Saturday, July 30, 2005

Ralat

Ada seseorang pernah menanya Mat, "Ibaraki tu tak jauhkan dari Osaka?". Jawapannya, dekat dan jauh. Sebenarnya ada 2 tempat yang namanya Ibaraki di Jepun. Satu, negeri Ibaraki di kawasan Lembah Kantou (jaraknya sekitar 700km dari Osaka) dan satu lagi pekan Ibaraki yang terletak hanya kira-kira 14km dari metropolitan Osaka.

Dua Ibaraki, namanya sama tapi ditulis dalam kanji yang berlainan, loghat / dialek pertuturan pun amat-amat berlainan. Negeri Ibaraki dengan loghat Ibaraki (Ibaraki ben) dan bahasa baku (hyoujungo) manakala pekan Ibaraki dengan loghat Kansai (Kansai ben). Mat tinggal di negeri Ibaraki, memang sangat jauh dari Osaka.

Harap tidak keliru.

Saturday, July 23, 2005

Anak mak yang GLOKAL

Minggu lepas masa call rumah, mak cakap buah moktan (rambutan) dan langsat di belakang rumah lebat jugak jadinya tahun ni. Kecur air liur Mat mendengar. Macam ni lah mak tiap-tiap tahun. Kata mak, sejak Mat berada di tanah orang ni, masuk saja musim buah, terus teringat jer dekat Mat.

Ya, tiap-tiap tahun Mat hanya balik bercuti di Malaysia pada musim bunga dan tak pernah balik sepanjang cuti musim panas. Bermakna setakat ni, dah 5 kali musim buah Mat terlepas. Memang senang sekarang nak dapatkan rambutan, durian, langsat ataupun manggis sekalipun di luar musim. Tapi, buah-buah yang dapat dipetik dari pokok-pokok di belakang rumah Mat tu manalah nak sama kalau nak dibanding dengan buah-buah yang berlambak-lambak dijual lelong dari Siam sana.

Imbas-imbas cerita dulu-dulu, zaman sekolah rendah. Masuk musim buah, bisnes utama Mat di hujung minggu, memanjat dari pokok ke pokok dari dahan ke dahan (macam beruk pulak bunyinya) petik rambutan dan langsat dan penuhkan stor buah dalam rumah. Pernah sekali, angkara terlalu rakus memetik, terlepas tangan dari dahan dan terus melayang ke bawah terkapai-kapai.

Alhamdulillah, Allah masih bermurah untuk panjangkan nyawa. Di saat paling genting, jarak badan Mat dari sebatang tungkul kayu tajam hanya setengah meter. Nasib baik sempat berpaut pada dahan paling bawah. Tangan kanan Mat masa tu teruk bergesel dengan dahan dan parutnya masih jelas hingga ke hari ni, tapi Mat tak pernah serik untuk memanjat lagi.

Itu cerita dulu. (Hehe, ada org yang tengah tersengeh sorang-sorang...)

Tuesday, July 19, 2005

Kecoh

Jam 3 pagi. Bunyi siren kereta omawarisan (polis) memecah keheningan Subuh. "Woo woo woo woo woo woo .....", memekik hampir setengah jam. Adegan kejar mengejar chinpera (kuli-kuli yakuza) dengan polis mungkin. Atau datangnya dari kereta polis yang menyerbu ke tempat kejadian kemalangan / pembunuhan / kebakaran. Atau atau atau... Banyak betul syak aku.

Tanah Jepun kini semakin banyak berubah. Orang-orang mudanya banyak yang hanya mewarisi darah spesis Jepun, mewarisi kesepetan orang tua mereka, tetapi kurang mewarisi keJEPUNan kesantunan orang-orang terdahulu. Sana-sini, nanah jenayah semakin parah. Kes kecurian merata-rata. Bunuh membunuh bukan lagi berita pelik. Orang tua hidup mereka terbiar, anak muda tanpa belas membunuh ibu dan bapa. Apa dihirau pertalian darah, kan wang insuran nyawa orang tua dan harta pusaka yang lebih utama.

Mungkin salah orang terdahulu. Mengejar kemajuan lebih dari keperluan. Agenda-agenda kerja penuh dalam kepala. Hal ehwal rumahtangga jatuh ke tangga kedua. Manakan terpupuk kasih sayang pada anak-anak, kalau dicurah bukan pada tempatnya. Sedangkan haiwan perlukan belaian inikan kita homosapien berakal. Retak menanti belah, belah nanti kan punah. Inikah tanda-tanda kemusnahan tamadun mereka??...


Mat: Macam sama jer dengan situasi kita di Malaysia. Ke lagi teruk??...