Wednesday, November 05, 2003

Akibare (Cerah Di Musim Luruh)

11 Ramadhan. 1/3 Ramadhan telah berlalu dan kini masuk ke fasa pertengahan. Begitulah detik waktu di akhir zaman. Begitu pantas masa berlalu.

Pagi tadi nasib baik aku tak terlupa yang hari ni ada presentation. Selalunya pukul 5 pagi aku akan bangun siapkan draft, tapi disebabkan draft untuk minggu ni dah disiapkan minggu lepas, tu yang bermanja-manja dalam selimut tadi tu. Bangun 4 am, bersahur, solat Subuh dan tidur balik. Buka mata dah 8:40 am. Selamat...

Subhanallah, cantik sungguh suasana pagi ni. Langit biru yang tiada awan. Tiada 'perintang' yang menghalang cahaya matahari menyinari bumi, menghangatkan pagi yang dingin. Tidak seperti biasa, pagi ni aku dengan hayunan langkah yang perlahan ke sekolah. Aku tak sihat ker? Tidak, aku sihat. Cuma helah... Hehe. Hari ni Prof ke Tokyo, jadi aku memperlambatkan hayunan dengan niat nak masuk lambat ke meeting room. Ingat best ker dengar orang lain present?...

Buka jer pintu bilik, aikk baru 4 ekor jer yang sampai. Aku orang ke-5. Sakurai dan Kutsukake ke Tokyo bersama Prof, bermakna lagi 6 orang yang belum sampai. Hmmm, budak-budak ni pun 2 kali 5 dengan aku. Mentang-mentang la Prof tak ader. Amik kesempatan yer... Sekali sekala! Ahaks...


Langit Biru

Sebelah petangnya tiba-tiba terlintas nak ke Joyful Honda (homecenter) yang terletak kira-kira 20 km dari sini. Ada barang yang hendak dicari... Letaknya berhampiran Hitachi-Naka Port. Keluasannya pun boleh tahan jugak la. Pelbagai barang yang ada dijual di sini. Alat-alat berkebun, pet shops, barang-barang rumah, perabot, lengkap seribu satu macam. Dua tempat yang aku selalu singgah, kedai sukan The Sports Authority dan kedai barangan interrior. Berbuka dengan sebiji tamar, secawan yogurt, solat Maghrib dan bertolak ke sana.


Pukul 5:30 pm, gelap gulita

Banyak betul kereta petang nih. Mana taknya, rush hour, orang baru balik dari kerja. Traffic terlalu lembab. Best betul layan blues sorang-sorang dalam kereta. Di pertengahan jalan, berhenti sekejap di 7-11. Perut dah lapar! Sambar seketul onigiri (nasi kepal) dan sekotak jus aloe vera. Alhamdulillah, nikmat!


Singgah Sebentar di 7-11

Jam di tangan sudah pun pukul 6 pm. Tempat dituju tutup pukul 7 pm. Sempat ke tidak ni??... Lalu-lintas agak lengang bila melepasi lampu isyarat berhampiran loji nuklear di Tokai-Mura. Hahh, apa lagi?? Darah muda. Pecut selaju yang boleh. Sampai di Joyful Honda dah pun pukul 6:35 pm. Sempat! Membeli itu dan ini dan lagu Sayonara pun berkumandang. Di sini rata-rata kedai akan memainkan lagu Sayonara beberapa minit sebelum premis ditutup. Isyarat menghalau la tu. Kadang-kadang ada juga yang buat-buat tak faham. Aku pun pernah. Huhuhh...

Keluar dari pintu premis, dengan hayunan lemah gemalai bak senaman tai-chi menuju ke kereta. Mengambil angin malam. Sejuk la tapinya. Memerhati dari jauh sepasang suami isteri dalam lingkungan 80-an membimbing beg plastik yang sarat. Simpati!

Tiba-tiba si isteri jatuh tersembam menyembah tar. Ya Allah! Dengan spontan kaki aku berlari ke arah nenek tersebut. Memapah nenek berdiri. Si suami, datuk yang berjalan di sebelahnya nampak seperti tak terkudrat mengangkat. Masing-masing dah di penghujung usia. Bertanyakan keadaan nenek, "obaasan (nenek) tak apa-apa ker?". "Saya tak apa-apa. Terima kasih ya nak." suara nenek termengah menjawab. Aku lihat ada sedikit calar di pipi nenek. Mempelawa untuk membantu mereka menjinjing beg plastik yang sarat, namun pelawaan aku ditolak. "Dah dekat tu ha, dengan kereta." balas nenek. Melihat nenek dah stabil berdiri, aku pun melepaskan tangan meminta diri walaupun sungguh berat dalam hati.

Perjalanan pulang, fikiran aku berlegar-legar memikirkan nenek tadi. Seribu persoalan yang menghantui diri. Itu dan ini...


Joyful Honda

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Manusia tetap berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Monday, November 03, 2003

Culture Day

2 tahun menunggu untuk ke sana. Tapi, biasalah kan kita manusia, makhluk yang lemah. Apa jua perancangan kita yang menentukannya hanyalah Allah s.w.t. Ke mana ya?... Ermm, Mat dah lama berhajat nak ke Tokyo Motorshow, acara dwi-tahunan yang diadakan di Makuhari, Chiba. Teringin nak tengok dari dekat kereta-kereta terkini yang canggih manggih. Nak beli? Haha, Jangan mimpilah...

Bercadang untuk ke sana hari ni, sempena cuti Culture Day. Tapi, prof pulak buat hal. Hari Jumaat lepas ada arahan kena datang lab hari ni. Hampesh tul... Patuh arahan atau kena extend satu tahun. Grrr, tak nak cari pasal. Apapun pasti ada hikmahnya... Aku kadang-kadang hairan jugak tengok prof ni. Weekdays dah tentulah tiap-tiap hari di Univ. Tapi selalunya weekend atau public holiday pun rajin benar dia datang. Mana masa untuk bersama anak isteri? Mana masa untuk berekreasi (kalau golongan tua, golf lah yang menjadi pilihan-tak tau nak buang duit, mungkin), masa itu dan masa ini... Hakikatnya memang ramai Japanese yang begini. Mementingkan kerjaya lebih dari segalanya.

Sebelah petangnya dapat satu bungkusan dari Sagawa Takkyuubin (salah satu sykt perkhidmatan menghantar kiriman barangan). Tiket pulang! Yeay... Boleh la menghitung hari ni :) . Macam-macam berligat dalam kepala. Ole-ole untuk famili di Malaya, hadiah istimewa untuk bakal raja sehari, kiriman / pesanan barang dari sahabat-sahabat di tanahair, agenda dalam masa percutian yang singkat. Bikin fonin!


Gambar World Cup 2002 (3)-Ireland vs Germany

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan palsu (bohong) malah dia terus melakukannya, Allah tidak mempunyai apa-apa kepentingan di dalam tindakannya meninggalkan makanan dan minuman (tidak ada gunanya dia meninggalkan makanan dan minuman kerana Allah tidak menerima puasanya).

(Hadis riwayat Imam Bukhari).

Sunday, November 02, 2003

Posing Jangan Tak Posing!

Bersahur tomyam lebihan semalam. Serik untuk tidur-tidur ayam lagi. Biarlah ayam jer yang tidur lagu tu. Aku, dengan caraku. Hehe... Bila yer kali terakhir aku bersahur dengan famili?? Rasa-rasanya tahun 2000 (sebelum menjelang Syawal awal tahun). Raya 2 kali setahun kan masa tu. Ya! Masih segar di kotak memori... Kini, aku sepi!

Oleh kerana foto hasil sesi penggambaran semalam kurang memuaskan, maka sekali lagi sekumpulan model berbaju melayu dan kurung turun ke gelanggang berposing gitu gini. Foto yang diambil semalam dalam surau, so view pun terhad. Mulanya semua bergerak menuju ke tepi padang sekolah. Sekor-sekor jalan macam unta tergeliat kaki, malu kot orang lain dok usha. Sekerat jalan, si Roy bagi cadangan tangkap kat tempat lain ajer. Hmmm, berpatah balik ke perkampungan, menuju ke mobil dan bergerak tanpa arah tujuan.

Sampai di pusat bandar, ada si polan yang bercadang ambil gambar di depan civic centre sahaja. Ahaksss... tempat berkumpulnya muda-mudi di sini. Aku mulanya naik segan jugak tengok kelibat ramai orang di situ. Arghhh, apa nak malu. Diorang bukannya kenal kita pung. Lagipun kan kita tengah pakai baju kebangsaan ni, kenalah bangga sikit. Hehe... Muka aku naik tebal 18 inchi setengah. Masing-masing mengontrol... Hahaha... Belum turun dari kereta lagi dah ada yang menjenguk-jenguk dari luar. Apatah lagi bila dah turun. Terasa macam artis la plak. Glemer, memang glemer!

Selalunya aku minta orang yang tengah lalu lalang jer tolong ambilkan gambar. Tapi selalunya hampesh, tidak menjadi. Kali ni aku bawa tripod yang baru dibeli. Baru puas hati sikit. Dari civic centre ke tepi jalan, kemudian ke atas puncak bukit, bila rasa malu dah hilang, hmmm satu bandar kalau boleh nak dijadikan background.


Duta Kecil

Selesai berposing balik ke surau solat Asar, berbuka dengan tamar sebiji dua, solat Maghrib dan ke destinasi seterusnya. Nak bergambar lagi?? Tidak, kali ni nak pergi melantak. Berlapan ke Namaste (restoran India). Razak (senior dari Saga Prefecture) turut serta. Menu yang diorder tak banyak berbeza macam yang lepas. Habis melantak, bergegas pulang. Rugi kalau terlepas tarawikh...

Banyak betul aktiviti hari ni. Maklumlah esok cuti, Culture Day. Haha... Selesai tarawikh, melayan VCD citer Melayu, bla bla bla berborak, sambung dengan perang UNO sampai 3 pagi. Ramadhan aku berlompang lagi... :(

Seharian tiada di rumah, maka takder lah juadah untuk bersahur. Bertiga dengan Syed dan Musa ke 7-11, bersahur di sana.

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamanNya, bau mulut orang yang sedang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan iaitu: Apabila dia berbuka puasa, dia gembira dengan waktu berbukanya dan apabila dia menghadap Tuhannya, dia gembira dengan amalan puasanya.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).