Saturday, July 30, 2005

Ralat

Ada seseorang pernah menanya Mat, "Ibaraki tu tak jauhkan dari Osaka?". Jawapannya, dekat dan jauh. Sebenarnya ada 2 tempat yang namanya Ibaraki di Jepun. Satu, negeri Ibaraki di kawasan Lembah Kantou (jaraknya sekitar 700km dari Osaka) dan satu lagi pekan Ibaraki yang terletak hanya kira-kira 14km dari metropolitan Osaka.

Dua Ibaraki, namanya sama tapi ditulis dalam kanji yang berlainan, loghat / dialek pertuturan pun amat-amat berlainan. Negeri Ibaraki dengan loghat Ibaraki (Ibaraki ben) dan bahasa baku (hyoujungo) manakala pekan Ibaraki dengan loghat Kansai (Kansai ben). Mat tinggal di negeri Ibaraki, memang sangat jauh dari Osaka.

Harap tidak keliru.

Saturday, July 23, 2005

Anak mak yang GLOKAL

Minggu lepas masa call rumah, mak cakap buah moktan (rambutan) dan langsat di belakang rumah lebat jugak jadinya tahun ni. Kecur air liur Mat mendengar. Macam ni lah mak tiap-tiap tahun. Kata mak, sejak Mat berada di tanah orang ni, masuk saja musim buah, terus teringat jer dekat Mat.

Ya, tiap-tiap tahun Mat hanya balik bercuti di Malaysia pada musim bunga dan tak pernah balik sepanjang cuti musim panas. Bermakna setakat ni, dah 5 kali musim buah Mat terlepas. Memang senang sekarang nak dapatkan rambutan, durian, langsat ataupun manggis sekalipun di luar musim. Tapi, buah-buah yang dapat dipetik dari pokok-pokok di belakang rumah Mat tu manalah nak sama kalau nak dibanding dengan buah-buah yang berlambak-lambak dijual lelong dari Siam sana.

Imbas-imbas cerita dulu-dulu, zaman sekolah rendah. Masuk musim buah, bisnes utama Mat di hujung minggu, memanjat dari pokok ke pokok dari dahan ke dahan (macam beruk pulak bunyinya) petik rambutan dan langsat dan penuhkan stor buah dalam rumah. Pernah sekali, angkara terlalu rakus memetik, terlepas tangan dari dahan dan terus melayang ke bawah terkapai-kapai.

Alhamdulillah, Allah masih bermurah untuk panjangkan nyawa. Di saat paling genting, jarak badan Mat dari sebatang tungkul kayu tajam hanya setengah meter. Nasib baik sempat berpaut pada dahan paling bawah. Tangan kanan Mat masa tu teruk bergesel dengan dahan dan parutnya masih jelas hingga ke hari ni, tapi Mat tak pernah serik untuk memanjat lagi.

Itu cerita dulu. (Hehe, ada org yang tengah tersengeh sorang-sorang...)

Tuesday, July 19, 2005

Kecoh

Jam 3 pagi. Bunyi siren kereta omawarisan (polis) memecah keheningan Subuh. "Woo woo woo woo woo woo .....", memekik hampir setengah jam. Adegan kejar mengejar chinpera (kuli-kuli yakuza) dengan polis mungkin. Atau datangnya dari kereta polis yang menyerbu ke tempat kejadian kemalangan / pembunuhan / kebakaran. Atau atau atau... Banyak betul syak aku.

Tanah Jepun kini semakin banyak berubah. Orang-orang mudanya banyak yang hanya mewarisi darah spesis Jepun, mewarisi kesepetan orang tua mereka, tetapi kurang mewarisi keJEPUNan kesantunan orang-orang terdahulu. Sana-sini, nanah jenayah semakin parah. Kes kecurian merata-rata. Bunuh membunuh bukan lagi berita pelik. Orang tua hidup mereka terbiar, anak muda tanpa belas membunuh ibu dan bapa. Apa dihirau pertalian darah, kan wang insuran nyawa orang tua dan harta pusaka yang lebih utama.

Mungkin salah orang terdahulu. Mengejar kemajuan lebih dari keperluan. Agenda-agenda kerja penuh dalam kepala. Hal ehwal rumahtangga jatuh ke tangga kedua. Manakan terpupuk kasih sayang pada anak-anak, kalau dicurah bukan pada tempatnya. Sedangkan haiwan perlukan belaian inikan kita homosapien berakal. Retak menanti belah, belah nanti kan punah. Inikah tanda-tanda kemusnahan tamadun mereka??...


Mat: Macam sama jer dengan situasi kita di Malaysia. Ke lagi teruk??...

Wednesday, July 13, 2005

Goyang-goyang

Sejak kebelakangan ni, rasa macam semakin banyak pulak gempa yang berlaku sekitar kawasan Kantou ni. Lain macam jer bunyi... Tapi kalau dari pengalaman lalu, memang masa summer cam gini lagi banyak quake nak dibandingkan dengan winter.

2 hari lepas tempat Mat baru dikejutkan dengan gegaran yang agak kuat sekitar jam 7.27 pagi. Selalunya kalau setakat goyang-goyang geli-geli gitu Mat selalu buat dek jer. Tapi kalau lebih 5 saat pun masih tak berhenti goyangnyer, naik cuak juga. Mula la terkumat-kamit baca doa + mengucap, mana tahu kalau-kalau dah di penghujung nyawa.

Terkejut tadi tengok statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Jepun. Dalam tempoh 13 hari, bermula 1 Julai jam 7:07 pm hingga 13 Julai jam 6:38 am, terdapat 50 gegaran yang berlaku di seluruh Jepun (dari Hokkaido hinggalah ke Okinawa). Sah Jepun ni negara Darul Gempa!

Mungkin ada yang tertanya-tanya sebab apa banyak bangat quake kat Jepun ni. Kedudukan negaranya yang berada betul-betul di atas lingkaran gunung berapi pasifik, mungkin satu sebab. Satu lagi sebab ialah, Jepun terletak di atas 3 plates tectonics bumi yang aktif bergerak iaitu plate Eurasia, Pacific dan Philippine.

Satu lagi fakta yang menarik menakutkan, bucu-bucu 3 plates ini bertemu betul-betul di bawah dasar gunung Fuji (gunung berapi pendam). Inilah antara igauan buruk rakyat-rakyat sekitar kawasan Fuji sekarang, sebab ramai pengkaji gempa bumi meramalkan tak mustahil kalau gunung yang menjadi simbol Jepun ini akan meletup lagi.

Dan khabarnya, insuran nyawa kawasan-kawasan sekitar Fuji dan kawasan-kawasan yang diramalkan akan berlaku gempa yang kuat dalam waktu terdekat (Kanagawa, Tokyo, Tokai dll) antara yang termahal di Jepun! Pandai syarikat insuran ambil peluang. Kaya demer...

Satu benda yang Mat kagum dengan orang Jepun ni. Quake, gunung berapi, taifu (taufan), tsunami, banjir, tanah runtuh, salji lebat, lepas satu satu habuan yang mereka dapat. Macam pakej pulak. Tapi semangat mereka untuk terus hidup, terus maju ke depan semakin bertambah.

Mat: Na'uzubillah. Minta simpang dari azab-Mu Tuhan.


PC Mat buat hal. Penerbitan video pendek bersiri Projek Gila 2004 ditangguhkan buat sementara waktu. Harap maklum.

Tuesday, July 05, 2005

Lebih 30,000 orang setahun

Statistik terbaru. Tahun ni merupakan tahun ke-7 berturut-turut bilangan kematian akibat bunuh diri di Jepun melebihi 30,000 orang (setahun). Satu angka yang menggerunkan semua orang!

Dilaporkan antara penyebab utama, masalah peribadi, keluarga, kesihatan (mental dll), kewangan dan tekanan kerja.


Mat: Bukan jalan penyelesaian...

Saturday, July 02, 2005

Imbas-imbas

Bila terbaca catatan-catatan pengalaman mereka yang baru menjejakkan kaki ke bumi sakura ini, teringat semula kisah-kisah lama 5 tahun yang lalu, bagaimana jakunnya Mat dengan Jepun dan orang-orangnya. Hidup yang serba pantas, teknologinya yang cepat berubah, budi bicara rakyatnya yang halus penuh rasa hormat, perkhidmatan mereka yang amat mesra pengguna serta kesantunan pemandu-pemandunya di jalanraya. Itu di sebelah putih, kebaikan yang ada pada mereka.

Kontranya hidup mereka yang bebas mirip orang-orang di Barat sana. Perempuan-perempuan yang rendah martabatnya pada kaum lelaki, dijadikan kuli, dijadikan hamba. Hamba pada nafsu serakah, hamba pada industri pengiklanan, hamba pada industri pelacuran dan seolah hamba (orang gaji) di rumah sendiri. Alahai, apa nak dihirau, mereka tiada agama!

Semasa pendaratan ke tanah asing ini, usia Mat ketika itu baru 19 tahun. Peringkat umur yang agak mencabar, senang dipengaruh dan mudah teraruh. Tambahan pula hidup dalam negara yang 99 peratus dari penduduknya non-Muslim. Mana ada ustaz-ustaz untuk beri kuliah-kuliah agama. Mana ada warden atau penyelia asrama untuk mengawal kegiatan-kegiatan seharian. Bilik lelaki dan bilik perempuan, sebelah menyebelah, tiada pagar, tiada penghadang. Mungkin masa tu doa-doa kiriman ibu bapa dan iman yang senipis kulit bawang sajalah yang menjadi penyelamat dari terjebak ke dalam segala jenis munkar & maksiat.

Tapi bila difikirkan balik, ahh sama saja di mana-mana. Kadang-kadang terasa situasi di Tanah Malaya jauh lebih dahsyat...