Saturday, December 31, 2005

Penutup 2005

Assalamualaikum buat semua dan terima kasih kepada yang masih sudi menjenguk-jenguk ke sini walaupun bilangannya hanyalah beberapa kerat. Pasti kalian hampa dengan hidangan yg disediakan di sini. Dah berulat, naik meloya dah tengok noo...

Mat hanya nak ucapkan selamat menempuh tahun 2006 dan moga hari ini dan hari-hari esok lebih baik dari semalam. Masih tiada mood nak tulis panjang-panjang.

Selamat Tinggal 2005, selamat datang dan moga 2006 lebih ceria, mampu kembalikan semula senyuman di wajah ini seperti dolu-dolu.

Selamat tinggal penderitaan, selamat tinggal kesengsaraan...

Thursday, October 06, 2005

Salam Ramadhan

Lama tak berupdate. Macam biasa, penyakit lama ditambah penyakit baru. Kehidupan seharian sekembali dari bumi sakura masih hambar. Tiada apa yang istimewa untuk dipaparkan di sini.

Untuk pengetahuan semua, Mat sekarang agak sibuk (menyibukkan diri sebenarnya) menelaah lembaran-lembaran ilmu bidang baru disamping tugasan-tugasan tambahan sepanjang Ramadhan. Tekad sudah dibuat, azam sudah disemat. Insya-Allah kalau tiada aral, pertengahan tahun depan Mat akan meredah jalan baru itu. Haha, jangan silap tafsir pulak no...

.:. Selamat Berpuasa & Selamat Beribadat di Bulan Yang Penuh Berkat.:.

Sunday, August 14, 2005

Finale - Flashback (Part 2)

...sambungan

Apapun semuanya dah selesai, pantas sungguh berlalu. Tulisan-tulisan cacing tu pun dah kena hadam, professor-professornya pun dah jinak-jinak. Bagi Mat pengalaman belajar dan hidup di rantau orang ini adalah satu aset yang terlalu berharga. Walaupun jalan yang telah Mat lalui terlalu jauh dari angan-angan, perancangan dan segala yang diimpikan. Aku redha, syukur pada-Mu Tuhan.

Hidup dalam komuniti bangsa Jepun pula mungkin satu kelebihan tambahan. Menumpang kemajuan mereka, belajar dalam persekitaran yang kompetitif, contohi budi pekerti, pelajari apa itu tolak ansur, timbang rasa dan dalam masa yang sama, kena berjuang menjaga akidah diri, memelihara imej baik agama dan negara. Nikmat dan ujian, kedua-duanya sesangat manfaat dalam pembentukan sahsiah diri.

Kalau Mat tak ke sini, sudah tentu Mat tak akan merasa solat di kaki lima, bawah tangga, dalam karaoke box (kalau hujan), di pinggiran jalan, sambil diperhatikan orang yang lalu lalang. Sudah pasti Mat akan tiada minat, tiada rasa tanggungjawab untuk mendekati mereka yang non-Muslim. Dan sudah pasti Mat masih buta mengenai masyarakat antarabangsa, budaya dan cara hidup mereka.

Memasak, kalau dulu hanya jadi pelakon tambahan, diberi tugas ringan seperti menggoreng dan masak nasi. Datang sini, semuanya kena buat sendiri. Dari menyediakan bahan hinggalah ke sentuhan terakhir. Membasuh, menjemur, kemas rumah tak usah ceritalah. Semuanya dah merasa. Baru tahu betapa susahnya selama ni mak menguruskan rumah. Sambil belajar sambil bekerja (part time) cari rezeki tambahan. Penat badan hanya Allah sajalah yang tahu. Baru faham, betapa besarnya pengorbanan abah selama ni.

Peristiwa sepanjang 5 tahun 5 bulan, suatu yang tak akan luput dari ingatan.



Pesta bunga api di Tasik Senba minggu lepas



Hanabi terakhir


Di bawah ni ada video khas sebagai kenang-kenangan sebelum pulang. Video pendek ni merupakan gabungan-gabungan video-video pendek aktiviti bebudak Ibaraki selama ni yang telah diedit oleh Kulat & Apek.

Adik beradik Ibaraki - Edited by Kulat

Wednesday, August 10, 2005

Finale - Flashback (Part 1)

5 tahun 5 bulan. Bunga, panas, luruh dan sejuk, musim bersilih ganti. Puas sudah merantau. Menjalani hidup di tanah orang. Menjelajah dari satu daerah ke satu daerah, meneroka ke setiap ceruk, menimba ilmu buat bekalan hidup.

***Cerita Lama***

Apa yang telah berlaku dalam 7 tahun terakhir ini, memang tak pernah termimpi dalam diari-diari silam. 9 tahun lepas, impian keluarga yang juga cita-cita besar Mat sudahpun terlebur tak kesampaian. Sejak tu, terasa kelam jer masa depan dan kurang bermaya untuk melangkah ke hadapan. Masa tu Mat meletakkan kesalahan secara total pada Dato' N**** yang ketika itu Menteri Pendidikan atas dasar yang diperkenalkan. Mungkin juga salah sendiri kerana tak berani ambil risiko untuk ke jalan alternatif. Takut akan kehilangan 'status istimewa'. Huhuhh...

Cerita ni agak kabur. Siapa yang senasib dengan Mat mungkin memahaminya. Malu nak ceghiter...

Bila difikirkan balik, takder siapa yang harus dipersalahkan. Sebab pasti ada rahmat di sebalik setiap ketentuan. Dapat menyusuri jalan yang diimpikan tak bermakna akan sampai ke destinasinya.

Dan kemudian, memasang angan-angan pada jalan baru yang disusuri. Mat panggil angan-angan sebab dah kurang yakin pada word cita-cita. Belajar pun sambil lewa untuk SPM, tapi alhamdulillah Allah Maha Pemurah, dapat result OK la. Datang pulak Soros, ekonomi gawat tahun 1997 / 1998. Angan-angan tadi pun terus berkecai. Sudah jatuh ditimpa tangga. Cita-cita ke mana, angan-angan ke mana.

Dipendekkan cerita, satu hari datanglah posmen dengan surat tawaran kemasukan ke program RPKJ (Rancangan Pemulihan Kanak-kanak Jahat) di UM di bawah tajaan JPA. Di bawah program ni, Mat perlu menjalani kursus persediaan 2 tahun (1 tahun 9 bulan sebenarnya) belajar bahasa Jepun sebelum dinilai samada layak atau tidak untuk menyambung pelajaran ke universiti di Jepun.

Masa tu, Mat tak tahu nak kata ini hadiah atau musibah. Terbayang dapat terbang untuk belajar di luar, memanglah ianya satu hadiah yang istimewa. Tapi bila difikirkan yang Mat kena belajar bahasanya yang macam cacing, dengan cerita-cerita yang professor-professor di Jepun sana lebih kurang macam askar Jepun dulu-dulu, tentulah ianya satu musibah besar.


to be continued...


Klip foto di bawah ni pernah Mat uploadkan dalam entri lepas. Saja letak sekali lagi sempena countdown keberangkatan pulang Mat ke tanahair.


Satu Perjalanan (1)



Satu Perjalanan (2)



Lama tak menulis, cerita berterabur, bahasa tonggeng langgang.

Saturday, July 30, 2005

Ralat

Ada seseorang pernah menanya Mat, "Ibaraki tu tak jauhkan dari Osaka?". Jawapannya, dekat dan jauh. Sebenarnya ada 2 tempat yang namanya Ibaraki di Jepun. Satu, negeri Ibaraki di kawasan Lembah Kantou (jaraknya sekitar 700km dari Osaka) dan satu lagi pekan Ibaraki yang terletak hanya kira-kira 14km dari metropolitan Osaka.

Dua Ibaraki, namanya sama tapi ditulis dalam kanji yang berlainan, loghat / dialek pertuturan pun amat-amat berlainan. Negeri Ibaraki dengan loghat Ibaraki (Ibaraki ben) dan bahasa baku (hyoujungo) manakala pekan Ibaraki dengan loghat Kansai (Kansai ben). Mat tinggal di negeri Ibaraki, memang sangat jauh dari Osaka.

Harap tidak keliru.

Saturday, July 23, 2005

Anak mak yang GLOKAL

Minggu lepas masa call rumah, mak cakap buah moktan (rambutan) dan langsat di belakang rumah lebat jugak jadinya tahun ni. Kecur air liur Mat mendengar. Macam ni lah mak tiap-tiap tahun. Kata mak, sejak Mat berada di tanah orang ni, masuk saja musim buah, terus teringat jer dekat Mat.

Ya, tiap-tiap tahun Mat hanya balik bercuti di Malaysia pada musim bunga dan tak pernah balik sepanjang cuti musim panas. Bermakna setakat ni, dah 5 kali musim buah Mat terlepas. Memang senang sekarang nak dapatkan rambutan, durian, langsat ataupun manggis sekalipun di luar musim. Tapi, buah-buah yang dapat dipetik dari pokok-pokok di belakang rumah Mat tu manalah nak sama kalau nak dibanding dengan buah-buah yang berlambak-lambak dijual lelong dari Siam sana.

Imbas-imbas cerita dulu-dulu, zaman sekolah rendah. Masuk musim buah, bisnes utama Mat di hujung minggu, memanjat dari pokok ke pokok dari dahan ke dahan (macam beruk pulak bunyinya) petik rambutan dan langsat dan penuhkan stor buah dalam rumah. Pernah sekali, angkara terlalu rakus memetik, terlepas tangan dari dahan dan terus melayang ke bawah terkapai-kapai.

Alhamdulillah, Allah masih bermurah untuk panjangkan nyawa. Di saat paling genting, jarak badan Mat dari sebatang tungkul kayu tajam hanya setengah meter. Nasib baik sempat berpaut pada dahan paling bawah. Tangan kanan Mat masa tu teruk bergesel dengan dahan dan parutnya masih jelas hingga ke hari ni, tapi Mat tak pernah serik untuk memanjat lagi.

Itu cerita dulu. (Hehe, ada org yang tengah tersengeh sorang-sorang...)

Tuesday, July 19, 2005

Kecoh

Jam 3 pagi. Bunyi siren kereta omawarisan (polis) memecah keheningan Subuh. "Woo woo woo woo woo woo .....", memekik hampir setengah jam. Adegan kejar mengejar chinpera (kuli-kuli yakuza) dengan polis mungkin. Atau datangnya dari kereta polis yang menyerbu ke tempat kejadian kemalangan / pembunuhan / kebakaran. Atau atau atau... Banyak betul syak aku.

Tanah Jepun kini semakin banyak berubah. Orang-orang mudanya banyak yang hanya mewarisi darah spesis Jepun, mewarisi kesepetan orang tua mereka, tetapi kurang mewarisi keJEPUNan kesantunan orang-orang terdahulu. Sana-sini, nanah jenayah semakin parah. Kes kecurian merata-rata. Bunuh membunuh bukan lagi berita pelik. Orang tua hidup mereka terbiar, anak muda tanpa belas membunuh ibu dan bapa. Apa dihirau pertalian darah, kan wang insuran nyawa orang tua dan harta pusaka yang lebih utama.

Mungkin salah orang terdahulu. Mengejar kemajuan lebih dari keperluan. Agenda-agenda kerja penuh dalam kepala. Hal ehwal rumahtangga jatuh ke tangga kedua. Manakan terpupuk kasih sayang pada anak-anak, kalau dicurah bukan pada tempatnya. Sedangkan haiwan perlukan belaian inikan kita homosapien berakal. Retak menanti belah, belah nanti kan punah. Inikah tanda-tanda kemusnahan tamadun mereka??...


Mat: Macam sama jer dengan situasi kita di Malaysia. Ke lagi teruk??...

Wednesday, July 13, 2005

Goyang-goyang

Sejak kebelakangan ni, rasa macam semakin banyak pulak gempa yang berlaku sekitar kawasan Kantou ni. Lain macam jer bunyi... Tapi kalau dari pengalaman lalu, memang masa summer cam gini lagi banyak quake nak dibandingkan dengan winter.

2 hari lepas tempat Mat baru dikejutkan dengan gegaran yang agak kuat sekitar jam 7.27 pagi. Selalunya kalau setakat goyang-goyang geli-geli gitu Mat selalu buat dek jer. Tapi kalau lebih 5 saat pun masih tak berhenti goyangnyer, naik cuak juga. Mula la terkumat-kamit baca doa + mengucap, mana tahu kalau-kalau dah di penghujung nyawa.

Terkejut tadi tengok statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Jepun. Dalam tempoh 13 hari, bermula 1 Julai jam 7:07 pm hingga 13 Julai jam 6:38 am, terdapat 50 gegaran yang berlaku di seluruh Jepun (dari Hokkaido hinggalah ke Okinawa). Sah Jepun ni negara Darul Gempa!

Mungkin ada yang tertanya-tanya sebab apa banyak bangat quake kat Jepun ni. Kedudukan negaranya yang berada betul-betul di atas lingkaran gunung berapi pasifik, mungkin satu sebab. Satu lagi sebab ialah, Jepun terletak di atas 3 plates tectonics bumi yang aktif bergerak iaitu plate Eurasia, Pacific dan Philippine.

Satu lagi fakta yang menarik menakutkan, bucu-bucu 3 plates ini bertemu betul-betul di bawah dasar gunung Fuji (gunung berapi pendam). Inilah antara igauan buruk rakyat-rakyat sekitar kawasan Fuji sekarang, sebab ramai pengkaji gempa bumi meramalkan tak mustahil kalau gunung yang menjadi simbol Jepun ini akan meletup lagi.

Dan khabarnya, insuran nyawa kawasan-kawasan sekitar Fuji dan kawasan-kawasan yang diramalkan akan berlaku gempa yang kuat dalam waktu terdekat (Kanagawa, Tokyo, Tokai dll) antara yang termahal di Jepun! Pandai syarikat insuran ambil peluang. Kaya demer...

Satu benda yang Mat kagum dengan orang Jepun ni. Quake, gunung berapi, taifu (taufan), tsunami, banjir, tanah runtuh, salji lebat, lepas satu satu habuan yang mereka dapat. Macam pakej pulak. Tapi semangat mereka untuk terus hidup, terus maju ke depan semakin bertambah.

Mat: Na'uzubillah. Minta simpang dari azab-Mu Tuhan.


PC Mat buat hal. Penerbitan video pendek bersiri Projek Gila 2004 ditangguhkan buat sementara waktu. Harap maklum.

Tuesday, July 05, 2005

Lebih 30,000 orang setahun

Statistik terbaru. Tahun ni merupakan tahun ke-7 berturut-turut bilangan kematian akibat bunuh diri di Jepun melebihi 30,000 orang (setahun). Satu angka yang menggerunkan semua orang!

Dilaporkan antara penyebab utama, masalah peribadi, keluarga, kesihatan (mental dll), kewangan dan tekanan kerja.


Mat: Bukan jalan penyelesaian...

Saturday, July 02, 2005

Imbas-imbas

Bila terbaca catatan-catatan pengalaman mereka yang baru menjejakkan kaki ke bumi sakura ini, teringat semula kisah-kisah lama 5 tahun yang lalu, bagaimana jakunnya Mat dengan Jepun dan orang-orangnya. Hidup yang serba pantas, teknologinya yang cepat berubah, budi bicara rakyatnya yang halus penuh rasa hormat, perkhidmatan mereka yang amat mesra pengguna serta kesantunan pemandu-pemandunya di jalanraya. Itu di sebelah putih, kebaikan yang ada pada mereka.

Kontranya hidup mereka yang bebas mirip orang-orang di Barat sana. Perempuan-perempuan yang rendah martabatnya pada kaum lelaki, dijadikan kuli, dijadikan hamba. Hamba pada nafsu serakah, hamba pada industri pengiklanan, hamba pada industri pelacuran dan seolah hamba (orang gaji) di rumah sendiri. Alahai, apa nak dihirau, mereka tiada agama!

Semasa pendaratan ke tanah asing ini, usia Mat ketika itu baru 19 tahun. Peringkat umur yang agak mencabar, senang dipengaruh dan mudah teraruh. Tambahan pula hidup dalam negara yang 99 peratus dari penduduknya non-Muslim. Mana ada ustaz-ustaz untuk beri kuliah-kuliah agama. Mana ada warden atau penyelia asrama untuk mengawal kegiatan-kegiatan seharian. Bilik lelaki dan bilik perempuan, sebelah menyebelah, tiada pagar, tiada penghadang. Mungkin masa tu doa-doa kiriman ibu bapa dan iman yang senipis kulit bawang sajalah yang menjadi penyelamat dari terjebak ke dalam segala jenis munkar & maksiat.

Tapi bila difikirkan balik, ahh sama saja di mana-mana. Kadang-kadang terasa situasi di Tanah Malaya jauh lebih dahsyat...

Friday, June 24, 2005

Video Prague

3 minggu lebih WAYANG tak berupdate. Dah melanggar janji nih (dulu janji nak update paling kurang 2 minggu sekali). Akhirnya siap juga tadi video hari ke-4 Projek Gila 2004 setelah kerja-kerja pengeditan tertangguh selama sebulan lebih.


Prague, Czech Republic

Puas juga mencari lagu pop Czech. Dah jumpa tak berkenan pulak. Last last pakai lagu Numa-numa (O-zone). Takper, lagu tu pun dalam bahasa Hungary (kot). Adik beradik Czech jer. Belasah la labu...

File kecik, kualiti kurang sket.

Thursday, June 23, 2005

Simpang Tiga

23 Jun 2006. Tinggal 7 hari sebelum membuat keputusan, memilih hala tuju jalan yang perlu disusuri untuk 3 tahun akan datang. Meneruskan kelana di rantau orang, atau kembali semula ke tanah halaman. 2 haluan berbeza, namun destinasinya sama...


Ya Allah berikan petunjuk.

Tuesday, May 31, 2005

Berlin video

Video Projek Gila 2004 3rd day dah pun siap. Tapi tak sempat nak upload tadi. InsyaAllah memalam nanti kalau tiada aral...


Berlin, Germany

Sunday, May 29, 2005

Mereka yang terbiar

Rabu lepas ke Tsurumi, Yokohama. Ada sedikit urusan di sana. Cadangnya lepas habis bisnes nak singgah ke rumah kak Fidah, makan-makan nasi ker tapi nombor pun tak ada, tak tahu macam mana nak contact. Lagipun pergi tu pun secara mengejut sebenarnya. Lain kalilah ye akak saya singgah. :D

Keluar saja dari eki (train station) macam-macam kelibat orang yang Mat jumpa. Mulanya seorang makcik. Dari kedut mukanya, rasanya umurnya sudah melebihi 3 suku abad, meriba beg lusuh besar, sambil memerhati mereka yang lalu-lalang. Apa yang makcik ni buat di sini. Ke mana arah tujuannya. Mana anak-anak cucunya. Bermacam persoalan berligat di kepala. Kemudian, pandangannya tunduk ke bawah, sambil mulutnya mengunyah sesuatu. Habis mengunyah, cepat-cepat tangan kanannya mencapai kembali makanan dari bungkusan plastik. Roti rupanya. Tentu makcik ni tengah lapar...

Berhampiran tangga jejantas, tak jauh dari makcik tadi, duduk seorang pakcik yang pakaiannya agak kusut masai, rambut tak terurus, membimbit beg plastik & beg-beg kertas. Pipinya cengkung menyedut 'madu' rokok, walhal papan tanda DILARANG MEROKOK hanya lebih kurang sedepa darinya. 2 kemungkinan yang ada. Homeless atau gila sebatang kara. MasyaAllah punya tak reti nak bersangka baik...

Kemudian, datang pulak seorang pakcik yang rancak bercerita dengan tangan kanan kirinya lagak menggayakan sesuatu. Sekejap nada marah, sekejap terbahak ketawa. Cakap sorang-sorang rupanya. Tak pun, mungkin tengah menghafal skrip drama...

Sebenarnya Jepun sedang dilanda masalah besar. Masalah pertambahan warga tua yang tidak seimbang dengan pertambahan anak-anak mudanya. Menurut satu kajian, dijangkakan pada tahun 2050, jumlah penduduknya akan menyusut dari 120 juta (sekarang) ke 80 juta jika kaum muda terus menerus menumpukan perhatian yang lebih pada kerjaya dengan kurang minatnya untuk mengembang biakkan zuriat sebanyak yang mungkin.

Sana sini terdapat ramai warga emas yang hidup mereka terbiar tanpa sebarang perhatian dari anak cucu dan sanak saudara yang lain. Mungkin masing-masing sibuk dengan bisnes sendiri. Macam apa yang pernah Mat katakan dulu, status negara maju bukanlah satu kebanggaan terutama bagi insan-insan sebegini. Sebaliknya taraf hidup yang terlampau tinggi dan persekitaran yang serba 'kalut'/kelam kabut ini hanyalah bebanan semata buat mereka. Pertambahan bilangan pesakit mental (di Jepun) yang semakin ketara mungkin berpunca dari sini...


Kisah pemerhatian 20 minit Mat di depan Tsurumi eki sementara menunggu seseorang.

Wednesday, May 25, 2005

Uli uli

Purata orang kita makan roti canai setiap kali lebih kurang 2 biji (lelaki) rasanya. Mat lebih satu, 3. Kalau 2 biji, balik sampai di rumah mesti rasa menyesal. Haha, nafsu!

Masa di UM dulu, 2, 3 hari kalau tak pekena canai sekali tak aman dibuatnya. Nak study pun gelisah, nak hafal kanji (tulisan-tulisan Jepun yang macam cacing tu) lagi payah. Punya hebat penangan canai!

Tapi itu cerita 5,6 tahun dulu. Kalau sekarang pun buat perangai macam tu, alamat tak hidup la eden di sini. Mana nak cari beb roti canai di sini. Kekadang tu ada juga bawa yang instant punya dari Malaysia. Tapi, jarang tahan lama. 2, 3 kali makan habisy! Nak tak nak, kenalah belajar buat sendiri. Azam tu dah lama tapi tak tertunai-tunai.

Sabtu lepas, tetiba nafsu canai datang balik. Jadi, dengan sedikit pengetahuan, pengalaman dari pemerhatian mak Mat buat canai dulu & teori yang tak pernah dipraktikalkan lagi eden pun mulalah menguli tepung dengan si Kadek & Bobuk.

Lebih setengah jam menguli, terperasan yang tepung masih warna putih semacam. Lupa masukkan telur rupanya. Tambah telur, uli lagi, bergilir-gilir Kadek & Bobuk. Sejam lebih menguli, akhirnya semua puas hati. Jam dah pun ke pukul 7 pagi. Perap tepung, sambung tidur!

Tengah malam, kerja-kerja menebar pula. Macam-macam rupa canai yang ada. Biasalah, kali pertama. Siap semua roti & kari, makan reramai 'adik beradik' (bin semua lelain). Meriah sungguh. Apa taknya? Dah pakat gian lama tak pekena. Hmm, rasa pun boleh tahan juga.

Tapi, satu pengajaran yang Mat dapat malam tu. Bukan senang rupanya nak buat roti canai. Renyah satu, penat pun satu (ke sebab novis lagi??). Jadi, lepas ni balik Malaysia kalau bayar 50 sen (ke dah naik harga??) untuk sekeping roti canai pun Mat dah tak kesah. Berbaloi, jimat masa!

Monday, May 23, 2005

Brussels

Selain dari menjadi ibu negara Belgium, kota yang berusia lebih 1000 tahun ini kini juga dikenali sebagai ibu negara Kesatuan Eropah (EU). Segala jenis mesyuarat yang membabitkan Parlimen EU akan mengambil tempat di sini.

Seperti kota Cardiff di Wales, Brussels juga mempunyai keunikan tersendiri. Mereka menggunakan dwibahasa sebagai bahasa rasmi mereka, French dan Dutch. Papan-papan tanda dan nama-nama jalan di sini kebanyakannya ditulis dalam kedua-dua bahasa.

Jika diteliti semula sejarah awal Brussels, kota ini telah menjadi perebutan antara kuasa-kuasa besar dahulu kala, Germany, France, Austria & Holland. Mereka telah dijajah beratus-ratus tahun sehinggalah tercapainya kemerdekaan pada tahun 1830. Kesan dari proses pengambil alihan kuasa-kuasa besar ini, maka tercetuslah pertembungan budaya di kalangan penduduk yang akhirnya melahirkan budaya majmuk yang dapat dilihat hingga ke hari ini.


Bandar Lama

Grand' Place juga dikenali dengan Grote Markt (dalam Dutch) merupakan tarikan utama pelancong ke Brussels. Struktur town square ini merangkumi beberapa bangunan bersejarah (sebenarnya telah dibina semula selepas mengalami kerosakan teruk akibat perang) seperti The Town Hall, The King's House, The Guild Houses, yang tersusun secara segi empat mengelilingi dataran yang dibina dari batu-batu gunung ditengahnya.


Grand Place

The Royal Palace pernah menjadi kediaman rasmi raja-raja Belgium hinggalah ke tahun 1935, apabila istana baru, The Castle of Laken siap. Kini, The Royal Palace hanya didiami oleh Putera mahkota dan sebahagian dari bangunannya menjadi pejabat bagi urusan diraja.


Town Hall

Bersebelahan dengan The Royal Palace, terdapat Royal Park yang dahulunya hanya boleh dikunjungi oleh orang-orang kaya Brussels. Tetapi kini ianya dibuka kepada umum. Terdapat beberapa statu tokoh-tokoh terdahulu ditempatkan di sini. Taman ini juga dihiasi dengan pelbagai jenis bunga & pancuran air menjadikan ianya tempat paling ideal untuk aktiviti-aktiviti riadah masyarakat setempat.

Bertentangan dengan Royal Park, tersergam megah Palace of the Nation, yang menjadi Parlimen Belgium dan pusat pentadbiran kerajaan.


Palace of the Nation

Tidak jauh dari The Royal Palace, terdapat The Royal Square yang dibina bagi mengingati sejarah penubuhan Brussels. Di tengah-tengahnya ditempatkan statu Godfry of Bouillon, iaitu pemerintah kerajaan awal Belgium sekitar abad ke-9. Berdekatan The Royal Square, terdapat Museum of Ancient Art dan Museum of Modern Art yang menyimpan pelbagai artifak bersejarah kota Brussels & Belgium.


Muzium

Kira-kira 200 meter dari The Royal Square, tersergam indah bangunan besar The Palace of Justice yang pernah menjadi binaan terbesar yang pernah dibina di dunia dalam kurun ke-19. Sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini pasti akan kagum dengan senibinanya. Di hadapan The Royal Square, terdapat dataran luas di mana anda boleh menikmati panorama kota Brussels sepuas-puasnya.


Dataran

Tidak jauh dari Grand Place, terdapat statu budak kecil yang kencingnya tak sudah-sudah sejak tahun 1619, Manneken Pis yang menjadi simbol kemegahan kota Brussels. Banyak cerita yang telah dikaitkan dengan budak ini. Mat pun tak tahu mana satu yang benar. Tapi mengikut riwayat cerita yang paling kuat, budak kecil ini telah menyelamatkan kota Brussels dari dibom dengan mematikan punca api bom dengan air kencingnya! Benar atau tidak, wallahua'lam...


Manniken Pis

Sedikit ke luar kota Brussels, terdapat The Atomium yang strukturnya mengadaptasikan struktur atom. Anda boleh menikmati panorama Brussels dari puncak monumen ini. Berhampiran The Atomium, terdapat Mini Europe Park yang menempatkan replika monumen-monumen penting setiap negara dalam Kesatuan Eropah dan Kinepolis iaitu Kompleks Wayang Mega yang menempatkan 28 panggung & panggung gergasi IMAX.


The Atomium

The Cinquantenaire Park merupakan antara tempat yang tak sempat Mat singgah semasa kunjungan ke Brussels dahulu. Taman ini telah dibina pada tahun 1880 sempena ulangtahun kemerdekaan Belgium yang ke-50. Di sini juga terdapat Arc De Triomphe, walau tak sebesar dan semasyhur Arc De Triomphe di Paris.


The Cinquantenaire Park

Jadi, bila melawat ke benua Eropah, jangan lupa untuk berkunjung ke kota Brussels! Nikmati sendiri keindahan dan keunikannya!

p/s: Lihat GALERI untuk gambar-gambar lain.

Info Brussels:

Hostel (untuk bajet ekonomi):
Sleep Well Youth Hostel, Espace du Marais asbl, Rue du Damier 23, 1000 Brussels
info@sleepwell.be
(10 minit dari Grand Place - boleh tahan selesa)

Masjid:
Mosquee de Bruxelles, Parc du Cinquentenaire 14, Bruxelles, 1000

Masjid Alabadin Brussels, 6 Rue de la Buandrie, Bruxelles

Thursday, May 19, 2005

Info - Euro

Bersempena dengan tayangan video Projek Gila 2004 di Teater, Mat ingat nak perkenalkan bandar-bandar kota Eropah yang sempat Mat lawati. Insya-Allah mudah-mudahan sedikit sebanyak pengalaman (takderlah banyak mana pung sebenarnya) yang Mat kutip dapat dikongsi bersama dan mana tahu kalau ianya dapat membantu sesiapa yang berhajat untuk ke sana membuat persiapan.

Untuk siri 1 INFO-EURO, Mat akan perkenalkan kalian dengan kota Brussels, Belgium.

Kekerapan setiap siri bergantung kepada kekerapan video yang dilancarkan di Teater.

Monday, May 16, 2005

Lilin-lilin yang membakar diri

Video terbaru Projek Gila 2004 (Day 2) sekarang ditayangkan di Panggung Satu, Teater. Masih belum berjumpa dengan free web hosting yang menyediakan ruang yang agak besar untuk kerja-kerja mengupload video (Sila maklumkan jika tahu). Jadi kualiti gambar pun kurang memuaskan.


Projek Gila 2004, 2nd day

Lokasi: Brussels, Belgium

Masalah video yang tersekat-sekat mungkin disebabkan kelajuan internet saudara/i. Saudara/i boleh menonton dalam kelajuan yang normal, tapi kena tunggu sampai videonya habis buffering lah (mungkin ambil masa yang lama sedikit). Semoga terhibur!

***

16 Mei, tarikh keramat bagi para pendidik seluruh Malaysia. Jutaan penghargaan yang tak terhingga buat mereka. Kerana insan-insan inilah, maka berdirinya Mat ke tahap ini hari ni. Pengorbanan dan penat lelah mereka sesungguhnya tiada galang gantinya. Mulia benar kerja seorang guru!

Sunday, May 15, 2005

Malaysia Cergas

Kesedaran untuk bersukan secara lebih kerap semakin bertambah di kalangan kerabat Melayu di sini gara-gara kesemputan yang nyata dirasai semasa kejohanan (mini) bola sepak baru-baru ini. Pertambahan ukur lilit pinggang akhir-akhir ini juga antara faktor tambahan yang merangsang kepada penambahan rembesan hormon adrenalin untuk kembali aktif bersukan seperti dulu kala.

Jumaat petang dengan riadah basketball & badminton. Semalam bersemangat pula nak main volleyball. Siap pergi beli bola baru. Tapi, akhirnya tak dapat main juga sebab sampai di taiikukang (dewan) lewat sedikit dan gelanggang dah pun penuh dikuasai bangsa mata sepet. Berdigging di tengah-tengah dewan dengan penuh rasa kecewa. Kemudian, berbadminton dan berbasketball lagi hingga sampai waktu tamat bisnes dewan.

Infrastruktur yang disediakan untuk kegiatan sukan di sini agak banyak, baik terurus dan agak selesa. Tapi masalah yang kerapkali kami hadapi di sini ialah susah untuk mencari yang kosong tidak diguna. Terutama untuk kegunaan persendirian yang bukan atas nama persatuan atau kelab, kerana selalunya mereka tidak menerima tempahan awal. Siapa cepat, dia dapat. Itupun kalau tiada function sepanjang hari tu. Penyelesaiannya?? Menubuh-daftarkan persatuan? Ataupun memang tiada jalan penyelesaian??... Kerna bangsa mata sepet ini memang aktif bersukan! Huhuhh...


Nantikan video terbaru, Projek Gila 2004 (Day 2) yang akan menemui anda di TEATER pada hari esok!!!

Friday, May 13, 2005

HALAL Malaysia Berhad

Tertarik dengan entri Sajen (karya asal dari Majalah Milenia Muslim) mengenai bagaimana telitinya masyarakat Yahudi menguruskan hal-hal pemakanan mereka daripada penyembelihan hinggalah ke peringkat pemprosesan makanan. Jika kita ada 'HALAL' sebagai syarat dalam memastikan setiap benda yang masuk ke dalam badan kita datangnya dari sumber yang bersih, mereka ada 'KOSHER' sebagai piawaian atau garis panduan dalam memilih / menyediakan makanan mereka.

Tapi apa yang bezanya, mereka mengambil bahagian hampir 100% daripada proses penghasilan makanan mereka sehingga boleh diisyhtiharkan sebagai KOSHER. Sedangkan kita, banyak menyerah dan berharap dari pihak-pihak lain dan kadangkala tanpa meragui akan keHALALannya. Lalu, logo HALAL JAKIM sebesar duit syiling 10 sen yang amat mudah ditirupakai dijadikan sebagai 'lesen' untuk membenarkan ketulan-ketulan makanan melepasi tekak kita, walau kekadang kita tertipu.

Mungkin sudah sampai masanya untuk kita buat sedikit perubahan. Tukarkan HALAL dari logo kepada JENAMA. Jadikan ianya sebagai perindustrian mutlak yang diuruskan sepenuhnya oleh 'orang kita'. Kita sudah ada TNB dalam menjana elektrik negara, Telekom dalam melancarkan komunikasi dalam dan luar negara, Petronas dalam menguruskan sumber asli negara. Jadi apa salahnya kalau kita memiliki HALAL sebagai satu badan / syarikat yang dapat mengeluar dan membekalkan barangan makanan untuk orang-orang kita???

Hak kita, usaha dari kita...

Wednesday, May 11, 2005

Timeline

Rancangan-rancangan TV di kawasan Kantou pada Rabu malam rata-ratanya agak menarik. Selain rancangan lawak-lawak spastik / bodoh / terlampau Jepun, Mat suka tengok Trivia, program TV yang memperkenalkan pengetahuan-pengetahuan am yang langsung tak diperlukan dalam hidup yang dihantar oleh para penonton, bunyinya seperti tak wujud / tak masuk akal, tapi ianya sahih.

Yang bestnya rancangan ni, diorang tak buta-buta terima maklumat yang dihantar, sebaliknya dibuat kajian terlebih dahulu samada merujuk kepada mereka yang arif (profesor di universiti-universiti, pekerja-pekerja expert yang bidang kerja mereka ada kaitan dengan Trivia yang dihantar) atau jalankan eksperimen sendiri untuk memastikan kesahihannya.

Semalam, ada trivia mengenai timeline, tempoh yang patut bagi si lelaki berada di tandas bila keluar berdating (untuk couple Jepun saja). Satu eksperimen dilakukan kepada 70 couples sekitar Tokyo, dengan menyuruh si lelaki berada di tandas dalam tempoh 20 minit dan kemudiannya memerhatikan reaksi si wanita yang menunggu-nunggu si lelaki ni balik dari tandas.

Keputusan eksperimen, setelah dikira oleh pakar statistik (seorang prof dari Yokohama Univ.), 4 minit 15 saat adalah border bagi lelaki untuk ke tandas. Jika lebih dari ni, maka anda akan disyak tengah buang air besar tanpa was-was lagi oleh pasangan anda!! Huhuhhh... Jaga-jaga!

Tuesday, May 10, 2005

Densya atau bas??

2 minggu berlalu selepas Tragedi Amagasaki. Kejadian yang mengorbankan 107 nyawa dan mencederakan lebih 450 penumpang tersebut nyata sedikit memberi impak ataupun trauma kepada penduduk-penduduk Jepun.

Tadi, ke Tokyo dengan densya (komuter). 2 gerabak depan agak lengang. Kebanyakan penumpang memilih untuk berada di gerabak tengah dan belakang. Sebabnya kebanyakan mangsa maut dalam kejadian 2 minggu lepas terdiri daripada penumpang-penumpang gerabak 1 dan 2. Mat memilih untuk berada di gerabak 4. Bukannya trauma, tapi sebab gerabak itulah yang paling dekat dengan tangga. Hehe...

Perjalanan balik, memilih untuk naik bas sebab tambangnya lebih murah (jimat 2000 yen) berbanding tambang tokkyuu (Super Express). 10 minit perjalanan, 10 meter sebelum tol Tokyo IC (Syuutou Speedway), bas ni tereksiden la pula dengan sebuah Toyota Altezza yang tetiba datang mencelah dari arah sebelah kiri. Menunggu polis datang, menunggu habisnya soal siasat dengan omawarisan (polis), menunggu bas gantian sampai, melengung 64 minit Mat dalam bas!


Menyodok dan disodok, Tokyo IC (Kamera henset)

Huhh, naik apapun sama saja. Bas, densya, mahupun kapal terbang. Kalau benda dah ditakdirkan berlaku, memang tak boleh lari. Kun fayakun!

Mat: Kita manusia hanya mampu berharap. Tawakkal tu 'alallah...

Sunday, May 08, 2005

Panggung

Mat ada tambah ruangan baru dalam Azimat, Teater. Nama macam gempak jer. Haha... Sebenarnya hanyalah koleksi-koleksi video yang ada kaitan dengan hidup Mat hasil karya sama ada oleh Mat sendiri (akan merajin-rajinkan diri) atau sahabat-sahabat Mat. Saja mencebur bidang baru.



Location: Edinburgh, Scotland

Buat permulaannya Mat akan hidangkan dengan video-video Projek Gila 2004 (mengukur peta Europe) yang lepas (mungkin dalam 1 atau 2 minggu satu siri). Kemudian, bergantung pada kelapangan dan tahap kerajinan eden.

Mat: cuba menceriakan kembali Azimat...


SELAMAT HARI IBU

Wednesday, April 27, 2005

Super Hitachi

3 hari 3 kemalangan densya (keretapi letrik). Huhh, seram, seram. Selepas tragedi Amagasaki, semalam sebuah lagi densya (Super Express Hitachi) terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di laluan Joban Line, di negeri ambo Ibaraki. Rasa seram sikit tu sebab Isnin lepas baru saja guna densya ni masa perjalanan balik dari Toyohashi, Aichi. Dan hari ni pulak satu lagi kemalangan densya di Yokohama dengan sebuah kereta. Macam musim eksiden densya pulak...

Kerja-kerja mencari baki-baki mayat yang terperangkap dalam gerabak pertama densya tragedi Amagasaki masih diteruskan sementara meter kematian sudah mencapai angka 103 dan bilangan yang cedera meningkat kepada 453 orang.

Halaju sebenar densya tersebut sebelum kemalangan ialah 108 km/j, bukan 133. Maaf ralat. Inilah budaya mereka (ambil yang positif). Budaya masyarakat yang amat punctual dengan masa. Gara-gara terlewat 90 saat dan takut akan menerima hukuman dari pihak atasan. Baru 90 saat bang oii! Pernah dulu di Malaysia masa Mat nak balik beraya di kampung, driver datang lewat 3 jam (12,600 saat, banyak tu!) pun boleh buat muka selamba dan langsung tak rasa bersalah. Sakit hati betul!!

Monday, April 25, 2005

Tragedi Amagasaki

Amagasaki, Hyogo Prefecture, Isnin, 25 Mac 2005 jam 9:18 am. Sebuah keretapi elektrik terkeluar dari landasan dan merempuh sebuah mansion mengakibatkan sekurang-kurangnya 57 orang terbunuh dan lebih 440 orang cedera (setakat tengah malam ni) dan dikhuatiri lebih ramai yang masih terperangkap dalam gerabak pertama yang remuk teruk. Pemandu keretapi (23 tahun) cedera parah.

Keretapi ni dikatakan bergerak pada kelajuan 133 km/j di laluan selekoh yang had lajunya 70 km/j (ingat kereta ajer ker ada had laju). Punca sebenar kejadian masih disiasat.

Peristiwa hitam terburuk buat syarikat Japan Railway (JR) dan mungkin hari yang mungkin tak dapat dilupakan buat ahli keluarga mangsa.


Pemandangan dari udara


Remuk


Dalam gerabak

Wednesday, April 20, 2005

Makhluk, tidak kekal

Tadi, duduk termenung sambil terfikir.
Kata bijak pandai, tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima.
Menisbah dan menilai diri; Rupanya tangan ini terlalu banyak menerima dari memberi...


Setahun sekali
Lokasi: Kamine Park, Hitachi

Sakura mankai (kembang penuh) agak lambat tahun ni. Semalam hujan lebat sepanjang hari, lalu berguguran sakura jatuh ke bumi. Pendek benar riwayat hidup bunga kebangsaan Jepun nih. Apapun satu perkara yang Mat harus pelajari dari sakura. Biar usianya singkat, namun sentiasa bermanfaat...

Sunday, April 17, 2005

Musim ke-6

Lagi 2 minggu sebelum April melabuhkan tirainya. Memandangkan entri untuk bulan April belum ada lagi, maka merajinkan diri menekan punat-punat papan kekunci nih. Tiada apa pun sebenarnya yang nak diceritakan. Bukan tiada cerita, tapi semakin hari semakin kurang bernafsu untuk berbicara. Ditambah pula keterbatasan capaian internet buat masa sekarang. Entahlah...

***

Tiada lagi awan-awan salju yang menghamburkan cebisan-cebisan putih di kala ini. Rata-rata skiing ground di sini pun dah ditutup pada penghujung Mac lepas. Bagi Mat, dengan ini bermakna tamatlah sudah musim sejuk yang selalu sangat dinanti-nantikan kehadirannya. Hmm, apalah yang menarik sangat dengan musim sejuk ini melainkan hanya sengsara kesejukan. Ya, seksa badan! Tapi buat penggian-penggian snowboarding macam Mat pasti tahu betapa nikmatnya akan winter bila berada di atas board dan meluncur laju membelah salji-salji putih. Saikou darou!

Winter 2005 - Credits to Apek



***

Cairnya salji di yukiguni (negeri-negeri yang kebiasaannya diselaputi salji tebal sepanjang winter terutamanya di bahagian utara dan di bahagian laut Jepun), disusuli kembangnya putik-putik sakura yang menjalar perlahan dari daerah-daerah selatan ke utara bermakna muncul lagi haru (musim bunga) setelah setahun menghilang. Ya, musim bunga ke-6 sepanjang Mat bermukim di tanah asing ini.

Namun kembangnya sakura di musim pertama dengan musim yang keenam ini sedikit berbeza rasanya. Tidak, bukan maksud Mat sakura sudah kurang serinya, tapi... Mungkin tempoh 5 tahun agak panjang bagi Mat untuk berjauhan dari tanahair. Atau mungkinkah keinginan untuk terus menumpang hidup dengan rakyat mata sepek ini sudah semakin tawar???

Eden mahu pulang, tapi bukan sekarang. Nantilah bila selesai misi itu nanti... Ya Allah, permudahkan segala urusan.

Saturday, March 26, 2005

Negaraku Tanahairku

Kadang-kadang kita naik hairan, terpelingung bila melihat tingkah laku anak-anak muda zaman sekarang. Gejala sosialnya menjadi-jadi, akhlaknya seakan-akan tiada pegangan agama, halal dan haram bercampur aduk. Puas kita fikir dan memikir, apakah puncanya, di manakah silapnya. Lalu kita pun ditunjukkan sedikit pembayangnya. Antaranya, mereka dibesarkan dengan BABI. MasyaAllah, malang, sungguh malang...


Mat: Geram dengan bangsa yang satu ini (bukan semua). Memang mereka sudah melampau, kurang ajar!!!

Tuesday, March 15, 2005

Jangan sesekali mengalah kawan (Part 2)

Lama sudah entri ni terperap di sini tak terpublish. Kalau dulu, ya benar, blog ini kekadang lama tak berupdate atas sebab kesibukan tugasan harian. Tapi kali ni, sibuk pun tidak, masa berlambak-lambak tak berupdate juga. Hmmm... Entahlah tak tahu macam mana nak ceritakan.

Dalam part 1 dulu, Mat ada ceritakan tentang dugaan yang terpaksa ditempuh teman baik Mat. Sebenarnya dalam part 2 ini, Mat hendak ceritakan tentang alun badai yang mengumbang-ambingkan diri sendiri pula. Biarpun tak sehebat tsunami yang melanda, namun impaknya tetap ada. Nampaknya permulaan 2005 tak seindah 2004. Benarlah kata bidalan, hidup umpama roda. Mahu atau tidak, semua tempat atas bawah kita kena rasa. Baru adil, baru seimbang.

Ada kerja tetap. Ada rumah sendiri (rumah company la), hidup dah stabil apa yang kau nak lagi?? 'Buah anggur' juga pilihan kau yer Mat! Dah la tu, hidup pula merempat-rempat!! Haha, sudah hilang waraskah aku nih? Ya Rabb, edenkah hamba-Mu yang tak tahu bersyukur itu?? Pasti kalian dapat meneka, cerita yang sebenarnya...

Lama juga sebenarnya termanggu di persimpangan dilema. Antara mengecapi keselesaan atau memelihara agama-Mu Tuhan. Alhamdulillah, thank you Allah atas petunjuk yang diberi. InsyaAllah, eden tak akan menyesal atas segala keputusan yang sudah diambil ini. Kerna eden yakin, perancangan-Mu itulah yang terbaik!


Terima kasih buat sahabat-sahabat di Ibaraki yang amat memahami :D ... Dan maaf kalau mengganggu.

Friday, February 18, 2005

Clip Part 2

Ini edisi sambungan Satu Perjalanan, Part 2. Enjoy the photos!

Satu Perjalanan


Jya, minta diri. Sibuk mengemas barang. Mungkin malam terakhir di kaki fuji...

Oyasumi!

Wednesday, February 16, 2005

Edisi Khas

Pernah beberapa kali Mat kena 'komplen' sebab tak taruk gambar sendiri di sini. Hmmm, macam mana nak jawab er...

OKlah, tak perlu jawab. Sebagai memenuhi permintaan sahabat-sahabat, Mat dah siapkan satu slide show video di sini yang berlambak-lambak ada gambar Mat. Tengok la sampai termuntah-muntah naa... :D

Mat bahagikan kepada 2 edisi (senang nak diupload), Part 1 & Part 2. Ambil masa sedikit untuk buffering. Assobru minal iman. OK, enjoy the photos!

Satu Perjalanan


Untuk kualiti gambar yang lebih baik, sila dapatkan yang original! Mencetak, mengedar dan memiliki edisi rompak perlulah mendapat keizinan dari Mat terlebih dahulu. Diharap terhibur.

Tuesday, February 15, 2005

Jangan sesekali mengalah kawan! (Part 1)

Pagi Ahad yang bening. Terimbau sejenak kisah 4 bulan yang lalu...

Usai Subuh (Subuh di UK tak seawal seperti di Jepun), terpandang monitor, pada satu ID yang Mat rasa sudah agak lama tak online dan tak bertukar cerita. Sahabat lama, rakan seperjuangan sejak di UM (sepanjang kursus persediaan). Apa khabar gamaknya sahabat Mat nih?

Kali terakhir kami bertemu, Mei 2000. Ketika itu universiti-universiti di Jepun bercuti selama seminggu sempena Golden Week. Kebetulan Mat turun ke Hiroshima (jaraknya sekitar 1000 km ke selatan dari Ibaraki) mengikuti program yang dianjurkan IPIJ (Ikatan Persaudaraan Islam Jepun) dan serentak dengan itu menyertai pertandingan bola sepak yang dilangsungkan antara pelajar-pelajar Melayu di Jepun. Ya, kalau tak silap itulah pertemuan kami yang pertama dan terakhir di Jepun.

Berbalik kepada cerita tadi, rancak Mat buka topik ajak kawan Mat ni bersembang tapi reaksi yang Mat terima, hambar! Gayanya bukan seperti apa yang Mat pernah kenal dia dulu. Macam ada sesuatu yang tak kena...

Bukan berhajat nak jadi kaki sibuk, cuma ingin bertanya apa masalahnya, apa yang tak kena, mana tau kalau-kalau Mat boleh bantu. Maka berceritalah sahabat Mat ni satu persatu dari A sampai Z. Huhh, terkujat, tergamam. Seakan tak percaya.

Diringkaskan cerita, sahabat Mat ni dilanda pelbagai masalah sepanjang tempoh bermukim di Jepun dan mengambil keputusan untuk pulang ke tanahair tanpa menamatkan pengajiannya. Tak sangka pula masalah begini akan menimpa sahabat Mat yang semasa di UM dahulu otaknya memang geliga dan sangat cemerlang prestasinya. Tapi itulah hakikat kehidupan. Penuh dengan liku dan dugaan.

Cubit paha kanan, paha kiri terasa jua. Ya Allah, betapa berat dugaan yang menimpa sahabat Mat ni. Sebabnya Mat tahu, Mat faham betapa perit betapa seksanya hari-hari yang kami lalui sebelum menjejakkan kaki ke bumi sakura dulu. Terimbas kembali kenangan silam. Kelas harian yang bermula seawal 8 pagi dan berakhir jam 6 petang di tahun pertama. Dan kelas separuh hari pada hari Sabtu seakan-akan menutup terus peluang untuk berlibur di hujung minggu. Menghafal kanji-kanji (tulisan Jepun) adalah hidangan supper kami. Dapat cuti seminggu (selalunya) atau 2 minggu (paling panjang) pun dah bertuah benar rasanya tatkala orang lain bercuti berbulan-bulan.

Ya, perjalanan sebelum dapat menyeberang Laut Pasifik dan mendarat di bumi sakura ini tidaklah semudah yang dijangkakan. Penuh halangan dan menuntut seribu pengorbanan. Tapi, rupanya itu hanyalah permulaan sebuah perjalanan. Siapalah kita untuk menduga begini kesudahannya...

Sekarang, sahabat Mat ini mengalami trauma. Malu berdepan dengan famili, malu dengan masyarakat sekeliling, malu berjumpa kengkawan. Begitulah kesan yang dialaminya setelah pulang ke tanahair.


Sahabat, kau tak keseorangan...
Lokasi: Dairy farm, Bath

"Banyak-banyak bersabar. Tabahkan hati. bla bla bla..." hahh, belum kena pada kita senanglah nak bagi nasihat. Peritnya beban yang ditanggung, sakitnya jiwa menahan hanya Allah sajalah yang tahu. Apapun Mat doakan insyaAllah mudah-mudahan ujian ini menguatkan lagi semangat kau sahabat! Renung semula pada jejak-jejak hari semalam yang telah kau tempa. InsyaAllah, kejayaan hari semalam tak mustahil untuk diulangi semula. Ayuh sahabat, jangan patah semangat!

***

Dah genap sebulan eden naik pangkat. Dapat anak buah sulung! Mak & abah pun dah jadi tok & tok wan. Huhuhhh, aduh terasa tuanya diri...

Thursday, February 10, 2005

Paling tadah

World Cup 2006, pusingan kelayakan ke-2 Asia membuka tirainya semalam. Jepun menyambut kedatangan Korea Utara di Saitama Stadium. Aku sokong Korea Utara. Hahaha... Sebab minat dengan permainan agresif diorang. Lagipun dah bosan asyik sokong Jepun jer.

Malang, nasib tak menyebelahi mereka. Eden tak puas hati dengan gol pertama Jepun, bila refree kasi free kick dan kad kuning kepada kapten Korea Utara hasil lakonan hebat Santos yang merebahkan badannya berhampiran kotak penalti. Juga malang bagi mereka, dapat goal keeper yang asyik gelabah, dan tangkap bola tak kemas. Keputusannya, mereka tewas tipis di masa-masa kecederaan. Takper, peluang masih terbuka... North Korea! Huhuhuhhh.

***

Industri perfileman Indonesia membuka lembaran baru, bila filemnya Ada Apa Dengan Cinta berjaya menembusi pasaran Jepun. Filem ini akan mula ditayangkan di sini awal spring tahun ni.

Sunday, February 06, 2005

Duhai sang hati...

Jumaat lepas, si Kulat ada datang singgah bermalam di Susono ni. Merehatkan sendi-sendi sebelum berlepas ke Ibaraki dengan awek barunya, Fitz! Berkilat-kilat, cute mute si Fitz nih, naik cemburu aku.

Teringat semula cerita 4 tahun setengah yang lampau. Detik-detik malam pertama dengan si mek Curren tu. Berseri-seri, molek benar, pandang tak jemu. Habuk, debu, huhh tiada chan kau nak nodai si mek Curren aku. Tatkala beradu di tengah malam, rasa tak sabar menanti siang, untuk bersama mek Currenku bersiar-siar mengambil angin pagi.

Fikir-fikir balik, berani juga ya aku dulu. 6 bulan ke sana ke mari dengan mek Curren tu tanpa sebarang lesen (lesen Malaysia ader la). Itupun sebab aku percayakan kau! (Opss, tidak. Menaruh harap pada-Nya). Huhuhh, memori silam, cerita dulu-dulu...

Selesai menghantar Kulat ke Susono IC, terus memacu mek Curren ke kaki Fuji. Ada sesuatu yang menanti eden di sana. Ya, sahabat-sahabat alam yang entah berapa lama tidak ketemu. Suhu ketika itu, 5 darjah di bawah paras beku. Alah bisa... Hampir 45 minit di kaki Fuji. Menatap foto hidup, merawat jiwa yang sedang kacau.


Maha Suci Allah yang menjadikan setiap mahkluk antara langit dan bumi.
(Lokasi: Kaki Fuji, Susono)

Pagi yang bening sekali sekala disapa bunyi van dan lori-lori kecil pak tani yang sedang dalam perjalanan ke ladang-ladang mereka sekitar sini. Keseorangan, terpacak di tepi jalan bersama video cam dan tripod, nyata kewujudan Mat di sini sedikit janggal. Masakan tidak, mata-mata yang azalinya sepek ini terbeliak besar!


15 minit dari rumah
(Lokasi: Susono)

Sedikit terkejut dengan pemandangan sekitar kawasan ini. Setiap inci ruang dipenuhi salji dan ais. Hanya 15 minit perjalanan dari rumah Mat di bawah sana, panoramanya sama sekali berbeza!

Tuesday, February 01, 2005

Cuk Cak! (Part 2)

Kerja-kerja penaiktarafan mesin eden, SOTEC hampir selesai. Itupun sesudah penat bertarung dengan masa. 2 minggu yang super duper busy! Tapi, e-mail yang belum berbalas masih bertimbun. Takper, pelan pelan Mat...

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Hampir sebulan setengah berlalu sekembalinya Mat dari berkelana di balik bumi sana. Tawa riang cucu-cucu Dave & Phyl, masih terngiang-ngiang di telinga ini. Bayangan teratak yang cukup meriah dengan pelbagai latah ragam penghuninya, yang telah menjadi bumbung tempat Mat menumpang berteduh hampir 3 purnama, masih jelas dalam layar mimpi ini.


Forget me not!
(Lokasi: Kawasan peranginan Cheddar)

Gurau senda, ramah mesra, luhur budi sahabat-sahabat se-Malaya di Bath, masih segar rasanya di minda. Walau bilangan mereka besar, namun mereka amat bermuafakat. Saling bantu-membantu, prihatin antara satu sama lain dan langsung tak berkira. Meluangkan masa bersama mereka, hilang semua resah di jiwa, lenyap pergi segala duka.


I miss all of you!
(Lokasi: Cafeteria, University of Bath)


Senyuman manis, gelak ketawa sahabat-sahabat international dari seluruh pelosok dunia yang sempat Mat jumpa di Bath, masih tak lekang dari memori ini. Kehadiran kalian telah membawa satu pengalaman baru dalam hidup Mat. Kalianlah yang membuka mata Mat untuk lebih mengenali dunia luar.

Dan, sebelum Mat terlupa, terima kasih juga buat sahabat-sahabat maya (insyaAllah, mudah-mudahan nanti jadi sahabat di dunia luar) yang masih sudi bertandang ke AZIMAT, walau kesuramannya kian nyata. Biarpun kita tak pernah bersua, namun terasa seakan ada sesuatu yang mengeratkan antara kita.


Manisnya sebuah pertemuan
(Lokasi: Thornbank, Bath)

Arigatos, arigatos semua kerana membantu Mat melakonkan wataknya...

Saturday, January 15, 2005

Cuk Cak! (Part 1)

Salam rindu buat semua. Catatan harian bertukar ke catatan mingguan dan kini menjadi catatan bulanan. Lepas ni kot jadi edisi tahunan pula. Kalau beginilah rentaknya, maka AZIMAT seharusnya menghitung hari-hari sebelum ditalkinkan. Huhhh, Mat oh Mat... Apapun ucapan terima kasih buat teman-teman yang masih setia berkunjung ke mari.

Sebulan lebih tidak berupdate. Rasanya tempoh terlama semenjak kewujudan AZIMAT. Ke mana ya eden menghilang? Sibuk, malas, ada masalah peribadi, sudah lupa sama teman-teman di sini?? Bukan, bukan! Sebenarnya Mat banyak meluangkan masa untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di luar sepanjang tempoh ini. Kekadang masuk jenguk sekejap ke alam siber, itupun kalau ada urusan-urusan penting. Mana tau, kot boleh jadi latihan nanti kalau BLOGSPOT tetiba menghentikan perkhidmatannya. Huhuhh... Sepanjang tempoh ini, banyak sudah cerita yang Mat termiss rasanya.

Dan sebagai balasannya, nah amik kau Mat! Bertimbun-timbun e-mail (bilang-bilang tadi kesemuanya dalam 30 e-mail) dari teman-teman yang belum berbalas. Disebabkan keuzuran mesin buah hati Mat ni, maka beberapa applications termasuk untuk me-reply e-mail tidak berfungsi dengan baik. InsyaAllah, selesai kerja-kerja menaiktaraf mesin ni Mat akan balas kesemua e-mail dan mesej-mesej di Doneeh Tag Box dan buku pelawat.