 pm). Sebabnya, kena pantau mesin kat luar tu. Jam dah pun ke pukul 6 petang, budak-budak lain belum sampai lagi. Takkan diorang cancel kot hari ni?? Sesekali menjengah ke luar. Snow masih lagi lebat. Sekali lagi hati dilanda resah bila melihat salji yang dah mula menebal di luar. Tayar kereta tu masih lagi tayar biasa, bukannya studless...

Kenapa hati resah? Kerana teringat peristiwa-peristiwa hitam sepanjang memandu di jalan bersnow. Ya! 3 kali pernah terspin kereta. Dan sekali pernah terpusing 360 darjah! Masih segar memori 2 tahun lepas. Di lebuhraya Joetsu, berhampiran R&R Abukuma Kougen, Fukushima. Alhamdulillah, syukur masa tu tiada kenderaan yang hampir di belakang. Dan jarak kereta dengan divider jalan hanyalah beberapa inchi. Terasa seperti melakonkan aksi dalam filem Hollywood pulak! Ahaks! Padahal habis cuak...


Sejuk mata memandang, sejuk lagi badan menggigil...

Sudah menjadi adat di sini, selesai bekerja, sebelum pulang untuk aisatsu (greeting) kepada pekerja lain. Otsukaresamadeshita (untuk sesama yang akan pulang), otsukaresamadesu (jika kita pulang dulu), otsukaresan/otsukare (untuk rakan sebaya / rapat). Maksudnya lebih kurang "It's tired with labor". Bagaimana ya bunyinya kalau diterjemahkan ke BM?? "Meletihkan ya buat kerja nih..." Hahahaa... Whatever lah... Tapi rata-rata mereka yang aku jumpa sebelum pulang berpesan supaya berhati-hati pandu kereta. "Kiotsuketene...".


Kerja-kerja membuang snow pada kereta paling tak besh

Alhamdulillah, selamat sampai rumah.

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah ditanya (oleh Abu Zar al-Ghifari): Apakah amalan yang paling utama? Baginda menjawab: Beriman kepada Allah dan RasulNya. Beliau bertanya: Kemudian apa?. Baginda menjawab: Berjihad (berjuang) pada jalan Allah. Beliau bertanya lagi. Kemudian apa? Baginda menjawab: Ibadat Haji yang mabrur (ibadat Haji yang tidak dikotori dengan maksiat).

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Thursday, December 18, 2003

VISA

Pukul 4:45 am, keluar rumah ke lab. Fuiyoo, awalnya pak cik!! Ayam pun tak bangun tidur lagi. Hehe, tak lah. Aku tak tidur lagi sebenonyer... Ke sana bukan untuk buat experiment. Pergi copy beberapa dokumen-dokumen yang diperlukan untuk urusan-urusan permohonan lanjutan visa pagi ni. Semalaman membelek butir-butir surat-surat perjanjian, profile sykt & menyiapkan dokumen-dokumen tu dan akhirnya menurunkan tanda tangan!

Surat dah diterima Selasa lepas, hanya melihat sepintas lalu memandangkan perlu menyiapkan data-data untuk dipresentkan pada pagi Rabu. Tengahari semalam dapat call dari boss di kilang suruh datang kerja. Bukan niat untuk aku menolak, tapi memang masa aku pack sesangat. Terpaksa...

Habis copy, pulang semula ke rumah. Sejuk!! Dalam samar-samar terpandang seperti ada manusia yang ke hulu ke hilir dalam kesejukan pagi. Rupa-rupanya seorang perempuan yang sedang buat part time, banci lalulintas. Kasihan! Tentu sejuk yer...

Kemudian menghala langkah ke sebelah jambatan di kanan rumah, menuju ke bus stand. Menunggu bas?? Tidak. Mana ada bas lagi pak cik! Mencatat jadual bas. Ya! Siang nanti perlu ke Mito, menguruskan urusan-urusan lanjutan visa. Ikutkan hati mahu saja berkereta ke sana. Mudah. Tapi 'si dia' masih lagi di bengkel. Apakan daya??... Selesai mencatat, terus menghala langkah ke vendor machine berdekatan. Teringat akan budak perempuan tadi. Simpati! 2 tin coffe latte panas.

Kembali ke tempat si perempuan tadi dan menghulurkan setin. "Yokereba, douzo..." Mulanya pelawaan aku ditolak. "Ambil ajer..." tanpa bicara panjang aku letakkan tin tadi di atas kerusi bersebelahannya dan terus melangkah pulang ke rumah. Aku pun menggigil sebenarnya. Itu sahaja yang mampu dariku...

Tepat 8:15 am, muncul bas ke Taga-station. Tepat seperti dalam jadual. Kagum! 10 minit perjalanan ke station. Dari station terus mengambil futsu densya (train biasa) ke Mito Station. Tiba di Mito lebih kurang pukul 9 am. Station sesak dengan kelibat Japanese yang kelam kabut (memang begitu cara jalan diorang) menuju tempat kerja masing-masing. Tapi tak sesesak stesen-stesen di Tokyo sana. Masih ada setengah jam sebelum 9:30 am. Berjanji tunggu di south gate. Sementara tu, lepak-lepak di north gate, snap beberapa keping gambar. Bukan pertama kali ke sini. 3 tahun lepas, setahun bermukim di tanah lembah ini. Tapi tak terasa pun nak rakamkan pemandangan-pemandangan indah ni. Bosan sejuk sebenarnya dan terus ke restoran berdekatan untuk sarapan.


North gate

Tepat pukul 9:30 am, seorang wanita Japanese aku agak dalam lewat 20-an datang ke arah aku. "Watanabe desu..." Pertama kali bersua muka. Kecil molek orangnya. Tentu mudah sekali dia mengecam aku, seperti mudahnya Melayu mengecam Bangla di tanahair... Huhuhhh. Ke pejabat imigresen, sambil berjalan sambil berborak. Alhamdulillah, semua urusan berjalan lancar. "Beberapa minggu lagi siap." kata pegawai di kaunter tadi. Sekitar jam 11 am begitu berpisah dengan cik Watanabe, dan terus ke Marui (0I0I) mencari-cari barang. Bulan ni 5 orang ex-schoolmate aku menamatkan zaman bujang. Hanya kad pengganti diri...


Mito (north)

Tiba di rumah, selesai solat Zohor, terus rebahkan diri ke Air-O-Space. Banyak lagi kerja-kerja yang terbengkalai di lab, tapi aku dah tak terdaya. Lupakan saja. Hahaha... Enak sungguh melayan mimpi di siang hari...

Hari ni hari istimewa 'tuan Puteri'. Otanjoubi omedetou. Happy besday. Mudah-mudahan diberkati usia, dimurahkan rezeki, dipelihara iman dan bertambah amal... Amin.

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengerjakan ibadat Haji secara ikhlas kerana Allah tanpa bercakap dengan percakapan yang kotor dan tidak melakukan kefasiqan, dia kembali menjadi bersih (tidak mempunyai dosa) sebagaimana ketika dia baru dilahirkan oleh ibunya.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Tuesday, December 16, 2003

Sinar Hidayah

Khamis lepas (kalau tak silap...) sekitar jam 1 am begitu dalam tangan aku 'merayau-rayau' dari satu channel ke satu channel, tetiba terberhenti ke channel 3 (tv pendidikan), channel paling bosan. Selalunya aku hanya layan channel ni kalau ada rancangan-rancangan seperti national geoghraphic. Ya! Kagum melihat kebesaran, keindahan ciptaan-ciptaan Ilahi.

Kenapa aku terstop?? Kerana terkejut!! Ya, aku terkejut! Rancangan/siri penerangan tentang Islam. Agama yang pada pandangan sesetengah Japanese, agama yang suka kepada keganasan. Penyampainya seorang prof dari Ichibashi University, tak ingat namanya. Yang penting, aku begitu tertarik kepada cara penyampaian prof ni. Cukup teratur, cukup mudah untuk difahami! Banyak perkara yang masih kabur di kalangan Japanese yang telah diperjelaskan, dan banyak fakta-fakta karut yang telah diputarbelitkan musuh-musuh Islam cuba dileraikan sepanjang program 30 minit itu. Syukur!

Tapi sayangnya rancangan ini ditayangkan tak kena pada masanya. Pukul 1 pagi, berapa kerat sangat la yang masih berjaga?? (Kebanyakan Japanese di sini tidurnya awal.) Aku pun kebetulan baru lepas menjamah makan malam, sekembali dari lab, dan bersiap-siap untuk 'masuk ke sarang'. Dari berapa kerat yang menonton program tersebut, diharap agar pemahaman mereka tentang ad-dinul Islam bertambah jelas dan selebih dari itu mengharapkan mudah-mudah sinar iman tembus masuk ke hati-hati mereka! InsyaAllah...

Keesokan paginya ada 2 orang sahabat se-lab yang datang memberikan respon kepada rancangan semalam. Dan komen mereka, begitu tertarik terutamanya scene jemaah-jemaah haji yang datang dari seluruh pelosok dunia, dari pelbagai kaum/bangsa, kaya & miskin kelihatan sama tiada bezanya. Tapi hati-hati mereka telah disatukan oleh satu akidah. Akidah yang telah disebarluaskan oleh rasul utusanNya. Tersenyum syukur!!... Doaku mudahan hidayah iman dicampakkan ke dalam hati-hati kalian.

Sudah hampir tibakah hari-hari yang dijanjikan???


Ais membungkus kereta

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apa pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu, dia mandi di situ sebanyak lima kali setiap hari. Adakah kotoran masih lagi terdapat pada badannya walaupun sedikit? Para Sahabat menjawab: Sudah pasti tidak terdapat sedikitpun kotoran pada badannya. Lalu baginda bersabda: Begitulah perumpamaan sembahyang lima waktu, dengan sembahyang Allah akan menghapuskan segala kesalahan.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Sunday, December 14, 2003

Hujung minggu yang meletihkan!

Bermula minggu ni, hari Sabtu sudah diwajibkan ke lab. Seperti biasa sekurang-kurangnya 9 am - 9 pm! Arahan, Prof. Takeuchi. Hahh..., masa rehat aku dirampas lagi. Ni dah mengalahkan orang yang bekerja ni. Nasib kau la labi... Kepala otak sekarang seperti bom jangka!

Aku dah ambil keputusan untuk qada' tidur. Apa pun aku tak nak buat ini hari. Bangun pagi tanpa mandi, celik mata kejap, mengeliat kiri kanan dan sambung balik. Masa tambahan. Haha... Nikmat betul kalau tiap-tiap hari begini.

Lepas isya' layan bola kejap. Toyota Cup. Boca (Argentina) kelab miskin yang hanya berbekalkan semangat berentap dengan kelab mewah, kelab yang dibarisi bintang-bintang, gergasi Itali AC Milan. Match berlarutan hingga ke penentuan penalti setelah masing-masing terikat 1-1. Saat-saat begini selalunya team underdog yang beradvantage berbanding dengan kelab 'star' yang sudah tentu terpressure. Pirlo, Seedorf & Costacurta kesemuanya bintang. Sudahnya, hampa!


Kepuasan menumbangkan sang gergasi!

Selesai live, ada berita mengejut di hampir kesemua channel. Berita tertangkapnya Saddam. Dijumpai di dalam lubang tikus kecil bawah tanah... Hanya Dia sahajalah yang lebih arif di atas apa yang telah sedang dan akan berlaku. Tunggu dan lihat.

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Daripada nabi s.a.w, baginda bersabda:
Ada tiga sifat yang sesiapa memilikinya, dia akan mendapat kemanisan iman iaitu: Seseorang yang menyintai Allah dan RasulNya lebih daripada yang lain, menyintai seseorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya dari kekufuran tersebut sebagaimana dia tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).


Reply: Hanakatase: Kena belajar tu Hana. Nanti sian cik abang bila ngidam nk makan nasi himpit :D... Zhoulsz: tak cukup tapak tangan, talam Mat tadahkan. rezeki jangan ditolak. hehe... qoolat: ler, baru semalam aku buat. rugi la tak datang... chubbychan: meh jemput makan.. lain ker bunyinyer open house orang bujang?? :D... etake: masak tu boleh, terer tu tidak la. main bedal jer etake. cnma: satgi kalau aku ajak, hang cakap aku perli pulak..huhuhhh... wkdin: ye la kan wkdin, wasatiah.. thurayya: apa kata kalau balik nanti nana pulak buat utk mak. terharu mak! nanti kalau dah jadi bini org, susah dah.. chubbychan: 'si dia' masih lagi di woksyop.. minggu depan baru siap kot.. etake: tu la etake, rekaan manusia, banyak kelemahannya.. mely: alhamdulillah, sihat mely :) muring-wien: sudah tentu sushi di kampung kelahirannya.. pernah beli sekali jer sushi di malaya, di carrefour.. dan rasanya amat2lah berbeza. terutama dari ke'fresh'an ikannya. sushi orang putih mcm mana pulak?? ada frankfurter??

Thursday, December 11, 2003

Kimchi

Lunch tadi pekena Kimchi yang dibeli Isnin lepas. Aikk, semalam kata tak habis lagi puasa 6. Hari ni hari Khamis pulak tu, kan lebih baik kalau puasa hari ni?? Hajat begitu la. Tapi 'kapten orkestra' dalam perut punya pasal la ni. Pandai-pandai keluarkan arahan. Hasilnya jam baru pukul 8 am, perutku dah mula mendendangkan lagu Cindai sumbang. Syaitan pun tersenyum riang...

Macam mana rasa Kimchi?? Ermm, rasa sayur, rasa cili. Ntah la, tak reti plak otak ni nak mentafsir rasa. Rumit! Sedap ke tidak? Ermm, pun tak leh nak jawab. Kalau kata sedap, nanti nak kena beli lagi. Kalau kata tak sedap, rasa rugi pulak nak buang. Alang-alang dah beli kenalah makan sampai habis.


Kimchi, sapa nak?

Sebelah petangnya hajat nak menghantar 'si dia' yang tak betul tu ke wad orang gila woksyop. Barang-barang dah di-order Selasa lepas. Tukang pomen tu call kata part tak ada dalam stok. Kereta jenis tu memang dah lama tak dikeluarkan. Padan muka! Saper suruh beli kereta limited edition lagi???...

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadaku:
Janganlah sekali-kali kamu memandang hina kepada kebaikan, walaupun kebaikan itu hanya sekadar kamu menunjukkan muka yang manis kepada saudara kamu ketika kamu berjumpa.

(Hadis riwayat Imam Muslim).

Wednesday, December 10, 2003

Panggilan 'Misteri'

Menghadiri sesi presentation pagi tadi dengan mata yang sungguh kuyu sekuyu, sesepek, mata orang-orang Jepang! Gara-gara tak cukup tidur beberapa hari ni. Selesai present, kaki aku ada satu haluan sahaja. Balik rumah! Tak tahan beb, ngantuk!!

Lagu hakka candy berkumandang. Alamakkk... saper pulak yang tepon tengah-tengah malam nih?? Grrr, Kimura-san (boss di kilang (HITACHI) -part time) lagi. Tak der kerja lain la nih kalau tak merayu suruh pergi kerja. Aku pun malas nak membebel panjang, aku jawab "OK, saya pergi...", walau kudrat dah tak terdaya sangat dah. Tidur tengahari kejap OK kot nanti. Selalunya tengahari kalau dapat tidur 15 minit pun cukup la, insyaAllah badan jadi fresh balik. Sunnahnya kena tidur sebelum masuk Zohor. Tapi aku selalu bantai tidur lepas solat Zohor. Huhuhh...

Hari ni pun tumpang kereta Kim lagi. Seronok juga yer sekali sekala jadi penumpang. Sambil-sambil tu boleh usha awek Jepang lelap seminit dua. Alhamdulillah, kerja di dalam hari ni. Kerja apa ya di dalam?? Kerja menggrind roller kertas dalm printer, pelanggannya Fuji Xerox. Tak payah pantau mesin kat luar tu. Pukul 8 pm begitu Kimura-san masuk minta aku stop kerja tu. Apa arahan dia? "Boleh minta tolong pantau mesin-mesin kat luar tu tak?" Hampeshh... Sejuk la pokcik!!

Dalam perjalanan balik ke rumah, baru aku terperasan, bulan dah penuh! Hari ni berapa haribulan yer? 16 Syawal. Kejap betul masa!! Puasa 6 belum habis lagi. Sampai di rumah, ambil kamera snap gambar bawah ni. First time aku tangkap gambar bulan! Kalau tak kerana nak taruk dalam blog...


Bila agaknya aku nak sampai ke bulan yer... Eceh, ceh...

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Iman itu terdiri dari lebih tujuh puluh cabang atau lebih dari enam puluh cabang. Cabang yang paling utama adalah ucapan: "Laa Ilaaha illallaahu" manakala cabang yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang berbahaya (seperti batu, duri dan sebagainya) dari jalan. Malu juga adalah salah satu cabang iman.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Monday, December 08, 2003

Ayam O Ayam...

Tengahari tadi ke kedai jahit. Mengambil jeans yang dihantar Jumaat lepas. Lututnya berlubang dan perlu ditampal. Tu la, lutut aku tajam sangat. Terlebih asah. Aku agak tertarik dengan budi, tutur bicara mak cik kedai tadi. Terlalu polite bahasa yang diguna. Sedangkan aku membahasakan diri 'masu', 'desu' sahaja. Ore wa gaijin da!! :D

Dalam Bahasa Jepun, terdapat beberapa peringkat ataupun gaya penuturan yang biasa digunakan. Gaya laras bahasa bila berbicara sesama teman (orang yang lama kita kenal) - tak sesuai digunakan ketika berbual dengan orang yang lebih tua, nanti dianggap kurang ajar!-, gaya pelajar dengan guru @ orang yang lebih tua ('masu' & 'desu', masih polite), atau laras bahasa 'keigo', satu gaya penuturan bagi aku agak sukar untuk dikuasai, bahkan muda-mudi Jepun yang sebaya dengan aku sendiri pun agak kekok menggunakannya. Terlalu polite!! Ya! Makcik tadi cakap keigo dengan aku!

Jumaat lepas harganya 600 yen, tapi tadi makcik kedai tu cakap, tak perlah nak, 300 yen sudah lah. "Betul ker ni makcik??" saja keluarkan ayat menolak. Padahal dalam hati, yatta!!(yes!!). Kang kalau dia batalkan niat nak diskaunkan 300 yen baru padan muka. Terima kasih makcik!! Mudah-mudahan kau dimurahkan hidayah dari-Nya.

Dah seminggu terputus bekalan ayam. Nak tak nak hari ni kena juga pergi Mito beli ataupun aku makan nasi berlaukkan telur setiap hari. Nahas la siapa yang duduk dekat. Biogas baik punya. Haha... Balik awal dari lab hari ni (Pukul 6 pm awal ke? Masih awal di mata manusia-manusia sepek ini).


Agak lengang

Bertanya-tanyakan teman yang lain, kalau-kalau ada yang nak pesan. Yerlah, Mito tu 30 km dari sini, bukannya dekat. Pergi balik makan 2 jam paling kurang. 8 tongkol kesemuanya. Tongkol? Dah ayam pun keras macam batu jer... Kesemuanya memesan boneless. Aku faham. Sebab sejuk dan korang pun malas nak potong kan?? Hehee... Aku pun memang nak gi beli boneless la ni. Kita serupa.....

Ntah tetiba mata aku terpandang satu benda dan membuatkan aku tertoleh sekali lagi. Kimchi, sejenis jeruk sayur yang ditaruk cili, makanan Korea. Dengar orang bercerita macam sedap jer. Aku pun angkat sebekas, mahu mencuba rasa. Buang tebiat ker Mat, tetiba terasa nak makan Kimchi ni??... Tak, buang duit! Sebelum pulang sempat singgah ke Pakistanian Shop. Sambar sebungkus daging lembu & sebungkus bawang goreng . Sampai bila lah aku nak kena makan daging-daging tak fresh ni haa??? Sampai balik Malaya la Mat oii!! Huhhuhh...

Perjalanan pulang agak lancar. Tak banyak kereta malam ni. Boleh la memecut! Tetiba, sebaik melepasi bandar Hitachi-Naka, bunyi sumbang terdengar dari bahagian enjin. Gerun bunyinya!! Sah, si 'dia' dah mula nak buat hal. Perlahankan si 'dia' dan singgah ke convinience store terdekat. Tayar OK. Part lain di luar semuanya OK, tiada masalah. Dalam-dalam nyer, ermmm, ntah ler... Bengkel semua dah tutup. Kalau pegi gas stand, sure mahal nyer. Aisehh, takkan nak kena hantar ke wad orang gila woksyop kot?? Habisyy, terbang la duit pokcik... Lalu, di malam yang tenang, aku dan si 'dia' pulang dengan kelajuan 40 km/j merangkak-rangkak dalam nazak.

Makhluk, sementara sifatnya, bukan abadi!


Konbini

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Seseorang telah berkata kepada nabi s.a.w: Berikanlah wasiat (nasihat) kepada aku. Baginda bersabda: Jangan marah.
Orang itu mengulanginya beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Jangan marah.

(Hadis riwayat Imam Bukhari)

Sunday, December 07, 2003

Jemput Makan...

Sejak bila ya orang kita memulakan tradisi open mengopen house ni? Rasanya masih baru. Dan ianya lebih popular di kawasan-kawasan di lembah Kelang dan kini semakin merebak ke seluruh pelosok tanah air. Di kawasan kampung? Aku agak, masih janggal!

Mengikut plan asal, sebenarnya aku pun berhajat nak buat open house semalam. Mungkin kurang sesuai untuk diistilahkan open house sebab yang dijemput hanyalah beberapa kerat teman-teman. Jemput beraya lebih sesuai kot... Tapi, disebabkan che Adam lebih awal membooking hari, so terpaksa dianjakkan kepada hari ni. Tetamu yang dijemput, semua teman se-Malaya dan 2 orang sahabat dari China & Korea.

Sebenarnya aku pun blank nak masak apa sebagai juadah meraikan tetamu hari ni. Nak masak yang dahsyat-dahsyat mana la aku reti. Fikir punya fikir, akhirnya buat keputusan masak nasi himpit & kuah kacang ajerlah hari ni. Selebihnya kuih-muih yang dibawa dari tanahair tempohari. Ala kadar, cukup sederhana.

Tetamu pertama yang datang, 2 orang rakan international, pukul 6:30 pm dan beredar pulang sekitar pukul 7:40 pm. Semuanya berjalan lancar. Nampak gaya macam tekak diorang boleh terima makanan orang-orang kita. Janji dengan teman-teman se-Malaya suruh datang pukul 8 pm. So, ada lagi lebih kurang 20 minit untuk bersiap-siap menghidangkan juadah, mencuci pinggan mangkuk yang terlonggok dalam sinki.

Haha, ni lah kali pertama pok cik buat makan-makan sempena hari raya nih. Sudah tentulah ada pincangnya. 1st round nyer nasi himpit OK la, tak lembik, jadi kiub lawa jer. Pas tu datang 2nd round, nasi dah mula hancur. Yang ni sebenarnya nasi yang dimasak tambah lewat sedikit tadi (bila perasan macam tak cukup jer). Jadi belum sejuk betul-betul lagi. Lepas tu kuah kacang pulak habis. Diorang ni hirup kot. Hehe... Alasan pulak. Aku yang termasak sikit. Sorry lah er semua, masak tak cukup. Perancangan manusia, banyak kelemahannya... Alhamdulillah, semua juadah telah dihabiskan.


Juadah orang bujang

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w
bersabda:
Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Saturday, December 06, 2003

Nabe - Sponsored by en. Adam

Celik mata jam dah pukul 9:36 am. Tidakkk... Harap-harap majlis tak mula lagi. Sebenarnya tak diberitahu pun pukul berapa majlis akan bermula, tapi aku agak pukul 9 am. Dah la tidur tak puas. Semalam berborak dengan adik-adik lain di rumah Syed hingga menjelang Subuh. Usai Subuh terus tidur (6 am). Situasi begini tak perlu mandi lagi dah. Mandi P Ramlee. Huhuhh...

Sesampai di lab, menjenguk dari celah-celah pintu dan semua mata terpandang ke arah aku. Alamak!! Lewat sangat ke aku?? Masuk ke dalam, hahaha, aku gelakkan diorang semua pulak. Majlis belum bermula. Pukul 10:30 am kata Prof. Sib baik tak datang awal. Hehe...

Tetamu hari ni Prof. Peter Castle dari Western Ontario University, London ON, CANADA. Presentation darinya hampir sejam, berhenti lunch (hampeh tul, diorang beli nasi lauk daging... takkan tak faham-faham lagi...). Budak Jepun semua takut nak bersembang dengan Peter ni. Ni salah satu benda negatif yang aku dapati pada ramai student Jepun, tak berani mencuba. Takut salah, takut ditertawakan, mungkin... Sudahnya Prof. Takeuchi memberi isyarat mata suruh aku bersembang dengan prof nih.

Majlis diteruskan dengan presentation dari master student. Seronok dengar Japanese speaking English. Pronounciation nyer lain dari yang lain. Ingatkan selesai sesi presentation, majlis pun tamat, rupa-rupanya belum lagi. Giliran budak degree pulak. Kena perkenalkan research masing-masing dalam 5 minit gitu. Selesai semua, ada sesi bergambar pulak. Aduss, lambat benar. Majlis tamat lebih kurang pukul 4 pm.

Petang ni ada janji temu di rumah Musa. Ya! Nabe. Nabe ataupun masakan seperti steamboat ni agak famous di musim sejuk. Cara masak terlalu simple. Masukkan base dalam periuk seramik yang diisi air, kemudian campaklah apa yang terasa nak dimakan. Periuk seramik ni selalu diletakkan di atas kotatsu (meja rendah berpemanas). Kaki hulur masuk bawah kotatsu, mulut mengap makanan. Berenam malam ni, tuan sponsor che Adam, tuan rumah Musa, Izuddin, Khusyairi, dan Syed. Berselera betul makan ramai-ramai. Tapi, jarang dapat berkumpul begini selalu. Masing-masing sibuk la katakan. Thanx Adam!!


Menghangatkan dingin malam

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a katanya: Ada seseorang
bertanya Rasulullah s.a.w: Bagaimanakah Islam yang baik itu? Baginda
menjawab:
Kamu memberi makanan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu
kenali dan kepada orang yang belum kamu kenali.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Friday, December 05, 2003

Menjelang Winter

Hokkaido (paling utara) dan prefecture-prefecture di sebelah Laut Jepun (prefecture aku mengadap ke Laut Pasifik) sudah pun mula disadur putih salji. Melihat akan salji membuatkan aku tak sabar-sabar nak ke ski-jou (skiing ground). Aku benar-benar jatuh hati dengan sukan snow boarding. Agak lasak dan berbahaya namun itu bukanlah penghalang. Minat punya pasal. Huhuhh...

Kalau sukan lain, main 2,3 jam dah mampu membuatkan aku terbongkang, tapi tidak dengan snow boarding. Dari pagi hingga hampir-hampir tamat waktu perniagaan aku susah nak bersengkang (kecuali waktu berhenti lunch dan solat)dengan board kesayangan. Penat?? Tak terasa pun. Inikah yang dinamakan yuki no chikara (kuasa salji)?? Warna putih bersih itu dapat menghilangkan segalanya. Penat, bosan, stress pelbagai. Subhanallah maha hebat tuhan pencipta. Tak sabo nih...


Pemandangan belakang rumah 4 bulan lepas


Dan semalam sudah begini... Pantas!!


Orang lain aku rasa ada yang dah habis berpuasa 6, aku??? Haa, baru hari ni nak start. Muahaha, lambat benar pokcik... Yelah, masa balik Malaya hari tu dengan sedara-mara dari jauh datang beraya tambah pulak dengan kenduri kendara (rumah sendiri dan rumah orang lain), tak tercapai hajat. Tak perlah insyaAllah sempat lagi, tu pun kalau dipanjangkan usia.

Lewat sedikit ke lab pagi ni, dlm 11 am. Sengal-sengal badan memerah keringat semalam masih terasa. Tu yang lama bermalas-malasan atas tilam tu. Sudah bangun disambung tidur balik. Baloq! (kata oghang negeri chek.) Banyak kerja-kerja yang masih tergendala lewat pulang bercuti tempohari. Hasilnya pukul 1 am (sudah masuk hari Sabtu) baru pulang ke rumah. Esok ada kunjungan profesor dari Canada, bahaya tidur lewat-lewat. Haii, Sabtu hari bercuti, hari bersantai laa...

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Aku pernah
bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama?.
Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya.
Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi?.
Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua.
Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi?.
Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Thursday, December 04, 2003

Berkojo-berkojo

Pegang itu tak kena, pegang ini tak kena. Satu kerja pun tak jadi. Haha, masih mood raya & mood balik kampung. Semalam, tatkala budak-budak lain (kecuali Matsumoto, Ueno & Noguchi) present hasil research (data experiment minggu lepas punya) masing-masing, aku hanya kaku atas kerusi. Tak ada apa yang nak dipresent. Ya lah dah nama balik bercuti. Hehe... Jasad ajerlah yang ada masa tu. Fikiran semestinya masih merewang-rewang di tanahair. Home sick?? Tidak. Cuma terimbas bibit-bibit kenangan manis yang telah ditempa sepanjang percutian 10 hari.

Alhamdulillah, tahun ni badan aku cepat menyesuaikan diri dalam dua keadaan cuaca yang berbeza. Tahun-tahun sebelumnya bila balik ke Malaya ataupun datang ke sini semula, badan aku selalu cepat meragam. Perubahan mendadak suhu musim sejuk ke suhu khatulistiwa ataupun sebaliknya. Beberapa hari lepas, pagiku bersuhu 23-25 celcius, tapi hari ni mencecah ke 3 celcius!! Hampir-hampir takat beku. Sejuk pagi menusuk ke tulang hitam. Hmmm, sabar, belum masuk winter lagi ni. Baru tempias ajer. Tapi kalau nak dibandingkan dengan suhu di Ulan Bator, Mongolia sekarang (sekitar -30 hingga -20 darjah celcius) alhamdulillah aku seharusnya bersyukur. Macam manalah agaknya diorang tinggal di sana yer???...


Pokok-pokok dah mula menogelkan diri. Ke mana perginya daun??


Ke tanah jua akhirnya

Pagi-pagi lagi mendapat panggilan dari kilang tempat aku buat part time. Alamak!! Hampir lebih 2 bulan tak ke sana. Terasa malas la pulak nak memerah keringat hari ni. Tapi tak patut kan aku menolak permintaan orang yang dah menaruh harapan dan kepercayaan kepada kita. Ala, lagipun bukannya kerja free. Dia bayar gaji! Pergi jerlah...

Tumpang kereta Kim hari ni. Takkan nak bawa kereta pun tak der mood kot? Tak, bukan sebab tu. Sebabnya peraturan kat kilang tu dah semakin tegas. Sesiapa yang memandu ke kilang dimestikan tunjuk sijil insuran masing-masing. Aku?? Mana masuk. Mahal sangat! Habis tu tak takut ker kalau jadi apa-apa? Ermm, bawa elok-elok dan selebihnya berserah pada-Nya. Bernasib baik hari ni ditugaskan buat kerja yang tak begitu berat (memantau mesin-mesin production, memotong bahagian-bahagian yang tak perlu dan menyusunnya dalam raga). Warm up dulu la. Hehe... Tapi boleh tahan la sejuk, sebab mesin-mesin ni semuanya ditempatkan di luar, bukan di dalam bilik.

Terima kasih buat pakcik Takahashi-san yang banyak menolong aku malam ni. Maklumlah dah setengah tahun lebih aku tak ditugaskan jaga mesin ni. Terlupa procedure. Huhuhh... Pukul 0:50 am, habis kerja dan bertolak pulang. Kerja 7 jam setengah dapat RM 270 ++. Ok la, simpanan hari tua. Heheh... Kalau macam tu, boleh la buat selalu. Ohh, tidak. Penat!! Nanti tak ke lab aku.

Reply: Genny: sesame..thanx gak 4 ur card..naper jrg online?? hmm, kalau aku online alamat tak siap la kijer2 aku nanti..hehe.. cnma: slamat :D salina: ermm, tapi mcm mana nak kasi ni? by YM? nitro: awat tak habaq awai2?? etake: biarlah Allah yang menentukannya.. thurayya: memang terasa4 sgt sindrom tu..hehe.. wkdin: cuti pendek jo wkdin :D alunz: slamat eid mal: welkam! salam ukhuwwah :)

Tuesday, December 02, 2003

Sesekali Diuji

Lebih kurang pukul 24 am, flight memasuki ruang udara Laut China Selatan. Tetiba flight yang tadinya tenang sahaja bergegar pabila bertembung dengan awal tebal. Pramugari & pramugara yang sibuk melayan penumpang akhirnya berpatah ke seat masing-masing dan membatu hampir sejam. Pengumuman dari kapten kapal, yang cuaca di sekitar Laut China Selatan hingga ke kepulauan Filipina agak kurang baik. Ini bukanlah pengalaman pertama, namun rasa cemas tetap ada. Maklumlah atas udara ni, apa saja boleh berlaku. Nauzubillah, minta perlindungan dari-Nya.

Keadaan kembali reda sebaik saja flight melepasi kepulauan Filipina. Alhamdulillah. Hajat mahu tidur saja, tapi mata ni asyik terbuka jer. Teringat masa zaman kanak-kanak dulu. Kalau rasa susah nak tidur jer, minta abah ceritakan sesuatu cerita (selalunya abah suka ceritakan cerita-cerita yang ada pengajaran). Tapi, jarang benar aku dengar cerita abah sampai ending. Mana taknya belum klimaks aku dah tidur. Hahaha...
Serius bosan dalam flight! Nak berborak, seat sebelah kosong. Sudahnya layan movie (Charlie's Angels). First time tengok cerita ni. Boleh la...

Tiba di balai ketibaan Narita Airport pukul 7:35 am. Aiseh, terlepas bas maa... Lambat 5 minit. First time ni balik ke rumah dengan kenderaan awam. Selalunya datang ke airport dengan kereta, pas tu park kereta dekat parking berdekatan. Memang mudah! Bayaran parking pun murah. Tapi sebab cuti 10 hari jer, so terpaksa la datang dengan bas hari tu. Call junior-junior, semuanya ada kelas full hari ni. Cancel naik bas. Tukar naik densya (train). Sebelum tu poskan 2 kotak barang ke rumah. Tak larat eden nak bimbit.

Pukul 12:05 pm baru sampai rumah. Penat tak terkata. Berapa kali ntah tukar train tadi. Narita Airport - Narita City - Abiko - Toride - Tsuchiura - Mito - Hitachi taga, then naik bas sampai rumah. Hmmm, kalau naik rapid train kan senang tadi. Sajer, ubah selera.



Sesampai di rumah, call balik ke M'sia. Allahuakbar! Terima berita kurang baik. Rumah aku dipecah masuk semalam. Kata mak, sampai di rumah semalam dalam pukul 11 pm lebih, selepas hantar aku ke airport. Then semua tertidur. Pukul 2 am, bila mak tersedar didapati pintu ternganga luas. Kemudian kakak terjaga dan sedar yang handset dan duit dalam wallet lesap. Mak pun check dompet dia. Habisyyy, ketiga-tiga dompet kosong. Wallet adik aku pun sama. Total RM 1*** ++ dicuri. Pertama kali rumah aku dipecah masuk. Ingatkan kampung still selamat. Tidak rupanya. Syak adik aku (terdengar bunyi suara orang di luar pukul 3 am) 2 malam lepas benar terjadi nampaknya. Tak perlah nak buat macam mana. Nak bersedih pun, harta tu bukannya milik kita. Harta pinjaman saja dari-Nya. Sampai masa kena pulangkan. Doaku semoga rumah orang lain tak kena pecah lagi dan mudah-mudahan Allah beri petunjuk buat si pencuri.

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansariy r.a katanya: Rasulullah
s.a.w bersabda:
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian menyusulinya
dengan enam hari pada bulan Syawal, puasanya itu adalah sama seperti
puasa sepanjang tahun.

(Hadis riwayat Imam Muslim).

Monday, December 01, 2003

Kembali

Hampir 2 minggu kubiarkan AZIMAT kesepian DI ANGIN LALU. Percutian 10 hari yang agak singkat bagi aku, tapi telah meninggalkan banyak kenangan, pahit manis resam dunia. Hari ni aku kembali dengan bulu ayam ditangan, hasrat untuk menyuci sawang!

Kepulanganku disambut dengan pelbagai berita baik, antaranya; adik perempuan aku yang menduduki UPSR tahun ni alhamdulillah dapat 5A, abah dinaikkan pangkat lagi, mak & abah menerima menantu baru, beberapa orang saudara-mara yang menimang cahaya mata baru, lagi dan lagi. Berita baik-baik belaka, tahniah!!

Namun berita dukacita pun tak kurang juga, terutamanya berita-berita kemalangan jalanraya. Paling sedih, berita kemalangan 2 buah bas di Jalan Kuala Lipis-Merapoh. Kesemuanya membabitkan orang kita. Takziah buat ahli keluarga mangsa. Mudah-mudahan ruh mereka semua ditempatkan di kalangan para salihin, insyaAllah, amin. Memang tak disangkal ajal maut di tangan tuhan, tapi insyaAllah kemalangan dapat dielak jika pemandu-pemandu membuat peng'islah'an pada sikap masing-masing.

Setiap tahun macam-macam Ops yang dilancarkan, namun statistik kemalangan tetap tidak berubah. Lori dah disekat, pun tak berkurang juga. Gamaknya nak kena tutup jalan sepanjang musim raya ni baru berkesan kot. Habis tu macam mana orang nak balik beraya?? Ya tak yer jugak ya... Ermmm, ramey-ramey kita naik unta dan kuda la. Hehehe...

*** MH 088 ***

Pantas benar 10 hari yer. Berat sungguh rasanya nak meninggalkan semula famili terchenta hari ni. Ntah bila pula boleh berjumpa, wallahua'lam. Bertolak dari rumah pukul 4:30 pm. Singgah di Carrefour, Seberang Jaya. Membeli-belah barangan keperluan untuk dibawa ke sini. Kesibukan menyambut Syawal dan kenduri menidakkan aku untuk membuat persiapan lebih awal. Sambar itu ini, dan terus bergerak ke Bayan Lepas.

Tiba di sana pukul 8 pm, masih awal. Flight ke KLIA pukul 9:20 pm. Sayu kulihat muka mak. Sedar atau tidak sudah hampir 11 tahun aku tinggal berjauhan dengan mak. Bagaimana beratnya beban rindu yang ditanggung, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Relakanlah pemergian daku. Aku ingin kembali ke medan juang. Aku berjanji akan kembali ke pangkuan mak, membalas segala jasa, perit maung membesarkan aku, insyaAllah. Terima kasih mak & abah, terima kasih famili semua. Aku pergi dulu...

Sampai di KLIA pukul 10:15 pm. Masih ada hampir sejam lebih sebelum flight seterusnya. Sempat lagi rasanya membeli sedikit souvenir buat sahabat-sahabat di sana. Haaahhh... Congakan aku hampir-hampir menyebabkan aku ketinggalan flight! Gara-gara lembabnya servis..... , arghh malas nak cerita. Nanti menyala balik marah yang masih membara. Astaghfirullah...


Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Rifa'ah bin Rafi' r.a katanya:
Jibril a.s datang berjumpa Nabi s.a.w lalu bertanya: Apakah kedudukan orang-orang yang turut berperang di dalam peperangan Badar di kalangan kamu? Baginda menjawab: Mereka tergolong di kalangan orang-orang Islam yang paling baik atau ungkapan seumpamanya. Jibril berkata: Begitulah juga para malaikat yang turut berperang di dalam peperangan Badar.

(Hadis riwayat Imam Bukhari).


Reply: alunz: alhamdulillah sampai jugak. ifaalyana: mungkin dah basi kalau Mat nak ucap..apapun heppy belated eid mubarak (aik boleh ker?)...hehe jill: grrr, seramm... inaibak: hari raya omedetou. macam mana raya tahun ni di niigata? cnma: dah balik dah cuma maklum la kan, dah bercuti byk hari, kena la cover balik tugasan2...insyaallah lepas ni Mat cuba rajin2kan diri mengupdate...hehe kulat: kya kyaa.... huuhuhhh etake: amacam raya di US? salina: yer ker? kalau nak, Mat boleh bagi file asalnyer... :) zett: hmm, takkan dah tak cam kot... berubah sangat ke aku ni?? untuk semua: terima kasih kerna setia berkunjung ke mari...arigatou