Tuesday, May 31, 2005

Berlin video

Video Projek Gila 2004 3rd day dah pun siap. Tapi tak sempat nak upload tadi. InsyaAllah memalam nanti kalau tiada aral...


Berlin, Germany

Sunday, May 29, 2005

Mereka yang terbiar

Rabu lepas ke Tsurumi, Yokohama. Ada sedikit urusan di sana. Cadangnya lepas habis bisnes nak singgah ke rumah kak Fidah, makan-makan nasi ker tapi nombor pun tak ada, tak tahu macam mana nak contact. Lagipun pergi tu pun secara mengejut sebenarnya. Lain kalilah ye akak saya singgah. :D

Keluar saja dari eki (train station) macam-macam kelibat orang yang Mat jumpa. Mulanya seorang makcik. Dari kedut mukanya, rasanya umurnya sudah melebihi 3 suku abad, meriba beg lusuh besar, sambil memerhati mereka yang lalu-lalang. Apa yang makcik ni buat di sini. Ke mana arah tujuannya. Mana anak-anak cucunya. Bermacam persoalan berligat di kepala. Kemudian, pandangannya tunduk ke bawah, sambil mulutnya mengunyah sesuatu. Habis mengunyah, cepat-cepat tangan kanannya mencapai kembali makanan dari bungkusan plastik. Roti rupanya. Tentu makcik ni tengah lapar...

Berhampiran tangga jejantas, tak jauh dari makcik tadi, duduk seorang pakcik yang pakaiannya agak kusut masai, rambut tak terurus, membimbit beg plastik & beg-beg kertas. Pipinya cengkung menyedut 'madu' rokok, walhal papan tanda DILARANG MEROKOK hanya lebih kurang sedepa darinya. 2 kemungkinan yang ada. Homeless atau gila sebatang kara. MasyaAllah punya tak reti nak bersangka baik...

Kemudian, datang pulak seorang pakcik yang rancak bercerita dengan tangan kanan kirinya lagak menggayakan sesuatu. Sekejap nada marah, sekejap terbahak ketawa. Cakap sorang-sorang rupanya. Tak pun, mungkin tengah menghafal skrip drama...

Sebenarnya Jepun sedang dilanda masalah besar. Masalah pertambahan warga tua yang tidak seimbang dengan pertambahan anak-anak mudanya. Menurut satu kajian, dijangkakan pada tahun 2050, jumlah penduduknya akan menyusut dari 120 juta (sekarang) ke 80 juta jika kaum muda terus menerus menumpukan perhatian yang lebih pada kerjaya dengan kurang minatnya untuk mengembang biakkan zuriat sebanyak yang mungkin.

Sana sini terdapat ramai warga emas yang hidup mereka terbiar tanpa sebarang perhatian dari anak cucu dan sanak saudara yang lain. Mungkin masing-masing sibuk dengan bisnes sendiri. Macam apa yang pernah Mat katakan dulu, status negara maju bukanlah satu kebanggaan terutama bagi insan-insan sebegini. Sebaliknya taraf hidup yang terlampau tinggi dan persekitaran yang serba 'kalut'/kelam kabut ini hanyalah bebanan semata buat mereka. Pertambahan bilangan pesakit mental (di Jepun) yang semakin ketara mungkin berpunca dari sini...


Kisah pemerhatian 20 minit Mat di depan Tsurumi eki sementara menunggu seseorang.

Wednesday, May 25, 2005

Uli uli

Purata orang kita makan roti canai setiap kali lebih kurang 2 biji (lelaki) rasanya. Mat lebih satu, 3. Kalau 2 biji, balik sampai di rumah mesti rasa menyesal. Haha, nafsu!

Masa di UM dulu, 2, 3 hari kalau tak pekena canai sekali tak aman dibuatnya. Nak study pun gelisah, nak hafal kanji (tulisan-tulisan Jepun yang macam cacing tu) lagi payah. Punya hebat penangan canai!

Tapi itu cerita 5,6 tahun dulu. Kalau sekarang pun buat perangai macam tu, alamat tak hidup la eden di sini. Mana nak cari beb roti canai di sini. Kekadang tu ada juga bawa yang instant punya dari Malaysia. Tapi, jarang tahan lama. 2, 3 kali makan habisy! Nak tak nak, kenalah belajar buat sendiri. Azam tu dah lama tapi tak tertunai-tunai.

Sabtu lepas, tetiba nafsu canai datang balik. Jadi, dengan sedikit pengetahuan, pengalaman dari pemerhatian mak Mat buat canai dulu & teori yang tak pernah dipraktikalkan lagi eden pun mulalah menguli tepung dengan si Kadek & Bobuk.

Lebih setengah jam menguli, terperasan yang tepung masih warna putih semacam. Lupa masukkan telur rupanya. Tambah telur, uli lagi, bergilir-gilir Kadek & Bobuk. Sejam lebih menguli, akhirnya semua puas hati. Jam dah pun ke pukul 7 pagi. Perap tepung, sambung tidur!

Tengah malam, kerja-kerja menebar pula. Macam-macam rupa canai yang ada. Biasalah, kali pertama. Siap semua roti & kari, makan reramai 'adik beradik' (bin semua lelain). Meriah sungguh. Apa taknya? Dah pakat gian lama tak pekena. Hmm, rasa pun boleh tahan juga.

Tapi, satu pengajaran yang Mat dapat malam tu. Bukan senang rupanya nak buat roti canai. Renyah satu, penat pun satu (ke sebab novis lagi??). Jadi, lepas ni balik Malaysia kalau bayar 50 sen (ke dah naik harga??) untuk sekeping roti canai pun Mat dah tak kesah. Berbaloi, jimat masa!

Monday, May 23, 2005

Brussels

Selain dari menjadi ibu negara Belgium, kota yang berusia lebih 1000 tahun ini kini juga dikenali sebagai ibu negara Kesatuan Eropah (EU). Segala jenis mesyuarat yang membabitkan Parlimen EU akan mengambil tempat di sini.

Seperti kota Cardiff di Wales, Brussels juga mempunyai keunikan tersendiri. Mereka menggunakan dwibahasa sebagai bahasa rasmi mereka, French dan Dutch. Papan-papan tanda dan nama-nama jalan di sini kebanyakannya ditulis dalam kedua-dua bahasa.

Jika diteliti semula sejarah awal Brussels, kota ini telah menjadi perebutan antara kuasa-kuasa besar dahulu kala, Germany, France, Austria & Holland. Mereka telah dijajah beratus-ratus tahun sehinggalah tercapainya kemerdekaan pada tahun 1830. Kesan dari proses pengambil alihan kuasa-kuasa besar ini, maka tercetuslah pertembungan budaya di kalangan penduduk yang akhirnya melahirkan budaya majmuk yang dapat dilihat hingga ke hari ini.


Bandar Lama

Grand' Place juga dikenali dengan Grote Markt (dalam Dutch) merupakan tarikan utama pelancong ke Brussels. Struktur town square ini merangkumi beberapa bangunan bersejarah (sebenarnya telah dibina semula selepas mengalami kerosakan teruk akibat perang) seperti The Town Hall, The King's House, The Guild Houses, yang tersusun secara segi empat mengelilingi dataran yang dibina dari batu-batu gunung ditengahnya.


Grand Place

The Royal Palace pernah menjadi kediaman rasmi raja-raja Belgium hinggalah ke tahun 1935, apabila istana baru, The Castle of Laken siap. Kini, The Royal Palace hanya didiami oleh Putera mahkota dan sebahagian dari bangunannya menjadi pejabat bagi urusan diraja.


Town Hall

Bersebelahan dengan The Royal Palace, terdapat Royal Park yang dahulunya hanya boleh dikunjungi oleh orang-orang kaya Brussels. Tetapi kini ianya dibuka kepada umum. Terdapat beberapa statu tokoh-tokoh terdahulu ditempatkan di sini. Taman ini juga dihiasi dengan pelbagai jenis bunga & pancuran air menjadikan ianya tempat paling ideal untuk aktiviti-aktiviti riadah masyarakat setempat.

Bertentangan dengan Royal Park, tersergam megah Palace of the Nation, yang menjadi Parlimen Belgium dan pusat pentadbiran kerajaan.


Palace of the Nation

Tidak jauh dari The Royal Palace, terdapat The Royal Square yang dibina bagi mengingati sejarah penubuhan Brussels. Di tengah-tengahnya ditempatkan statu Godfry of Bouillon, iaitu pemerintah kerajaan awal Belgium sekitar abad ke-9. Berdekatan The Royal Square, terdapat Museum of Ancient Art dan Museum of Modern Art yang menyimpan pelbagai artifak bersejarah kota Brussels & Belgium.


Muzium

Kira-kira 200 meter dari The Royal Square, tersergam indah bangunan besar The Palace of Justice yang pernah menjadi binaan terbesar yang pernah dibina di dunia dalam kurun ke-19. Sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini pasti akan kagum dengan senibinanya. Di hadapan The Royal Square, terdapat dataran luas di mana anda boleh menikmati panorama kota Brussels sepuas-puasnya.


Dataran

Tidak jauh dari Grand Place, terdapat statu budak kecil yang kencingnya tak sudah-sudah sejak tahun 1619, Manneken Pis yang menjadi simbol kemegahan kota Brussels. Banyak cerita yang telah dikaitkan dengan budak ini. Mat pun tak tahu mana satu yang benar. Tapi mengikut riwayat cerita yang paling kuat, budak kecil ini telah menyelamatkan kota Brussels dari dibom dengan mematikan punca api bom dengan air kencingnya! Benar atau tidak, wallahua'lam...


Manniken Pis

Sedikit ke luar kota Brussels, terdapat The Atomium yang strukturnya mengadaptasikan struktur atom. Anda boleh menikmati panorama Brussels dari puncak monumen ini. Berhampiran The Atomium, terdapat Mini Europe Park yang menempatkan replika monumen-monumen penting setiap negara dalam Kesatuan Eropah dan Kinepolis iaitu Kompleks Wayang Mega yang menempatkan 28 panggung & panggung gergasi IMAX.


The Atomium

The Cinquantenaire Park merupakan antara tempat yang tak sempat Mat singgah semasa kunjungan ke Brussels dahulu. Taman ini telah dibina pada tahun 1880 sempena ulangtahun kemerdekaan Belgium yang ke-50. Di sini juga terdapat Arc De Triomphe, walau tak sebesar dan semasyhur Arc De Triomphe di Paris.


The Cinquantenaire Park

Jadi, bila melawat ke benua Eropah, jangan lupa untuk berkunjung ke kota Brussels! Nikmati sendiri keindahan dan keunikannya!

p/s: Lihat GALERI untuk gambar-gambar lain.

Info Brussels:

Hostel (untuk bajet ekonomi):
Sleep Well Youth Hostel, Espace du Marais asbl, Rue du Damier 23, 1000 Brussels
info@sleepwell.be
(10 minit dari Grand Place - boleh tahan selesa)

Masjid:
Mosquee de Bruxelles, Parc du Cinquentenaire 14, Bruxelles, 1000

Masjid Alabadin Brussels, 6 Rue de la Buandrie, Bruxelles

Thursday, May 19, 2005

Info - Euro

Bersempena dengan tayangan video Projek Gila 2004 di Teater, Mat ingat nak perkenalkan bandar-bandar kota Eropah yang sempat Mat lawati. Insya-Allah mudah-mudahan sedikit sebanyak pengalaman (takderlah banyak mana pung sebenarnya) yang Mat kutip dapat dikongsi bersama dan mana tahu kalau ianya dapat membantu sesiapa yang berhajat untuk ke sana membuat persiapan.

Untuk siri 1 INFO-EURO, Mat akan perkenalkan kalian dengan kota Brussels, Belgium.

Kekerapan setiap siri bergantung kepada kekerapan video yang dilancarkan di Teater.

Monday, May 16, 2005

Lilin-lilin yang membakar diri

Video terbaru Projek Gila 2004 (Day 2) sekarang ditayangkan di Panggung Satu, Teater. Masih belum berjumpa dengan free web hosting yang menyediakan ruang yang agak besar untuk kerja-kerja mengupload video (Sila maklumkan jika tahu). Jadi kualiti gambar pun kurang memuaskan.


Projek Gila 2004, 2nd day

Lokasi: Brussels, Belgium

Masalah video yang tersekat-sekat mungkin disebabkan kelajuan internet saudara/i. Saudara/i boleh menonton dalam kelajuan yang normal, tapi kena tunggu sampai videonya habis buffering lah (mungkin ambil masa yang lama sedikit). Semoga terhibur!

***

16 Mei, tarikh keramat bagi para pendidik seluruh Malaysia. Jutaan penghargaan yang tak terhingga buat mereka. Kerana insan-insan inilah, maka berdirinya Mat ke tahap ini hari ni. Pengorbanan dan penat lelah mereka sesungguhnya tiada galang gantinya. Mulia benar kerja seorang guru!

Sunday, May 15, 2005

Malaysia Cergas

Kesedaran untuk bersukan secara lebih kerap semakin bertambah di kalangan kerabat Melayu di sini gara-gara kesemputan yang nyata dirasai semasa kejohanan (mini) bola sepak baru-baru ini. Pertambahan ukur lilit pinggang akhir-akhir ini juga antara faktor tambahan yang merangsang kepada penambahan rembesan hormon adrenalin untuk kembali aktif bersukan seperti dulu kala.

Jumaat petang dengan riadah basketball & badminton. Semalam bersemangat pula nak main volleyball. Siap pergi beli bola baru. Tapi, akhirnya tak dapat main juga sebab sampai di taiikukang (dewan) lewat sedikit dan gelanggang dah pun penuh dikuasai bangsa mata sepet. Berdigging di tengah-tengah dewan dengan penuh rasa kecewa. Kemudian, berbadminton dan berbasketball lagi hingga sampai waktu tamat bisnes dewan.

Infrastruktur yang disediakan untuk kegiatan sukan di sini agak banyak, baik terurus dan agak selesa. Tapi masalah yang kerapkali kami hadapi di sini ialah susah untuk mencari yang kosong tidak diguna. Terutama untuk kegunaan persendirian yang bukan atas nama persatuan atau kelab, kerana selalunya mereka tidak menerima tempahan awal. Siapa cepat, dia dapat. Itupun kalau tiada function sepanjang hari tu. Penyelesaiannya?? Menubuh-daftarkan persatuan? Ataupun memang tiada jalan penyelesaian??... Kerna bangsa mata sepet ini memang aktif bersukan! Huhuhh...


Nantikan video terbaru, Projek Gila 2004 (Day 2) yang akan menemui anda di TEATER pada hari esok!!!

Friday, May 13, 2005

HALAL Malaysia Berhad

Tertarik dengan entri Sajen (karya asal dari Majalah Milenia Muslim) mengenai bagaimana telitinya masyarakat Yahudi menguruskan hal-hal pemakanan mereka daripada penyembelihan hinggalah ke peringkat pemprosesan makanan. Jika kita ada 'HALAL' sebagai syarat dalam memastikan setiap benda yang masuk ke dalam badan kita datangnya dari sumber yang bersih, mereka ada 'KOSHER' sebagai piawaian atau garis panduan dalam memilih / menyediakan makanan mereka.

Tapi apa yang bezanya, mereka mengambil bahagian hampir 100% daripada proses penghasilan makanan mereka sehingga boleh diisyhtiharkan sebagai KOSHER. Sedangkan kita, banyak menyerah dan berharap dari pihak-pihak lain dan kadangkala tanpa meragui akan keHALALannya. Lalu, logo HALAL JAKIM sebesar duit syiling 10 sen yang amat mudah ditirupakai dijadikan sebagai 'lesen' untuk membenarkan ketulan-ketulan makanan melepasi tekak kita, walau kekadang kita tertipu.

Mungkin sudah sampai masanya untuk kita buat sedikit perubahan. Tukarkan HALAL dari logo kepada JENAMA. Jadikan ianya sebagai perindustrian mutlak yang diuruskan sepenuhnya oleh 'orang kita'. Kita sudah ada TNB dalam menjana elektrik negara, Telekom dalam melancarkan komunikasi dalam dan luar negara, Petronas dalam menguruskan sumber asli negara. Jadi apa salahnya kalau kita memiliki HALAL sebagai satu badan / syarikat yang dapat mengeluar dan membekalkan barangan makanan untuk orang-orang kita???

Hak kita, usaha dari kita...

Wednesday, May 11, 2005

Timeline

Rancangan-rancangan TV di kawasan Kantou pada Rabu malam rata-ratanya agak menarik. Selain rancangan lawak-lawak spastik / bodoh / terlampau Jepun, Mat suka tengok Trivia, program TV yang memperkenalkan pengetahuan-pengetahuan am yang langsung tak diperlukan dalam hidup yang dihantar oleh para penonton, bunyinya seperti tak wujud / tak masuk akal, tapi ianya sahih.

Yang bestnya rancangan ni, diorang tak buta-buta terima maklumat yang dihantar, sebaliknya dibuat kajian terlebih dahulu samada merujuk kepada mereka yang arif (profesor di universiti-universiti, pekerja-pekerja expert yang bidang kerja mereka ada kaitan dengan Trivia yang dihantar) atau jalankan eksperimen sendiri untuk memastikan kesahihannya.

Semalam, ada trivia mengenai timeline, tempoh yang patut bagi si lelaki berada di tandas bila keluar berdating (untuk couple Jepun saja). Satu eksperimen dilakukan kepada 70 couples sekitar Tokyo, dengan menyuruh si lelaki berada di tandas dalam tempoh 20 minit dan kemudiannya memerhatikan reaksi si wanita yang menunggu-nunggu si lelaki ni balik dari tandas.

Keputusan eksperimen, setelah dikira oleh pakar statistik (seorang prof dari Yokohama Univ.), 4 minit 15 saat adalah border bagi lelaki untuk ke tandas. Jika lebih dari ni, maka anda akan disyak tengah buang air besar tanpa was-was lagi oleh pasangan anda!! Huhuhhh... Jaga-jaga!

Tuesday, May 10, 2005

Densya atau bas??

2 minggu berlalu selepas Tragedi Amagasaki. Kejadian yang mengorbankan 107 nyawa dan mencederakan lebih 450 penumpang tersebut nyata sedikit memberi impak ataupun trauma kepada penduduk-penduduk Jepun.

Tadi, ke Tokyo dengan densya (komuter). 2 gerabak depan agak lengang. Kebanyakan penumpang memilih untuk berada di gerabak tengah dan belakang. Sebabnya kebanyakan mangsa maut dalam kejadian 2 minggu lepas terdiri daripada penumpang-penumpang gerabak 1 dan 2. Mat memilih untuk berada di gerabak 4. Bukannya trauma, tapi sebab gerabak itulah yang paling dekat dengan tangga. Hehe...

Perjalanan balik, memilih untuk naik bas sebab tambangnya lebih murah (jimat 2000 yen) berbanding tambang tokkyuu (Super Express). 10 minit perjalanan, 10 meter sebelum tol Tokyo IC (Syuutou Speedway), bas ni tereksiden la pula dengan sebuah Toyota Altezza yang tetiba datang mencelah dari arah sebelah kiri. Menunggu polis datang, menunggu habisnya soal siasat dengan omawarisan (polis), menunggu bas gantian sampai, melengung 64 minit Mat dalam bas!


Menyodok dan disodok, Tokyo IC (Kamera henset)

Huhh, naik apapun sama saja. Bas, densya, mahupun kapal terbang. Kalau benda dah ditakdirkan berlaku, memang tak boleh lari. Kun fayakun!

Mat: Kita manusia hanya mampu berharap. Tawakkal tu 'alallah...

Sunday, May 08, 2005

Panggung

Mat ada tambah ruangan baru dalam Azimat, Teater. Nama macam gempak jer. Haha... Sebenarnya hanyalah koleksi-koleksi video yang ada kaitan dengan hidup Mat hasil karya sama ada oleh Mat sendiri (akan merajin-rajinkan diri) atau sahabat-sahabat Mat. Saja mencebur bidang baru.



Location: Edinburgh, Scotland

Buat permulaannya Mat akan hidangkan dengan video-video Projek Gila 2004 (mengukur peta Europe) yang lepas (mungkin dalam 1 atau 2 minggu satu siri). Kemudian, bergantung pada kelapangan dan tahap kerajinan eden.

Mat: cuba menceriakan kembali Azimat...


SELAMAT HARI IBU