Monday, November 03, 2008

Sekali air bah sekali pasir berubah

Keadaan persekitaran sudah terlalu banyak yang berubah. Urusan seharian hidup apatah lagi. Ditambah dengan ’status’ baru yang secara otomatisnya menambahkan lagi senarai tanggungjawab untuk dipikul.

Oh ya, untuk pengetahuan sahabat-sahabat, sudah 3 bulan lebih Mat meninggalkan dunia swasta untuk beralih angin menjawat sebagai penjawat awam. Satu lagi jalan kehidupan yang langsung tak pernah terlintas atau terlakar dalam rancangan hidup. Nanti InsyaAllah Mat cerita dengan lebih panjang lebar dalam entri-entri berikutnya.

Tahun 2008 bolehlah disimpulkan sebagai tahun gemilang yang mana setakat ini sentiasa hadir 4 tahun sekali (1992, 1996, 2000, 2004 dan 2008) seperti mana tahun lompat. Mudah-mudahan format 4 tahun olimpik ini berubah menjadi format tahunan, atau bulanan dan lebih baik kalau harian sambil mengambil kira wujudnya pasang surut dalam diari kehidupan.

Menagih kejayaan dan kebahagiaan, itukan sudah menjadi lumrah dan naluri semua makhluk. Jadi, tak salah kan mengharap dari-Nya sambil mengasuh diri menjadi insan yang mampu redha dengan segala ujian dan mehnah yang mendatang yang sebenarnya kurniaan Allah untuk mendidik kita menjadi insan yang lebih kuat.

Betapa sayang kan Allah pada hambaNya. Bukti Allah sentiasa mengambil berat tentang kita. Supaya kita tak lupa diri ketika di puncak, dan tidak ’hilang diri’ ketika terhumban ke dasar.

Friday, September 12, 2008

Live for today

Kehidupan semakin tenang.
Jiwa semakin tenteram.
Terfikir untuk aktif berposting kembali…

Wednesday, March 07, 2007

Maksimum dan varians

(Petikan dari utusan) BATU PAHAT 4 Mac – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 yang akan diumumkan pada 12 Mac ini dijangka menyaksikan satu lagi rekod baru dilakarkan apabila seorang pelajar perempuan dari sebuah sekolah di pekan Rengit dekat sini berjaya memperoleh 19 1A.
Pelajar pintar itu, Nadiah Amirah Jamil, 18, ialah penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon...


Syabas dan tahniah buat adik Nadiah yang telah membuat kejutan satu Malaya dengan memperbaharui rekod pencapaian SPM dengan 19A1. Hanya cream of the cream of the cream saja yang mampu melangkah sejauh ini. Diharap menjadi rangsangan kepada generasi muda yang lain dalam mencetuskan satu persaingan yang sihat dalam penimbaan ilmu.
Namun, dalam masa yang sama kita perlu letakkan kebimbangan dalam diri masing-masing akan julat tahap pendidikan negara kita yang semakin hari semakin melebar. Baik antara bandar & luar bandar, jantina mahupun kaum. Dalam menilai sesuatu statistik atau data, tak disangkal nilai maksimum itu penting, tapi lebih dari itu kita sangat-sangat perlu menilai akan nilai standard deviation / varian /julat untuk mendapatkan satu data yg cantik! Rasanya, teori ini banyak digunapakai di negara-negara maju termasuklah di Jepun dan lihatlah hasilnya!!

Saturday, March 03, 2007

Potret dan Masa

Posting bawah bertarikh March 02, 2006. Yang ini bertarikh March 03, 2006. Opss 2007. Aik. Hari dan tahun dua-dua bertambah. Setahun tak berposting. Mimpi apa muncul balik ke sini nih?

Hidup, macam biasa. Turun naik turun turun turun turun dan tak naik naik. Kerja, kerja, kerja. Aktiviti luar, hampir pupus. Perancangan, banyak yang telah dilakar, tapi hampir kesemuanya tak tercapai. Hushus... Hidup rupanya tak semudah yang disangka.

Ogos 2005, berangkat pulang ke Malaya dengan harapan tak akan jejakkan lagi kaki ke bumi sakura ni lagi (dalam tempoh yang panjang). Ternyata meleset, entah kenapa terheret kembali untuk bermukim di sini lagi. Bermula May lepas sampailah sekarang, dicongak-congak di tanahair hanya 2 bulan dan di tanah asing ini hampir sudah 8 bulan. Gamaknya udah tercatat di loh mafhuz lagi jodoh Mat dengan tanah Jepang ini sebegini mungkin.

Tiada apa sangat yang boleh diceritakan utk kalian semua. Segala-galanya biasa aja. Sebetulnya sudah terbiasa! Kadang-kadang TERPERASAN yang diri sendiri seolah sebahagian dari rakyatnya. Bila dilihat warna tangan dan kaki, baru sadar ALIEN (foreigner bahasa orang di London sana) rupanya aku nih.
***
Mat: Paris sebuah kota yang sangat istimewa, tapi aku langsung tak berhajat untuk tinggal di dalamnya.
Hiroko: Kenapa sih?
Mat: Aku takut sesuatu yang cantik, menarik bila terlalu lama dipandang nanti akan terkelihatan kecacatan dan kekurangannya. Aku takut dengan akal jahat aku.
Hiroko: Ooo maksud kamu, kamu mahu abadikan potret asalnya tanpa ditokok tambah dikemudiannya??
Mat: Yup.
***
Teringat kembali lebih kurang beginilah bunyinya dialog setelah dialter-alter dan diterjemahkan bahasanya dengan Hiroko-san (nama sebenar) beberapa ketika dulu. Sama juga dengan bumi Jepang ni. 5 tahun sudah memadai untuk mengagumi potret asalnya. Dihitung-bundar, Mat dah 6 tahun lebih di sini. Jadi, faham-fahamlah apa yang Mat nak perkatakan ya.

Thursday, March 02, 2006

Lagu 3 ploh s3n

Lagu tiga kupang
Riuh sana sini
Aku jadi bingung
Minyak naik lagi
Bila sudah naik
Menteri senyum aja
Tak usahlah bimbang
Tahun ini skali sahaja
( korus )
Rakyat dalam rumah
Buat kira-kira
Menteri dalam banglo
Tak rasa apa-apa hey...
Abang pergi ke pam
Mahu isi minyak
Naik tiga kupang
Terkorek lubang hidung
hidung, hidung, hidung...
-Mat-

Friday, February 24, 2006

Kaki > Kasut

Jika kita menangis kerana tiada kasut, ingatlah pada orang lain yang menangis kerana tiada kaki...

Satu ayat, makna padat! Kelepek kena atas batang hidung.

Thursday, February 09, 2006

>> FWD >>

Kalaulah filem hidup ini boleh di'forward'kan untuk melihat jalan cerita akan datang, tak payah lah susah-susah pening kepala kan. Tengok finale boleh agak jalan cerita kita tu macam mana. Haha, tapi kalau kesudahan yang kita nampak itu baik, seperti apa yang kita gambar dan angan-angankan.

Kalau sebaliknya pulak macam mana? Haiyoo tak ke nanti sakit jiwa? Makan tak tersuap tidur tak bertaik mata. Gerenti ‘frust’ menonggeng habisy punya!

Apapun watak kita ni dah di-ada dan dihidupkan. Mahu tak mahu, filem lakonan kita mesti diteruskan. Kan sudah dijanjikan habuan lakonan masing-masing nanti. Mana boleh watak diganti-ganti. Berserabutlah jalan cerita. Mematikan watak boleh, tapi bukan kuasa kita. Kuasa tuan ‘director’.

Bidang kuasa kita hanyalah untuk memilih samada watak baik atau watak-watak ‘Sarip Dol’ dan yang sewaktu dengannya. Satu lagi, skrip dan jalan cerita pun bebas untuk kita tentukan. Jadi apa lagi, ayuh teruskan lakonan ini!

Panjang lagi ke cerita ni???... (sambil menguap)

Saturday, December 31, 2005

Penutup 2005

Assalamualaikum buat semua dan terima kasih kepada yang masih sudi menjenguk-jenguk ke sini walaupun bilangannya hanyalah beberapa kerat. Pasti kalian hampa dengan hidangan yg disediakan di sini. Dah berulat, naik meloya dah tengok noo...

Mat hanya nak ucapkan selamat menempuh tahun 2006 dan moga hari ini dan hari-hari esok lebih baik dari semalam. Masih tiada mood nak tulis panjang-panjang.

Selamat Tinggal 2005, selamat datang dan moga 2006 lebih ceria, mampu kembalikan semula senyuman di wajah ini seperti dolu-dolu.

Selamat tinggal penderitaan, selamat tinggal kesengsaraan...

Thursday, October 06, 2005

Salam Ramadhan

Lama tak berupdate. Macam biasa, penyakit lama ditambah penyakit baru. Kehidupan seharian sekembali dari bumi sakura masih hambar. Tiada apa yang istimewa untuk dipaparkan di sini.

Untuk pengetahuan semua, Mat sekarang agak sibuk (menyibukkan diri sebenarnya) menelaah lembaran-lembaran ilmu bidang baru disamping tugasan-tugasan tambahan sepanjang Ramadhan. Tekad sudah dibuat, azam sudah disemat. Insya-Allah kalau tiada aral, pertengahan tahun depan Mat akan meredah jalan baru itu. Haha, jangan silap tafsir pulak no...

.:. Selamat Berpuasa & Selamat Beribadat di Bulan Yang Penuh Berkat.:.

Sunday, August 14, 2005

Finale - Flashback (Part 2)

...sambungan

Apapun semuanya dah selesai, pantas sungguh berlalu. Tulisan-tulisan cacing tu pun dah kena hadam, professor-professornya pun dah jinak-jinak. Bagi Mat pengalaman belajar dan hidup di rantau orang ini adalah satu aset yang terlalu berharga. Walaupun jalan yang telah Mat lalui terlalu jauh dari angan-angan, perancangan dan segala yang diimpikan. Aku redha, syukur pada-Mu Tuhan.

Hidup dalam komuniti bangsa Jepun pula mungkin satu kelebihan tambahan. Menumpang kemajuan mereka, belajar dalam persekitaran yang kompetitif, contohi budi pekerti, pelajari apa itu tolak ansur, timbang rasa dan dalam masa yang sama, kena berjuang menjaga akidah diri, memelihara imej baik agama dan negara. Nikmat dan ujian, kedua-duanya sesangat manfaat dalam pembentukan sahsiah diri.

Kalau Mat tak ke sini, sudah tentu Mat tak akan merasa solat di kaki lima, bawah tangga, dalam karaoke box (kalau hujan), di pinggiran jalan, sambil diperhatikan orang yang lalu lalang. Sudah pasti Mat akan tiada minat, tiada rasa tanggungjawab untuk mendekati mereka yang non-Muslim. Dan sudah pasti Mat masih buta mengenai masyarakat antarabangsa, budaya dan cara hidup mereka.

Memasak, kalau dulu hanya jadi pelakon tambahan, diberi tugas ringan seperti menggoreng dan masak nasi. Datang sini, semuanya kena buat sendiri. Dari menyediakan bahan hinggalah ke sentuhan terakhir. Membasuh, menjemur, kemas rumah tak usah ceritalah. Semuanya dah merasa. Baru tahu betapa susahnya selama ni mak menguruskan rumah. Sambil belajar sambil bekerja (part time) cari rezeki tambahan. Penat badan hanya Allah sajalah yang tahu. Baru faham, betapa besarnya pengorbanan abah selama ni.

Peristiwa sepanjang 5 tahun 5 bulan, suatu yang tak akan luput dari ingatan.



Pesta bunga api di Tasik Senba minggu lepas



Hanabi terakhir


Di bawah ni ada video khas sebagai kenang-kenangan sebelum pulang. Video pendek ni merupakan gabungan-gabungan video-video pendek aktiviti bebudak Ibaraki selama ni yang telah diedit oleh Kulat & Apek.

Adik beradik Ibaraki - Edited by Kulat

Wednesday, August 10, 2005

Finale - Flashback (Part 1)

5 tahun 5 bulan. Bunga, panas, luruh dan sejuk, musim bersilih ganti. Puas sudah merantau. Menjalani hidup di tanah orang. Menjelajah dari satu daerah ke satu daerah, meneroka ke setiap ceruk, menimba ilmu buat bekalan hidup.

***Cerita Lama***

Apa yang telah berlaku dalam 7 tahun terakhir ini, memang tak pernah termimpi dalam diari-diari silam. 9 tahun lepas, impian keluarga yang juga cita-cita besar Mat sudahpun terlebur tak kesampaian. Sejak tu, terasa kelam jer masa depan dan kurang bermaya untuk melangkah ke hadapan. Masa tu Mat meletakkan kesalahan secara total pada Dato' N**** yang ketika itu Menteri Pendidikan atas dasar yang diperkenalkan. Mungkin juga salah sendiri kerana tak berani ambil risiko untuk ke jalan alternatif. Takut akan kehilangan 'status istimewa'. Huhuhh...

Cerita ni agak kabur. Siapa yang senasib dengan Mat mungkin memahaminya. Malu nak ceghiter...

Bila difikirkan balik, takder siapa yang harus dipersalahkan. Sebab pasti ada rahmat di sebalik setiap ketentuan. Dapat menyusuri jalan yang diimpikan tak bermakna akan sampai ke destinasinya.

Dan kemudian, memasang angan-angan pada jalan baru yang disusuri. Mat panggil angan-angan sebab dah kurang yakin pada word cita-cita. Belajar pun sambil lewa untuk SPM, tapi alhamdulillah Allah Maha Pemurah, dapat result OK la. Datang pulak Soros, ekonomi gawat tahun 1997 / 1998. Angan-angan tadi pun terus berkecai. Sudah jatuh ditimpa tangga. Cita-cita ke mana, angan-angan ke mana.

Dipendekkan cerita, satu hari datanglah posmen dengan surat tawaran kemasukan ke program RPKJ (Rancangan Pemulihan Kanak-kanak Jahat) di UM di bawah tajaan JPA. Di bawah program ni, Mat perlu menjalani kursus persediaan 2 tahun (1 tahun 9 bulan sebenarnya) belajar bahasa Jepun sebelum dinilai samada layak atau tidak untuk menyambung pelajaran ke universiti di Jepun.

Masa tu, Mat tak tahu nak kata ini hadiah atau musibah. Terbayang dapat terbang untuk belajar di luar, memanglah ianya satu hadiah yang istimewa. Tapi bila difikirkan yang Mat kena belajar bahasanya yang macam cacing, dengan cerita-cerita yang professor-professor di Jepun sana lebih kurang macam askar Jepun dulu-dulu, tentulah ianya satu musibah besar.


to be continued...


Klip foto di bawah ni pernah Mat uploadkan dalam entri lepas. Saja letak sekali lagi sempena countdown keberangkatan pulang Mat ke tanahair.


Satu Perjalanan (1)



Satu Perjalanan (2)



Lama tak menulis, cerita berterabur, bahasa tonggeng langgang.

Saturday, July 30, 2005

Ralat

Ada seseorang pernah menanya Mat, "Ibaraki tu tak jauhkan dari Osaka?". Jawapannya, dekat dan jauh. Sebenarnya ada 2 tempat yang namanya Ibaraki di Jepun. Satu, negeri Ibaraki di kawasan Lembah Kantou (jaraknya sekitar 700km dari Osaka) dan satu lagi pekan Ibaraki yang terletak hanya kira-kira 14km dari metropolitan Osaka.

Dua Ibaraki, namanya sama tapi ditulis dalam kanji yang berlainan, loghat / dialek pertuturan pun amat-amat berlainan. Negeri Ibaraki dengan loghat Ibaraki (Ibaraki ben) dan bahasa baku (hyoujungo) manakala pekan Ibaraki dengan loghat Kansai (Kansai ben). Mat tinggal di negeri Ibaraki, memang sangat jauh dari Osaka.

Harap tidak keliru.

Saturday, July 23, 2005

Anak mak yang GLOKAL

Minggu lepas masa call rumah, mak cakap buah moktan (rambutan) dan langsat di belakang rumah lebat jugak jadinya tahun ni. Kecur air liur Mat mendengar. Macam ni lah mak tiap-tiap tahun. Kata mak, sejak Mat berada di tanah orang ni, masuk saja musim buah, terus teringat jer dekat Mat.

Ya, tiap-tiap tahun Mat hanya balik bercuti di Malaysia pada musim bunga dan tak pernah balik sepanjang cuti musim panas. Bermakna setakat ni, dah 5 kali musim buah Mat terlepas. Memang senang sekarang nak dapatkan rambutan, durian, langsat ataupun manggis sekalipun di luar musim. Tapi, buah-buah yang dapat dipetik dari pokok-pokok di belakang rumah Mat tu manalah nak sama kalau nak dibanding dengan buah-buah yang berlambak-lambak dijual lelong dari Siam sana.

Imbas-imbas cerita dulu-dulu, zaman sekolah rendah. Masuk musim buah, bisnes utama Mat di hujung minggu, memanjat dari pokok ke pokok dari dahan ke dahan (macam beruk pulak bunyinya) petik rambutan dan langsat dan penuhkan stor buah dalam rumah. Pernah sekali, angkara terlalu rakus memetik, terlepas tangan dari dahan dan terus melayang ke bawah terkapai-kapai.

Alhamdulillah, Allah masih bermurah untuk panjangkan nyawa. Di saat paling genting, jarak badan Mat dari sebatang tungkul kayu tajam hanya setengah meter. Nasib baik sempat berpaut pada dahan paling bawah. Tangan kanan Mat masa tu teruk bergesel dengan dahan dan parutnya masih jelas hingga ke hari ni, tapi Mat tak pernah serik untuk memanjat lagi.

Itu cerita dulu. (Hehe, ada org yang tengah tersengeh sorang-sorang...)

Tuesday, July 19, 2005

Kecoh

Jam 3 pagi. Bunyi siren kereta omawarisan (polis) memecah keheningan Subuh. "Woo woo woo woo woo woo .....", memekik hampir setengah jam. Adegan kejar mengejar chinpera (kuli-kuli yakuza) dengan polis mungkin. Atau datangnya dari kereta polis yang menyerbu ke tempat kejadian kemalangan / pembunuhan / kebakaran. Atau atau atau... Banyak betul syak aku.

Tanah Jepun kini semakin banyak berubah. Orang-orang mudanya banyak yang hanya mewarisi darah spesis Jepun, mewarisi kesepetan orang tua mereka, tetapi kurang mewarisi keJEPUNan kesantunan orang-orang terdahulu. Sana-sini, nanah jenayah semakin parah. Kes kecurian merata-rata. Bunuh membunuh bukan lagi berita pelik. Orang tua hidup mereka terbiar, anak muda tanpa belas membunuh ibu dan bapa. Apa dihirau pertalian darah, kan wang insuran nyawa orang tua dan harta pusaka yang lebih utama.

Mungkin salah orang terdahulu. Mengejar kemajuan lebih dari keperluan. Agenda-agenda kerja penuh dalam kepala. Hal ehwal rumahtangga jatuh ke tangga kedua. Manakan terpupuk kasih sayang pada anak-anak, kalau dicurah bukan pada tempatnya. Sedangkan haiwan perlukan belaian inikan kita homosapien berakal. Retak menanti belah, belah nanti kan punah. Inikah tanda-tanda kemusnahan tamadun mereka??...


Mat: Macam sama jer dengan situasi kita di Malaysia. Ke lagi teruk??...

Wednesday, July 13, 2005

Goyang-goyang

Sejak kebelakangan ni, rasa macam semakin banyak pulak gempa yang berlaku sekitar kawasan Kantou ni. Lain macam jer bunyi... Tapi kalau dari pengalaman lalu, memang masa summer cam gini lagi banyak quake nak dibandingkan dengan winter.

2 hari lepas tempat Mat baru dikejutkan dengan gegaran yang agak kuat sekitar jam 7.27 pagi. Selalunya kalau setakat goyang-goyang geli-geli gitu Mat selalu buat dek jer. Tapi kalau lebih 5 saat pun masih tak berhenti goyangnyer, naik cuak juga. Mula la terkumat-kamit baca doa + mengucap, mana tahu kalau-kalau dah di penghujung nyawa.

Terkejut tadi tengok statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Jepun. Dalam tempoh 13 hari, bermula 1 Julai jam 7:07 pm hingga 13 Julai jam 6:38 am, terdapat 50 gegaran yang berlaku di seluruh Jepun (dari Hokkaido hinggalah ke Okinawa). Sah Jepun ni negara Darul Gempa!

Mungkin ada yang tertanya-tanya sebab apa banyak bangat quake kat Jepun ni. Kedudukan negaranya yang berada betul-betul di atas lingkaran gunung berapi pasifik, mungkin satu sebab. Satu lagi sebab ialah, Jepun terletak di atas 3 plates tectonics bumi yang aktif bergerak iaitu plate Eurasia, Pacific dan Philippine.

Satu lagi fakta yang menarik menakutkan, bucu-bucu 3 plates ini bertemu betul-betul di bawah dasar gunung Fuji (gunung berapi pendam). Inilah antara igauan buruk rakyat-rakyat sekitar kawasan Fuji sekarang, sebab ramai pengkaji gempa bumi meramalkan tak mustahil kalau gunung yang menjadi simbol Jepun ini akan meletup lagi.

Dan khabarnya, insuran nyawa kawasan-kawasan sekitar Fuji dan kawasan-kawasan yang diramalkan akan berlaku gempa yang kuat dalam waktu terdekat (Kanagawa, Tokyo, Tokai dll) antara yang termahal di Jepun! Pandai syarikat insuran ambil peluang. Kaya demer...

Satu benda yang Mat kagum dengan orang Jepun ni. Quake, gunung berapi, taifu (taufan), tsunami, banjir, tanah runtuh, salji lebat, lepas satu satu habuan yang mereka dapat. Macam pakej pulak. Tapi semangat mereka untuk terus hidup, terus maju ke depan semakin bertambah.

Mat: Na'uzubillah. Minta simpang dari azab-Mu Tuhan.


PC Mat buat hal. Penerbitan video pendek bersiri Projek Gila 2004 ditangguhkan buat sementara waktu. Harap maklum.

Tuesday, July 05, 2005

Lebih 30,000 orang setahun

Statistik terbaru. Tahun ni merupakan tahun ke-7 berturut-turut bilangan kematian akibat bunuh diri di Jepun melebihi 30,000 orang (setahun). Satu angka yang menggerunkan semua orang!

Dilaporkan antara penyebab utama, masalah peribadi, keluarga, kesihatan (mental dll), kewangan dan tekanan kerja.


Mat: Bukan jalan penyelesaian...

Saturday, July 02, 2005

Imbas-imbas

Bila terbaca catatan-catatan pengalaman mereka yang baru menjejakkan kaki ke bumi sakura ini, teringat semula kisah-kisah lama 5 tahun yang lalu, bagaimana jakunnya Mat dengan Jepun dan orang-orangnya. Hidup yang serba pantas, teknologinya yang cepat berubah, budi bicara rakyatnya yang halus penuh rasa hormat, perkhidmatan mereka yang amat mesra pengguna serta kesantunan pemandu-pemandunya di jalanraya. Itu di sebelah putih, kebaikan yang ada pada mereka.

Kontranya hidup mereka yang bebas mirip orang-orang di Barat sana. Perempuan-perempuan yang rendah martabatnya pada kaum lelaki, dijadikan kuli, dijadikan hamba. Hamba pada nafsu serakah, hamba pada industri pengiklanan, hamba pada industri pelacuran dan seolah hamba (orang gaji) di rumah sendiri. Alahai, apa nak dihirau, mereka tiada agama!

Semasa pendaratan ke tanah asing ini, usia Mat ketika itu baru 19 tahun. Peringkat umur yang agak mencabar, senang dipengaruh dan mudah teraruh. Tambahan pula hidup dalam negara yang 99 peratus dari penduduknya non-Muslim. Mana ada ustaz-ustaz untuk beri kuliah-kuliah agama. Mana ada warden atau penyelia asrama untuk mengawal kegiatan-kegiatan seharian. Bilik lelaki dan bilik perempuan, sebelah menyebelah, tiada pagar, tiada penghadang. Mungkin masa tu doa-doa kiriman ibu bapa dan iman yang senipis kulit bawang sajalah yang menjadi penyelamat dari terjebak ke dalam segala jenis munkar & maksiat.

Tapi bila difikirkan balik, ahh sama saja di mana-mana. Kadang-kadang terasa situasi di Tanah Malaya jauh lebih dahsyat...

Friday, June 24, 2005

Video Prague

3 minggu lebih WAYANG tak berupdate. Dah melanggar janji nih (dulu janji nak update paling kurang 2 minggu sekali). Akhirnya siap juga tadi video hari ke-4 Projek Gila 2004 setelah kerja-kerja pengeditan tertangguh selama sebulan lebih.


Prague, Czech Republic

Puas juga mencari lagu pop Czech. Dah jumpa tak berkenan pulak. Last last pakai lagu Numa-numa (O-zone). Takper, lagu tu pun dalam bahasa Hungary (kot). Adik beradik Czech jer. Belasah la labu...

File kecik, kualiti kurang sket.

Thursday, June 23, 2005

Simpang Tiga

23 Jun 2006. Tinggal 7 hari sebelum membuat keputusan, memilih hala tuju jalan yang perlu disusuri untuk 3 tahun akan datang. Meneruskan kelana di rantau orang, atau kembali semula ke tanah halaman. 2 haluan berbeza, namun destinasinya sama...


Ya Allah berikan petunjuk.

Tuesday, May 31, 2005

Berlin video

Video Projek Gila 2004 3rd day dah pun siap. Tapi tak sempat nak upload tadi. InsyaAllah memalam nanti kalau tiada aral...


Berlin, Germany