Pagi Ahad yang bening. Terimbau sejenak kisah 4 bulan yang lalu...
Usai Subuh (Subuh di UK tak seawal seperti di Jepun), terpandang monitor, pada satu ID yang Mat rasa sudah agak lama tak
online dan tak bertukar cerita. Sahabat lama, rakan seperjuangan sejak di UM (sepanjang kursus persediaan). Apa khabar gamaknya sahabat Mat nih?
Kali terakhir kami bertemu, Mei 2000. Ketika itu universiti-universiti di Jepun bercuti selama seminggu sempena
Golden Week. Kebetulan Mat turun ke
Hiroshima (jaraknya sekitar 1000 km ke selatan dari Ibaraki) mengikuti program yang dianjurkan IPIJ (Ikatan Persaudaraan Islam Jepun) dan serentak dengan itu menyertai pertandingan bola sepak yang dilangsungkan antara pelajar-pelajar Melayu di Jepun. Ya, kalau tak silap itulah pertemuan kami yang pertama dan terakhir di Jepun.
Berbalik kepada cerita tadi, rancak Mat buka topik ajak kawan Mat ni bersembang tapi reaksi yang Mat terima, hambar! Gayanya bukan seperti apa yang Mat pernah kenal dia dulu. Macam ada sesuatu yang tak kena...
Bukan berhajat nak jadi kaki sibuk, cuma ingin bertanya apa masalahnya, apa yang tak kena, mana tau kalau-kalau Mat boleh bantu. Maka berceritalah sahabat Mat ni satu persatu dari A sampai Z. Huhh, terkujat, tergamam. Seakan tak percaya.
Diringkaskan cerita, sahabat Mat ni dilanda pelbagai masalah sepanjang tempoh bermukim di Jepun dan mengambil keputusan untuk pulang ke tanahair tanpa menamatkan pengajiannya. Tak sangka pula masalah begini akan menimpa sahabat Mat yang semasa di UM dahulu otaknya memang geliga dan sangat cemerlang prestasinya. Tapi itulah hakikat kehidupan. Penuh dengan liku dan dugaan.
Cubit paha kanan, paha kiri terasa jua. Ya Allah, betapa berat dugaan yang menimpa sahabat Mat ni. Sebabnya Mat tahu, Mat faham betapa perit betapa seksanya hari-hari yang kami lalui sebelum menjejakkan kaki ke bumi sakura dulu. Terimbas kembali kenangan silam. Kelas harian yang bermula seawal 8 pagi dan berakhir jam 6 petang di tahun pertama. Dan kelas separuh hari pada hari Sabtu seakan-akan menutup terus peluang untuk berlibur di hujung minggu. Menghafal kanji-kanji (tulisan Jepun) adalah hidangan supper kami. Dapat cuti seminggu (selalunya) atau 2 minggu (paling panjang) pun dah bertuah benar rasanya tatkala orang lain bercuti berbulan-bulan.
Ya, perjalanan sebelum dapat menyeberang
Laut Pasifik dan mendarat di bumi sakura ini tidaklah semudah yang dijangkakan. Penuh halangan dan menuntut seribu pengorbanan. Tapi, rupanya itu hanyalah permulaan sebuah perjalanan. Siapalah kita untuk menduga begini kesudahannya...
Sekarang, sahabat Mat ini mengalami trauma. Malu berdepan dengan famili, malu dengan masyarakat sekeliling, malu berjumpa kengkawan. Begitulah kesan yang dialaminya setelah pulang ke tanahair.
Sahabat, kau tak keseorangan...
Lokasi: Dairy farm, Bath"Banyak-banyak bersabar. Tabahkan hati. bla bla bla..." hahh, belum kena pada kita senanglah nak bagi nasihat. Peritnya beban yang ditanggung, sakitnya jiwa menahan hanya Allah sajalah yang tahu. Apapun Mat doakan insyaAllah mudah-mudahan ujian ini menguatkan lagi semangat kau sahabat! Renung semula pada jejak-jejak hari semalam yang telah kau tempa. InsyaAllah, kejayaan hari semalam tak mustahil untuk diulangi semula. Ayuh sahabat, jangan patah semangat!
***Dah genap sebulan eden naik pangkat. Dapat anak buah sulung! Mak & abah pun dah jadi tok & tok wan. Huhuhhh, aduh terasa tuanya diri...