Wednesday, December 31, 2003

Ekspedisi seterusnya...

Agak lewat check out dari tourist house, sekitar 9:45 am. Mulanya selesai Subuh aku dah bersemangat nak ke destinasi seterusnya, tapi melihatkan rakan yang berdua tu seperti masih lagi mabuk dengan penat semalam, lalu membiarkan mereka berehat lebih hingga ke jam 9 am. Destinasi seterusnya, Mt Bandai (Inawashiro Resort Skiing Ground). Tak jauh dari tempat penginapan sekitar 10 minit perjalanan. Tiket lift dibeli terus di tourist house tadi, sebab ada diskaun!

Bayaran masuk ke Inawashiro Resort nampaknya lebih murah dari di Minowa semalam. Mesti ada sebab nih. Hah, sah! Mulanya ditahan oleh seorang pekerja di situ dimintanya bayaran untuk parking dan diserahkan resit. 1000 yen! Hampesh... Semalam percuma sahaja di Minowa. Mencari-cari ruang kosong yang paling dekat dengan rumah rehat. Senang untuk kerja-kerja mengangkut board dan kelengkapan lain. Sekali lagi hampesh! Parking lot yang disediakan bukannya bertar seperti di Minowa semalam, sebaliknya hanyalah semata-mata tanah yang becak dibasahi salji yang telah cair. Memang kotor. Sabo jelah...

Dari segi ketinggian dari paras laut, nampaknya Mt Bandai lebih rendah berbanding Mt Minowa semalam. Mutu salji pun agak berbeza. Jika semalam saljinya seperti serbuk tepung, hari ni saljinya sedikit berair dan agak licin. Ditambah dengan suhu yang naik mendadak sejak awal pagi tadi. Agak berbahaya meluncur di atas salji begini! Pertamanya susah mengawal kelajuan luncuran (sebab licin). Dan perlu berhati-hati jikalau hendak somersault 4, 5 pusingan (baca: tergolek dok), lebih sakit.


Mt. Bandai. Sedia untuk ditawan...

Cantik betul view dari Mt. Bandai nih. Inawashiro Lake terbentang luas di hadapan dan disebelah kanannya kelihatan gunung-ganang banjaran Alps. Petak-petak sawah di bawah semuanya putih belaka disaduri snow. Tak sempat nak snap sekeping dua akibat camera yang kehabisan bateri.

Batalkan niat untuk mencuba skill baru hari ni atas sebab-sebab keselamatan. Hanya sekali mencuba dan hasilnya dagu naik kebas akibat terpatuk timbunan snow. Haha... Adus! Nampaknya anak murid dah berjaya imbangkan badan (nampak senang tapi susah oo nak berdiri atas board) dan seperti sudah boleh mem'brek', jadi tok guru bolehlah lepas tangan. Hehe... Ratanya agak berpuas hati dengan luncuran hari ni. Penat?? Ermm, ada la sikit-sikit tapi jika dibundarkan, tak terasa kot. Minat punya pasal.

Kembali ke seat driver dalam perjalanan pulang. Kesian melihat adik-adik keletihan. Sebuah kereta yang bertayar 3 tayar studless dan sebiji tayar spare yang hampir gondol bergerak pulang. Dalam hati, berdoa mudah-mudahan selamat sampai. Mana taknya risau jugak dengan tayar spare kecil tu. Sesekali disapa angin lintang bergoyang-goyang hilang imbangan. Sejurus sebelum tiba di bandar Hitachi semula, mengSMS dua teman penjaga kampung, Musa dan Khusyairi, mengajak ke Saizeriya for dinner (tak der mood dah nak masak malam ni). Memang bagus la korang berdua ni, setia dengan kampung. Syabas dan 'manten'kan mutu kerja! Huhuhhh...

Kongsi Ilmu: Diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang mengambil hak orang Islam dengan sumpahnya, Allah mewajibkan neraka baginya dan diharamkan syurga untuknya (sekiranya mati sebelum bertaubat dan mengembalikan hak orang lain tersebut). Sahabat bertanya: Walaupun benda yang diambil itu sesuatu yang amat sedikit wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Walaupun sekecil batang kayu sugi.

(Hadis riwayat Imam Muslim).

Tuesday, December 30, 2003

Mari meluncur!

Yess! InsyaAllah pagi ni nak pergi berjalan mengubat rindu. Rindu? Ya, rindu. Rindu pada snowboarding! Seawal jam 4:15 am bersama-sama 2 orang junior, Ammar dan Pa'Om (dari Yokohama) menuju ke kawasan pergunungan Fukushima, prefecture bersebelahan. Plannyer nak menawan Mt. Minowa (Minowa Skiing Ground) hari ni. Kereta aku tak ader studless tyres, jadi bertolak dengan kereta Ammar ke sana. Rasanya pertama kali aku jadi penumpang ke skiing ground. Selalunya di seat driver...

Pukul 6 am gitu singgah di R&R Abukuma Kougen, bersolat Subuh dalam suhu serendah -1 C. Dulu, masa mula-mula sampai sini terasa kekok juga solat merata-rata. Tepi jalan, celah lorong, bawah tangga, tepi padang, dalam library, dalam karaoke box pun pernah (masa tu kat luar hujan lebat, ntah tetiba dapat idea)! Yerlah, kat Malaya pegi mana-mana pun kalau tak masjid pun paling kurang mesti ada surau untuk bersolat. Sini? Masjid boleh bilang dengan jari...

Tapi sekarang, alhamdulillah. Dah tak rasa apa dah. Apa nak dimalukan? Kenalah bangga dengan agama kita. Mana tahu, kalau-kalau ada yang tertarik dengan Islam hanya dengan melihat kita bersolat dengan rukun yang tertib! InsyaAllah... Zaman sekarang bukannya seperti zaman awal perkembangan Islam dulu, nak beribadat pun terpaksa bersembunyi, dek buruan para kafirun.

Selesai melaksanakan fardhu, meneruskan perjalanan ke Minowa. Alhamdulillah, cuaca agak baik dan jalan tidak licin. Tapi, sampai pertengahan perjalanan sahaja. Sebaik melepasi Ura-bandai IC, jalan sudah bertukar warna. Salji tebal hampir menutupi keseluruhan jalan. Halaju perlu dikurangkan, pemanduan perlu lebih berhati-hati walau tayar studless yang digunakan. Kesilapan kecil, besar padahnya. Tawakkal tu 'alallah...


Mt. Minowa. Tak sabar nak sampai atas nih...

Tiba awal di Minowa, 7:15 am. Aku dan Ammar sudah ada alat kelengkapan sendiri. Tinggal Pa' Om sahaja yang belum ada. Jadi, perlu ke tempat rental wear & board yang letaknya sekitar 15 km dari situ. Cerita pun bermula 4 km sebaik sebelum tiba di kedai rental tersebut. Kereta hilang kawalan sebaik melepasi satu jalan yang dipenuhi ais dan terbabas ke bahu jalan di satu selekoh tajam. Mungkin sudah suratan takdir!

Keluar melihat keadaan kereta. Tayar kanan (depan) terperosok ke dalam longgokan salji di bahu jalan hingga mencecah tanah di dalam. Getah tayar terkeluar dari hoil! Tayar kiri (depan) pula terperosok dalam parit kecil. Terus buntu. Sungguh! Tambahnya di tengah-tengah jalan hutan begini. Satu sahaja jalan penyelesaian. Mengharapkan ihsan, simpati orang yang lalu-lalang. 4, 5 buah kereta yang datang hanya memperlahankan kereta dan berlalu pergi. Hampa!

Datang pula sebuah Pajero, alhamdulillah, sedia memberi bantuan katanya. Dengan bantuan hamba Allah ni, dapat juga menarik kereta yang tersembam ke tebing keluar sedikit, walaupun masih tak berjaya mengeluarkan tayar kiri (depan) dari parit. Nampak seperti pak cik ni macam perlu bersegera. Hanya ucapan "arigatou gozaimashita" yang bisa diluah. Membiarkan pak cik tadi berlalu pergi sambil berfikir step yang seterusnya. Keluarkan tayar spare untuk digantikan pada tayar kanan (depan). Tanpa segan silu aku terus menahan sebuah kereta 4WD yang menghampiri. Minta untuk ditumpangkan ke stesen minyak berdekatan. Syukur! Masih ada insan yang bersimpati... Sesampai di stesen minyak, menurunkan tayar kanan tadi untuk dibaiki. Ojisan (uncle), arigatou! Terhutang budi...

Sekali lagi bersyukur. Tiada sebarang kebocoran pada tayar. Hanya perlu dimasukkan semula getah luarnya ke dalam hoil dan diisi angin. Charge yang dikenakan, mak aiiii... Tak kesah lah, dah terpaksa, nak buat mcm mana??... Minta bantuan pekerja di gas stand untuk menghantar kembali kami ke kereta. Sekali lagi dengan bantuan sebuah kereta yang dinaiki 3 anak muda Jepang, berjaya mengangkat tayar kereta keluar ke atas jalan. Terlalu banyak berhutang budi dengan orang ramai hari ni. Ntah ler macam mana nak balas. Memang tak terbalas...

Baiki itu dan ini dan akhirnya, pukul 10:30 am, barulah semuanya OK. Alhamdulillah, tuhan masih sayangkan kami. Mengambil iktibar dari kejadian tadi merangkak perlahan ke kedai rental tu & kembali ke Minowa dan tiba di sana sekitar jam 11 am. Cuba melupakan kejadian tadi, kerana memikirnya menambahkan penat!

Sebaik menaiki lif, hati berdebar-debar, tak sabar nak sampai ke puncak. Walaupun hampir 10 bulan tidak meluncur, anggota-anggota badan secara semulajadi masih dapat memberikan reflex action. Langsung tidak kekok. Bila dah sampai ke puncak, terasa tak sabar pulak nak turun meluncur ke bawah. Hehe... Fitrah manusia. Tapi sejam yang pertama terpaksa pendamkan hasrat. Ada anak murid baru yang perlukan tunjuk ajar.


Hilang demam rindu...

Ntah macammana lah yer nak gambarkan perasaan hari ni?? Syok! Syok sangat-sangat... Saikou!

Jam 5 pm lebih gitu berkemas mencari tempat menginap. Ya! Tak puas lagi nih. Sambung esok pulak. Ke Inawashiro, 20 km ke barat. Cari punya cari dapatlah hotel 5 stars rumah tumpangan murah. Cukuplah sekadar berteduh memulihkan semula tenaga sebelum kembali meluncur esok hari. Otsukare-san... Oyasumi...

Saturday, December 27, 2003

Kemalangan vs Komplot ???

Nyaman benar pagi ni. Selesai bersubuh keluar ke beranda rumah. Aman, tenang, di saat-saat begini. Hanya sesekali dicemari bunyi 'kotak-kotak mesin' yang menderu di jalan raya. Semalam, gumpalan awan snow bertandang ke mari lagi, mencurahkan segala isi-isinya. Putih, cantik, berseri, subhanallah maha hebat tuhan pencipta!

Lama benar aku tanam cita-cita nak lihat snow dengan mata sendiri. 15 tahun yang lalu, ketika itu aku dalam darjah 2, acapkali pak cik (ketika tu sedang menuntut di US) kirimkan gambar-gambarnya dengan snow. Cemburu! Ya, itulah perkataan yang paling sesuai untuk menerangkan rasa hati. Dan setiap kali menatap foto-foto tersebut, fikiran akan terbang berlegar-legar ke negara sejuk, memasang angan-angan! Dan alhamdulillah, hari-hari semalam, hari ini, angan-angan sudah menjadi kenyataan. Syukur!


Mencuci mata di pagi yang dingin

***

Tadi, begitu asyik menonton satu rancangan siri penyiasatan. Ingat lagi tak tarikh 31 Ogos 1997?? Hari kebangsaan kan... Kenapa? Ya, memang hari kebangsaan. Tapi ada lagi satu sejarah kan hari tu? Sejarah yang telah terpahat di Alma Tunnel, Paris. Bertembungnya sebuah Mercedes Benz yang membawa 4 insan dengan tiang divider tunnel. Aaa... Princess Diana? Yap! Dengan kekasih 'baru', si Dodi.

Tragedi yang meragut 3 nyawa (dari empat orang yang berada dalam Merc tersebut) itu dilaporkan oleh polis France sebagai satu kemalangan. Ada juga yang mengatakan faktor flash dari kamera si paparazzi yang menjadi penyebab kemalangan. Tapi nampaknya tak semua pihak yang menerima pakai kenyataan tersebut. Sebaliknya cuba untuk menguji kesahihannya. Yang terbaru, salah sebuah syarikat penyiaran di Jepun telah mengkaji laporan tebal yang telah disediakan polis France tersebut dan mendapati terdapat banyak point yang amat-amat meragukan. Pakar-pakar dalam pelbagai bidang ditemui di seluruh pelosok dunia semata-mata untuk merungkaikan segala misteri yang masih tiada jawapan/disembunyikan kebenarannya!

"Laporan 'tebal' oleh polis France itu bersifat amatur semata...", komen salah seorang anggota elit unit risikan Poland yang agak masyhur seantero dunia. Terdapat banyak point yang telah dikemukakan yang kesahihannya dipertikaikan. Panjang kalau nak ditulis, jadi Mat ambil beberapa point sajalah. Pertamanya mengenai route yang telah diambil untuk pulang ke apartment Dodi, agak jauh dari kebiasaannya. Padahal hotel tempat terakhir Dodi & Diana bertemu dan apartment Dodi (hanya sekitar 30-40 meter dari Seine Cruise) dihubungkan dengan satu jalan lurus yang tak sampai 5 minit kalau berkereta. Benarkah untuk mengelakkan dari 'serangan' paparazzi atau memang telah di'aturkan'??

Keduanya pihak perubatan melaporkan yang tahap alkohol dalam badan pemandu Merc tersebut berada pada paras 1.75 ml/g (betul ker unit piawai nih..). Paras yang dibenarkan untuk memandu ialah 0.5 ml. Eksperimen pemanduan simulasi telah dijalankan ke atas dua pemandu yang diberi minum alcoholic drink (20% alcohol = 1.75 ml/g kuantiti sama seperti yang dilaporkan), dan ternyata kedua-duanya gagal mengawal stereng kereta dengan baik seawal pemanduan lagi. Sedangkan berlakunya kejadian tersebut pada jarak yang agak jauh dari hotel tempat berlepas. Kamera keselamatan dalam hotel tersebut juga (yg pertama kali ditontonkan di khalayak ramai-selama ini disembunyikan) mengesahkan yg si driver adalah normal (tidak mabuk) sehinggalah di saat kejadian. Dan dinyatakan juga (dalam laporan tersebut) yang pemandu berkenaan sebenarnya menghidap penyakit kesan alkohol yang berpanjangan (berterusan beberapa hari selepas meminum), tetapi mengikut sijil medical check-up yang telah dijalankan 3 hari sebelum kejadian ada tertera yang keadaan si pemandu adalah amat baik sekali! Percanggahan lagi di situ!

Dalam kejadian tersebut, Dodi dan driver mati di tempat kejadian manakala Diana mati di hospital. Ambulans datang 10 minit selepas kejadian dan tiba di hospital berdekatan 2 JAM berikutnya! Pelik!! Ini bukannya pekan kecil yang tiada pusat rawatan hatta klinik kecil. Ini metropolitan Paris! Seterusnya kereta Merc tersebut bukannya Merc yang biasa dinaiki oleh Dodi, sebaliknya Merc yang telah dihantar ke bengkel 2 hari sebelum kejadian. Mengikut penerangan oleh salah seorang ahli MI-5 (Military Intelligence-Britain-pasukan perisik), amat mudah untuk mengawal pergerakan sesebuah kereta dari jarak jauh. Kenyataan ini dibuktikan dengan satu eksperimen mematikan enjin Merc serta merta dari jarak jauh dengan kawalan sebuah komputer! Enjin kereta terberhenti serta merta dan stereng terus tak berfungsi. Kemungkinan di sini bahawa kereta tersebut telah diubahsuai...

Seorang saksi yang berdiri berhampiran Alma Tunnel berkata memang ada terlihat cahaya yang begitu terang, tetapi tak kelihatan seperti flash camera sebaliknya berkemungkinan besar cahaya dari flash-gun yang dipasang pada bahagian belakang kereta (ingat tak pada Fiat yang memotong laju Merc yg dinaiki Diana). Itulah antara faktor-faktor yang telah dikemukakan sepanjang penyiasatan. Dan mereka mendakwa bahawa kejadian ini adalah 'rancangan tertinggi' yang cukup teliti oleh sebuah badan/kerajaan. "Tidak syak lagi kejadian tersebut adalah rancangan/pakatan bersama oleh kerajaan England dan France", dakwa Mohamed Al-Fayed, bapa kepada Dodi. Puncanya, setelah mendapat tahu yang Diana telah mengandungkan anak Dodi. Dan mereka sudah pun bercadang mempercepatkan perkahwinan.

Tahukan apa akan jadi jika lahirnya anak itu nanti. Sudah tentu kerajaan Britain enggan menerima yang bakal pewaris takhta Britain, Putera William mempunyai saudara yang berdarah Inggeris-Arab! Apapun, yang pastinya sudah tentu hanya Dia sahajalah yang lebih arif dengan apa yang telah terjadi. Dan ajal maut manusia sudah pastinya telah ditentukan Allah sejak azali lagi, tidak dipercepatkan & tidak dilambatkan walau sesaat!

Tidak! Aku bukannya peminat Diana. Saja nak memenuhkan entri. Haha... Yang hairannya, apa kepentingan yang ada pada stesen TV ini ke atas Diana hingga sanggup menghabiskan sejumlah wang yang besar dalam merungkai kisah misteri ini? Mungkinkah bangsa ini sukakan yang haq dan yang batil berada di tempatnya. Atau bagaimana???...

Hmmm... Apalah harga seorang Diana (memang dia seorang yang baik-princess idola, aku akui) bagi aku kalau nak dibandingkan dengan berpuluh ribu saudara-saudara kita yang telah pergi menghadap Ilahi dalam gempa bumi yang telah melanda selatan Iran semalam, yang disembelih, ditembak, dibom, dibunuh sewenang-wenangnya saban hari di pelosok dunia, di Palestin, Iraq, Checnya, Afghanistan, Albania, Kashmir, Somalia, Sri Lanka dll. Tempatkanlah mereka di syurga ya Allah... Pohonan doa mudah-mudahan kita semua medapat perlindungan dari-Nya dan dijauhkan dari bala bencana...